Siapa yang ada anak kecil tentu biasa dengan situasi ini. Anak menjerit dan meraung nak  sesuatu serta-merta dan ibu ayah akhirnya terpaksa bagi kerana tak tahan melihat anak meraung dan berguling-guling.

Menurut Puan Noor Afidah Abu Bakar Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK) biasanya bila anak anda menjerit-jerit di pusat membeli belah kerana mahukan juga mainan yang dilihatnya. Kerana malu diperhatikan oleh orang sekeliling dan kerana hendak mendiamkan anak, anda mengalah dan belikan juga mainan tersebut untuk anak.

Anda sedang bersiap-siap untuk makan malam, anak kecil anda merengek kerana mahukan aiskrim dalam peti sejuk. Anda memujuknya untuk makan malam terlebih dahulu barulah boleh makan aiskrim sebagai pencuci mulut. Anak anda berterusan merengek dan terus menjerit kerana mahu juga aiskrim tersebut. Disebabkan rimas dengan jeritan anak, anda mengalah dan berikan juga aiskrim. Anak akhirnya ‘kenyang’ dengan aiskrim dan tidak makan makanan yang sepatutnya.

Latih Si Kecil Belajar Bersabar Supaya Tak Lagi Berguling Dan Meraung Nak Sesuatu Serta-Merta

Adakah anda biasa dengan situasi ini?

Tahukah anda konsisten dan berpegang teguh dengan kata-kata dan peraturan yang telah anda tetapkan dan biarkan anak menunggu jika mahukan sesuatu adalah skil yang sangat penting diterapkan sewaktu anak masih kecil?

Ini adalah berkaitan dengan kawalan diri (self control) dan kepuasan tertunggak (delayed gratification) anak anda.

IKLAN

Pada tahun 1960an dulu, sebuah kajian yang dikenali sebagai “Marshmallow Test” telah dijalankan oleh seorang pakar psikologi terkenal, Walter Mischel, dari Stanford University” Amerika Syarikat untuk mengkaji kawalan diri kanak-kanak peringkat pra sekolah. Kajian ini berterusan selama berpuluh-puluh tahun.

Dalam eksperimen ini, setiap kanak-kanak dihidangkan dengan sebiji ‘marshmallow’ yang diletakkan di hadapan mereka. Kanak-kanak yang berjaya mengawal diri dari memakan marshmallow tersebut dalam jangkamasa 20 minit yang ditetapkan akan diberikan sebiji marshmallow tambahan sebagai ganjaran.

Kanak-kanak ini ditinggalkan keseorangan dalam bilik bersama ‘marshmallow’ tersebut. Ada kanak-kanak yang tidak dapat menunggu dan ada yang sabar menunggu dan mendapat ganjaran yang dijanjikan.

Dalam kajian susulan yang dibuat berpuluh tahun kemudian, kanak-kanak “Marshmallow Test” yang mengambil keputusan untuk menunggu supaya mendapat ganjaran seterusnya didapati menjalani kehidupan yang lebih baik sebagai orang dewasa.

IKLAN

Latih Si Kecil Belajar Bersabar Supaya Tak Lagi Berguling Dan Meraung Nak Sesuatu Serta-Merta

Mereka didapati lebih yakin diri, lebih berjaya mengawal diri dan emosi ketika melalui episod kesedihan dan kekecewaan, lebih berjaya dari segi pencapaian akademik, lebih sihat tubuh badan dan lebih berjaya merancang kehidupan mereka. Mereka juga didapati lebih banyak menggunakan bahagian otak yang menjana pemikiran iaitu prefrontal cortex.

Latih anak tanpa jemu

IKLAN

Latihlah anak supaya menjadikan kawalan diri sebagai satu gaya hidup. Apabila dilatih, lama kelamaan ia akan menjadi tabiat dan anak tidak akan lagi berguling-guling atau meraung inginkan sesuatu serta-merta.

Anak kecil memang sifatnya ‘impulsive’ atau belum boleh kawal diri sepenuhnya, oleh itu mereka perlu dibimbing, dilatih dan diberi peluang, bukannya dibiarkan mengikut keinginan mereka sepenuhnya tanpa batasan.

Antara latihan yang boleh dibuat dengan anak-anak:

1) Ajar anak untuk menunggu waktu makan dan elakkan beri anak kudapan antara waktu makan.
2) Banyakkan permainan dan aktiviti yang memerlukan fokus, perhatian, pendengaran dan kesabaran.
3) Ajar anak untuk menunggu jika inginkan sesuatu, contohnya sesuatu yang diingini boleh dibeli untuk Hari Jadi, Hari Raya dan hari tertentu dan bukannya setiap kali ke pusat membeli belah, walaupun anda tidak ada masalah dari segi kewangan.
4) Ajar anak untuk beratur ketika menunggu giliran dan bukannya memotong barisan – ini memerlukan anda sebagai ‘role model’.
5) Latih anak/murid untuk menunggu giliran untuk bercakap dalam kelas dan bukannya memotong percakapan orang lain.
6) Ajar anak untuk menunggu jika anda bercakap di telefon atau bercakap dengan tetamu atau rakan. Tetapi janganlah mengambil peluang untuk berlama-lama di media sosial ya.
7) Ajar anak untuk membantu anda membuat kerja-kerja di rumah dan tidak melakukan tugasan untuk anak.
8) Bacakan buku dan berita yang menceritakan tentang sifat sabar dan kawalan diri.
9) Ajar anak untuk meluahkan emosi dengan perkataan dan bukannya dengan mengamuk.
10) Puji setiap usaha anak untuk mencapai sesuatu matlamat, walaupun usaha itu kecil.
11) Ajar anak melihat jam untuk melatih anak menunggu untuk waktu yang ditetapkan.
12) Jadi ‘role model’ kawalan diri dan kepuasan tertunggak yang terbaik untuk anak.

Children See Children Do.

Mungkin anda boleh mencuba ‘marshmallow’, oreo atau M&M test dengan anak anda?

Sumber: Parent Connect

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI