Mama dan papa wajib tahu mengenai cara betul penjagaan bayi baru lahir. Terutama sekali yang bakal menyambut cahaya mata pertama. Memanglah akan rasa kekok  pada mulanya, lama-kelamaan anda akan terbiasa.

Sesungguhnya untuk melakukan penjagaan bayi yang baru lahir bukan sesuatu yang mudah kerana badannya masih kecil, kulit yang sensitif, risiko mengalami perut kembung dan tangisannya yang membuatkan anda cemas. Jangan bimbang, ada menyediakan enam panduan asas penjagaan bayi yang mesti anda tahu untuk memastikan bayi anda membesar dengan sihat, segar dan selamat.

 

1.MEMEGANG BAYI BARU LAHIR

-Sentiasa menyokong bahagian bahu dan kepala bayi.

-Pegang kepala bayi apabila anda mendukungnya dan sokong kepala apabila hendak mengangkat atau membaringkannya.

Jangan goncang bayi walaupun sedang bermain dan menangis. Jika terlalu kuat akan mengakibatkan Sindrom Goncang Bayi (Shaken Baby Syndrom) iaitu pendarahan dalam otak dan risiko kematian. Jika mahu mengejutkan bayi, jangan goncangkan badannya, sebaliknya sentuh perlahan bahagian mulut dan bukakan bedungnya supaya dia tersedar dari tidur.

2.SENTUHAN

-Sentuhan adalah aspek penjagaan untuk bayi yang amat penting untuk satu jam pertama dan selepas kelahirannya. Sentuhan ini mampu memberi kesan emosi yang menenangkan bayi anda.

-Mulakan sentuhan dengan memegang tangan, mengusap badannya dan kepalanya. Biar dalam dakapan anda bagi menggalakkan sentuhan kulit ke kulit.

-Kajian mendapati sentuhan secara urutan membantu bayi membesar. Dapatkan panduan cara urutan yang betul untuk bayi kerana kulit sensitif dan tulang bayi masih tidak kuat seperti orang dewasa.

Bayi selalunya menangis disebabkan lapar, lampin basah, mengantuk, kembung perut dan memberitahu ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya (seperti merasa sakit atau kerana tidak sihat). mereka juga menangis hanya kerana ingin dipegang, didukung, dibelai atau diberi perhatian.

 

3.MEMAKAI LAMPIN

-Apa jua pilihan sama ada menggunakan lampin pakai buang atau lampin kain moden, pastikan ia sesuai dengan kulit bayi.

-Semasa memakai lampin anda perlukan perkara seperti berikut:

  • Lampin yang bersih
  • Ubat anti ruam (jika bayi alami ruam)
  • Bekas berisi air suam
  • Bebola kapas
  • Minyak anti kolik (untuk mengelak perut bayi kembung)
  • Kain bersih untuk mengelap

Jika ruam lampin berlaku, ia biasanya terdapat kesan merah pada bahagian kulit bayi. Jadi mandi menggunakan air suam, sapu dengan sedikit krim anti ruam dan kerapkan menukar lampin. Pastikan juga punggungnya sentiasa kering.

4.MEMANDIKAN BAYI

-Bagi bayi yang baru lahir, cukup memandikan bayi dua kali sehari iaitu pagi dan petang. Ketika memandikan bayi pastikan udara bilik tidak terlalu panas atau terlalu sejuk.

-Tanggalkan baju dan lampin, kemudian lap muka bayi dan bersihkan hidung dan telinganya. Seterusnya cuci bahagian badannya terlebih dahulu kemudian barulah beralih kepada kepalanya dengan air bersih. Jika perlu, gunakan syampu bayi.

– Gunakan kapas bagi membersihkan bahagian yang berlipat seperti belakang telinga, bawah ketiak, keliling leher, betis, tangan dan bahagian sulitnya.

-Bagi bayi baru lahir yang masih belum tanggal tali pusat, sapu bahagian itu menggunakan sedikit cecair pembersih alkohol setiap kali menukar lampin atau selepas mandi sehinggalah tali pusat gugur dengan sendirinya.

5.MENYUSUKAN DAN SENDAWAKAN BAYI

-Penyusuan susu ibu amat penting untuk bayi membesar dengan sihat. Secara umumnya bayi akan menunjukkan reaksi menangis, memasukkan jari dalam mulut atau membuat bising jika lapar.

-Bayi baru lahir akan menyusu susu ibu setiap dua atau tiga jam sekali dengan jangka masa 10 hingga 20 minit untuk setiap kali penyusuan.

Selepas menyusu bayi perlu disendawakan untuk mengelakkan perut kembung. Ini kerana bayi yang menyusu akan membawa bersama udara ke dalam badannya yang membuatkan bayi berasa tidak selesa. Jadi selepas penyusuan, sendawakan bayi anda.

Teknik untuk sendawakan bayi

CARA 1

Pegang bayi dan sandarkan kepala bayi pada bahu anda. Sokong bahagian belakangnya sambil mengusap dengan lembut belakangnya.

CARA 2

Dudukkan bayi pada riba anda dan pegang dada dan kepalanya dengan sebelah tangan. Kemudian usap secara lembut bahagian belakangnya.

CARA 3

Tiarapkan bayi  di atas paha anda dan usapkan bahagian belakangnya. Jika bayi masih belum sendawa selepas beberapa minit, cuba beberapa teknik ini sehingga 10 hingga 15 minit. Pastikan dia sendawa untuk mengelakkan kembung perut.

6.MENIDURKAN BAYI

-Tempoh masa tidur bagi bayi yang baru lahir ialah sehingga 16 jam sehari atau lebih. Bayi yang lahir biasanya akan tidur tiga hingga empat dalam satu masa. Jika bayi tidak tersedar dalam tempoh itu, bangunkan bayi untuk menyusu. Ia untuk mengelak perut bayi masuk angin.

-Semasa tidur terutama waktu malam, alihkan posisi kepala bayi iaitu mula ke kanan , kemudian ke kiri dan seterusnya. Ia untuk mengelak kepala bayi leper sebelah.

-Semasa bayi tidur, sentiasa periksa keadaannya untuk memastikan bayi tidur dalam keadaan selamat. Ia juga untuk mengelak risiko sindrom kematian mengejut.

-Jika bayi baru habis menyusu, masih belum sendawa dan terus tertidur, jangan tinggalkan bayi terus tidur sendirian. Tunggu seketika kerana bayi mungkin berisiko memuntahkan susu kembali.

 

Tahukan anda

Bayi biasanya akan kehilangan lima hingga tujuh peratus berat badan asal beberapa hari selepas dilahirkan. Kehilangan berat badan berpunca daripada kehilangan air dan proses penyesuaian bayi terhadap persekitaran yang baru. Penambahan berat badan akan berlaku selepas beberapa hari apabila bayi mula menyusu susu ibu.

Tinggalkan Komen