Jangan risau, masih sempat lagi latih anak yang sukar membaca walaupun sudah berusia enam tahun. Hakikatnya kanak-kanak perlu belajar memahami sebanyak mungkin perbendaharaan kata dan struktur ayat sesuatu bahasa yang ditulis dalam bahasa Melayu mahu pun bahasa lain.

Mereka juga perlu berlatih dengan pelbagai teks untuk meningkatkan kefasihan berbahasa supaya mengenali perkataan dan kefahaman membaca menjadi lebih cepat, tepat dan koordinasi yang baik. Kanak-kanak akan merasa tertekan apabila membaca sesuatu bahasa yang mereka sendiri tidak memahami. Membaca secara hafalan dari segi jangka panjang tidak mendatangkan keseronokan kepada kanak-kanak untuk meneruskan minat membaca.

Tiga faktor utama untuk mengkategori pembaca yang baik iaitu pertama, mereka memahami sistem huruf bahasa yang dipelajari untuk mengenalpasti cetakan perkataan Kedua, mereka dapat dan menggunakan latar belakang pengetahuan dan strategi untuk mendapatkan atau memahami makna daripada cetakan. Ketiga, mereka membaca dengan lancar. Ketiga-tiga elemen ini hendaklah digabungkan semasa mengajar membaca kepada kanak-kanak. Sekiranya kanak-kanak tidak menguasai bahasa yang dipelajari secara tidak langsung mereka tidak memahami makna perkataan dan tidak dapat membaca pada huruf cetakan di dalam buku. Keadaan ini mengganggu kelancaran untuk membaca. Memahami makna perkataan dapat membantu sebutan yang betul dan kelancaran membaca.

Tanpa disedari bahawa kanak-kanak mula membina kemahiran berbahasa sejak bayi lagi. Walau pun agahan daripada keluarga semasa bayi adalah membantu untuk memahami dan menjadi penutur bahasa ibundanya. Apabila bayi berminat dengan gambar pada buku, apabila kanak-anak dua tahun melakar dengan krayon, apabila kanak-anak empat tahun menunjukkan huruf di papan tanda jalanraya – kesemua ini adalah isyarat perkembangan literasi kanak-kanak. Membaca perlu dipupuk dari awal bayi dilahirkan dan prosesnya berterusan dengan memperkayakan persekitaran literasi.

Kajian menunjukkan kanak-kanak yang menghadapi masalah membaca di sekolah rendah adalah terdiri daripada mereka yang kurang kemahiran bertutur, kurang kepekaan terhadap sistem bunyi bahasa, kurang pengetahuan terhadap huruf, kurang kefahaman dengan tujuan asas dan mekanisma membaca. Oleh itu persediaan awal sangat perlu seperti mendedahkan dengan persekitaran berbahasa dan literasi yang berkualiti di rumah, taman asuhan (taska) dan tadika.

Persekitaran literasi di rumah

Ia sangat penting untuk menggalakkan kanak-kanak membaca. Pelbagai jenis mainan dan buku di rumah belum tentu menjamin minat kanak-kanak membaca. Perkara paling penting perhatian ibu bapa dan keluarga untuk bersama membaca. Ibu bapa perlu memberi ruang masa untuk bersama anak-anak membaca sambil berbincang. Sekiranya anak masih kecil memadai bersama membuka lembaran buku sambil berbincang tentang gambar dan ilustrasi yang terdapat dalam buku.

Perbualan

Aktiviti membaca bukan sahaja membaca buku. Perbualan boleh dilakukan menerusi minum air jus. Bincang tentang perkataan yang tertulis pada kotak jus. Contohnya ‘Oren’. Beri penekanan huruf ‘O’ semasa menyebut ‘oren’ sambil menunjukkan huruf ‘O’. Secara tidak langsung kanak-kanak mengenali sebutan perkataan dan ikuti huruf ‘O’. Kanak-kanak dapat mengaitkan huruf ‘O’ dengan perkataan dan sebutan perkataan. Begitu juga dengan perkataan-perkataan lain untuk mendedahkan kanak-kanak kepada sebutan, perkataan, huruf dan makna yang dibaca menerusi objek yang dilihat.

Tenaga pengajar di Tadika

Semasa kanak-kanak di tadika, kebanyakan kanak-kanak sensitif kepada bunyi, makna perkataan, pertuturan perkataan. Perkenalkan kepekaan sistem bunyi bahasa menerusi berbagai cara, contohnya bahasa berirama, puisi dan lagu berirama; mebina perkataan yang melucukan pada sesuatu benda dengan menggantikan satu bunyi kepada bunyi yang lain (contohnya, kerang, kerung, kereng, kerong); memendekkan perkataan panjang menjadi satu patah sebutan atau bertepuk pada setiap patah perkataan dalam ayat; kanak-kanak menyedari beberapa perkataan yang sama bunyi (contoh, tupai, topi; padi, peti).

Walaupun kanak-kanak tadika jarang memberi perhatian kepada makna segment dalam sebutan perkataan, dengan mengambil faedah daripada kepekaan terhadap sistem bunyi adalah lebih berkemajuan. Kelebihan kepekaan sistem bunyi dapat membantu kanak-kanak memahami prinsip huruf dan sistem bunyi sesuatu perkataan. Aktiviti yang dapat memupuk kepekaan sistem bunyi di tadika adalah menyanyi, permainan bahasa, permainan rentak bahasa, dan puisi berirama. Aktiviti membaca perlu dipelbagaikan kerana tumpuan untuk kanak-kanak kepada sesuatu perkara tidak lama. Kanak-kanak tadika dan taska boleh bertahan lebih kurang 5 hingga 8 minit. Malah jika aktiviti itu membosankannya lebih singkat masa yang diambil untuk memberi tumpuan.

Kesimpulannya

Membaca adalah proses yang komplek dan saling berkaitan dengan makna, perbendaharaan kata, sebutan dan mengenali huruf yang tercetak. Membaca perlu bermula dengan persekitaran literasi dari rumah ke institusi taska dan tadika seterusnya sekolah. Huruf ‘A’ tidak memberi makna kerana huruf itu adalah simbol sahaja. Sukar bagi kanak-kanak menyebut dan mengingat huruf ‘A’ yang tidak memberi makna kepadanya. Seandainya orang dewasa menyebut ‘Ayah’ atau ‘Abah’ kanak-kanak kecil akan cuba memahami bunyi ‘A’ dan memberi makna kepadanya dengan merujuk ‘Ayah’. Setiap kanak-kanak keupayaan dan kebolehan membaca adalah berbeza diantara satu sama lain. Dinasihatkan orang dewasa perlu bersabar sewaktu mengajar kanak-kanak membaca.

 

Tinggalkan Komen