Apabila menjadi ibu bapa segala benda tentang anak kita akan risau. Apa sahaja kita nampak sedikit curiga pasti akan timbul pelbagai persoalan. Ini adalah normal dan jangan rasa kita terlalu protektif dan sebagainya. Sebagai ibu bapa sangat wajar kita mengambil perhatian tentang anak walaupun mungkin bagi orang lain ia hanyalah satu yang remeh.

Pa&Ma kongsikan jawapan dari Pakar Pediatrik Dr Mohamed Nazir Abu Bakar tentang kegusaran seorang ibu yang mendapati terdapat lapisan putih pada lidah si kecilnya. Rasanya tentu ramai yang menghadapi masalah yang sama.  Adakah ia satu yang berbahaya ataupun normal. Baca penjelasan dari pakar ini.

 

Anak saya baru sahaja berumur lima bulan dan menyusu susu ibu sepenuhnya. Baru-baru ini apa yang membimbangkan saya ialah saya dapati di bahagian lidah anak saya di penuhi lapisan putih. Saya kerap membersihkannya dengan kain. Apa yang sedikit membimbangkan saya adakah kesan putih itu adalah kulat atau kesan susu ibu? Apakah ia berbahaya jika tidak dibersihkan?  

Suhairizan Amir – Machang, Kelantan

 

Kesan atau lapisan putih itu dinamakan sebagai oral thrush atau oral candidiasis yang lebih sering dikenali sebagai kulat susu. Kulat ini tumbuh pada kesan susu yang mendap di mulut bayi. Adalah menjadi satu amalan yang baik jika bahagian dalam mulut bayi dibersihkan semasa mandi supaya lidahnya bersih.

Untuk pengetahuan puan, kadang kala kulat susu ini boleh membuat bayi tidak selesa pada bahagian dalam mulutnya. Ia juga boleh mengakibatkan bayi kurang menyusu. Dapatkan rawatan perubatan segera sekiranya anda menyedari si manja mengalami kulat susu yang tebal. Ada ubat yang boleh diberikan oleh doktor untuk tujuan menyembuhkan bahagian dalam mulut dari kulat susu ini.

Tinggalkan Komen