Berdasarkan amalan berpantang masyarakat Melayu, wanita lepas bersalin tidak digalakkan untuk mandi secara kerap. Malah, air mandian juga tidak boleh terlalu sejuk kerana dibimbangi boleh mendatangkan kemudaratan kepada dirinya.

Oleh sebab itulah, anda yang mengamalkan pantang tradisional Melayu, digalakkan untuk mandi menggunakan air mandian herba pada waktu pagi. Dalam pada itu, had masa mandian adalah sekitar 10 hingga 15 minit.

Mandian herba ibu bersalin ini merupakan rebusan daripada bahan-bahan rempah ratus dan daun-daun herba terpilih yang mudah didapati seperti daun lengkuas, daun mengkudu daun pandan, daun sirih, daun halia, daun inai, daun kunyit, daun limau purut, serai, limau purut dan juga sedikit campuran halba dan kulit kayu manis.

Semua campuran ini boleh dimasukkan ke dalam periuk atau dibunjut dan diikat di dalam secebis kain. Anda juga boleh mengisinya ke dalam kantung kain yang dijahit kemas. Daun-daun dan herba-herba semula jadi ini mampu memberi impak kesegaran dan pemulihan kepada ibu berpantang. Mari kita ketahui kebaikan mandian herba kepada ibu lepas bersalin ataupun wanita-wanita biasa.

1. Menyegarkan badan

Mandian herba berfungsi sebagai aromaterapi. Ia mampu memberi ketenangan dan kesegaran kepada anda yang sudah pasti masih dalam keadaan lemah dan lesu kerana tenaga banyak dihabiskan semasa proses kelahiran.

IKLAN

Mandian ini secara tidak langsung turut menjadi membantu anda menghilangkan tekanan akibat kurang tidur kerana menjaga bayi di waktu malam.

2. Mengelak dan membuang angin

Penggunaan daun dan herba sebagai ramuan mandian herba mampu menyahkan angin di dalam badan.

3. Melancarkan pengaliran darah dan melancarkan susu ibu

IKLAN

Amalan mandi air rebusan herba ini dilakukan selepas proses berurut dan bertuam seluruh badan. Secara tidak langsung amalan ini merupakan penutup kepada proses untuk melancarkan pengaliran darah ibu-ibu berpantang melalui resapan air ke setiap liang roma.

Apabila darah lancar, anda memperoleh kesegaran daripada mandian itu. Pada masa yang sama hormon oksitosin meningkat dan sekali gus pengeluaran susu ibu menjadi lancar.

4. Mengatasi bau badan

IKLAN

Sesetengah ibu hamil mengalami bau badan yang agak kurang menyenangkan akibat perubahan hormon. Kadang-kadang ia akan berpanjangan selepas kelahiran disebabkan halangan pemasangan kipas atau penyaman udara ketika proses berpantang.

Mandian herba mampu memberikan aroma wangi yang segar daripada bau-bauan semula jadi daripada daun dan herba terpilih.

5. Meringankan ketegangan urat saraf dan otot badan

Sememangnya otot-otot dan urat-urat dalam tubuh badan anda mengalami ketegangan. Ia harus dipulihkan sepanjang tempoh berpantang. Dengan mengamalkan mandian herba, ia mampu mengembalikan tenaga dan meringankan ketegangan urat yang dialami.

Cara Penyediaan Air Mandian Herba

  1. Masukkan semua daun dan herba yang anda sediakan ke dalam periuk yang berisi 3 liter air.
  2. Panaskan sehingga mendidih. Lama-kelamaan air mendidih itu akan mengeluarkan bau wangi yang sangat kuat dan menyegarkan.
  3. Padamkan api dan biarkan air mandian tersebut suam sebelum digunakan untuk mandi.
  4. Tambahkan sedikit air suam kedalam campuran itu sehingga mencukupi untuk mandian.
  5. Baki daun dan herba yang telah mendidih itu boleh disimpan di dalam periuk untuk digunakan untuk rebusan air mandian berikutnya. Ia boleh digunakan sehingga tiga kali mandian.

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI