Berpantang sewaktu Hari Raya memang boleh menggugat perasaan. Mana tidaknya, salah satu daripadanya, anda terpaksa menahan godaan nafsu makan dengan hanya mampu memandang hidangan juadah Hari Raya yang lazat. Namun, apakan daya kebanyakan hidangan makanan tersebut tidak boleh diambil oleh ibu berpantang.
Selain daripada itu, anda juga tidak boleh keluar rumah untuk sama-sama beraya menziarahi ahli keluarga yang lain. Hal ini memang bukan sesuatu yang mudah. Walau apa pun, anda perlu ada semangat yang kuat untuk menempuh ‘dugaan’ ini. Tip-tip ini mungkin dapat membantu anda.
Jamah hidangan raya sebelum bersalin
Jika anda dijangkakan melahirkan anak pada penghujung Ramadan atau awal Syawal, buatlah persediaan dengan makan makanan raya semasa berbuka puasa. Jadi, tidak timbul rasa teringin apabila anda mula berpantang di Hari Raya. Apabila melihat orang lain makan di pagi raya, tidaklah anda rasa terkilan.
Cuit sedikit sahaja
Jika terlalu teringin untuk makan makanan raya semasa tempoh berpantang, anda boleh cuit sedikit sahaja. Itu pun jika makanan itu tidak akan mendatangkan mudarat kepada anda dan bayi. Ingat! jangan pula makan makanan yang berangin, sejuk dan gatal. Padahnya nanti, diri anda juga. Paling dibimbangi bila ia boleh beri kesan kepada bayi. Kasihan dia.
Asingkan diri
Jika ada tetamu yang datang ke rumah dan sedang menikmati juadah raya, maka sebaik-baiknya anda sibukkan diri dan berada jauh daripada tempat mereka menjamu selera. Ada baiknya anda hanya berkurung di dalam bilik. Habiskan masa itu dengan menonton TV di dalam bilik sahaja.
Berfikiran positif
Bersabarlah. Anda perlu tabah menghadapi semua. Tanamkan sikap positif bahawa selepas habis tempoh berpantang, anda boleh menikmati juadah yang sama sepuas-puasnya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Dulu-Dulu Tak Apa, Sekarang Anak Kena Hujan Je Terus Demam, Doktor Jelaskan Sebabnya!
Dulu masa kita kecil mandi hujan adalah aktiviti yang paling menyeronokkan. Langsung kita tak pernah terfikir soal demam dan sebagainya. Tapi betul ke kalau kena hujan terus akan demam?
Menurut perkongsian Dr Erna Nadia, keadaan kita tidak sama macam dahulu. Jadi sebaiknya jangan lepaskan anak-anak untuk main hujan sesuka hati. Atmosfera yang semakin kotor ditambah dengan pengudaraan yang tidak sihat akan mengakibatkan banyak penyakit yang mengundang. Baca perkongsiannya.
Betul ke bila kena hujan sure akan demam?
Ok macam ni.
Pendedahan kepada hujan tidaklah akan terus menyebabkan demam. Demam berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman, tak kiralah bakteria ka virus ka parasit ka fungal ka atau apa sahaja jenis kuman yang wujud di dunia.
Jadi, apa kaitan bila kena hujan je ada sesetengah orang demam selsema batuk dan sebagainya?
Macam ni. Bila hujan, suhu menjadi rendah aka sejuk. Bila suhu rendah atau keadaan sejuk, imun dalam badan kita jadi kurang bagus. Bila imun dalam badan jadi kurang bagus, kita mudah untuk jatuh sakit. Tapi kalau imun badan kita hebat, biarlah suhu rendah pun, badan kita masih tetap utuh melawan kuman kuman yang menyerang.
Ada yang tanya, ada petua mana tah dapat kata ayaq hujan ni bagus untuk kesihatan badan. Jawapannya adalah tidak. Nehi. Nyet. NO!
Ada yang tanya lagi, di tempat depa tiada pencemaran, kawasan sekeliling di penuhi pokok pokok yang masih hijau. Jadi kalau hujan sure tak kotor. Jawapannya tetap TIDAK.
Anda kena faham yang mana atmosfera kita tak seperti dulu kala. Atmosfera kita sudah banyak dicemari oleh asap asap kotor. Contoh asap dari kilang kilang yang makin melata, asap dari kenderaan yang makin berlambak, asap dari rokok vape dan bahan tembakau lain, asap dari pembakaran secara terbuka dan asap dari hati yang marah. Ok tak lawak, saja cuba.
Sebab tu, dulu dulu bolehlah anda nak jemur bayi anda, tapi tidak lagi sekarang. Atmosfera yang kotor dan makin menipis menyebabkan kulit kita mudah terdedah dengan sinaran uv yang tinggi juga. Jadi, gunalah sunblock ya jika ada aktiviti luar.
Ok berbalik pada soalan hujan. Bila terdedah kepada hujan, kita tidaklah secara langsung akan dapat demam atau selesema. Namun, jika imun badan kita lemah, kita boleh dapat demam dan selesema akibat perubahan cuaca dan penurunan suhu badan.
Nak kuatkan imun badan, makanlah makanan yang sihat (yang fresh ye tak perlu supplemen) dan kenalah bersenam.
Kredit: Erna Nadia
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Fahami Tentang Bayi Pramatang & Risiko Kesihatan. Ini Sebabnya Mereka Perlu Terus Dipantau
Bayi pramatang mempunyai risiko komplikasi yang lebih tinggi berbanding bayi yang dilahirkan pada masanya. Malah hasil kajian yang dilakukan ini memerlukan anak pramatang perlu sentiasa dipantau tahap kesihatan.
Bagi para ibu yang melahirkan bayi pramatang, mereka bukan sahaja bergelut dengan kepenatan proses kelahiran, malah dengan tekanan emosi dan psikologi menghadapi bayi yang memerlukan bantuan khusus di hospital.
Dan timbul juga pertanyaan, bagaimana dengan jangka hayat mereka? Adakah bayi yang dilahirkan pramatang dijangkakan akan hidup dengan jangka hayat yang lebih pendek atau sama sahaja seperti kelahiran biasa?
Apa itu kelahiran pramatang?
Kehamilan ideal biasanya berlangsung sehingga 40 minggu. Kelahiran antara 37 dan 42 minggu masih dikategorikan kelahiran cukup bulan sementara kelahiran pramatang ialah kelahiran sebelum usia 37 minggu.
Seramai 15 million bayi dilahirkan pramatang setiap tahun, iaitu lebih kurang 1 daripada 10 bayi di seluruh dunia dengan 60% daripadanya di Afrika Selatan dan Asia Tenggara.
Bayi dianggap mampu hidup di luar rahim antara usia 22-24 minggu. Pun begitu, bayi yang dilahirkan seawal 24 minggu pada umumnya memerlukan banyak bantuan perubatan termasuklah pengudaraan mekanikal dan rawatan invasif yang lain disamping perlu menetap dalam unit rawatan intensif neonatal (NICU).
Di tangan pakar yang berpengalaman, bayi yang dilahirkan lebih awal mungkin mempunyai peluang untuk hidup. Bayi yang dilahirkan pada usia 23 minggu dapat bertahan dalam NICU yang canggih, tetapi kemungkinan hidup lebih rendah.
Kemungkinan hidup bertambah dengan usia kehamilan. Oleh itu, bayi pramatang yang dilahirkan lebih kurang 37 minggu akan lebih baik daripada yang dilahirkan sebelum 28 minggu.
Jangka hayat bayi pramatang
Dalam sebuah penyelidikan yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association, kajian mendapati mereka yang dilahirkan pramatang mempunyai risiko kematian 38% lebih tinggi berbanding mereka yang dilahirkan normal sewaktu usia awal dewasa.
Penyelidik di Universiti Stanford mengkaji 674,000 bayi Sweden yang lahir daripada tahun 1973 hingga 1979, dan mendapati bahawa 5% dilahirkan pramatang. Para penyelidik kemudian mengawasi kanak-kanak ini sehingga mereka berusia 29 hingga 36 tahun.
Peningkatan risiko kematian pada usia awal kanak-kanak telah pun diketahui daripada penyelidikan terdahulu. Iaitu dengan risiko kematian sebanyak 59% pada usia awal kanak-kanak (antara umur 1 dan 5), berbanding dengan bayi yang dilahirkan normal.
Mereka juga mungkin mempunyai masalah kecacatan jantung, masalah pernafasan dan endokrin.
Tetapi kajian Stanford ini merupakan yang pertama untuk mengesan risiko kematian pada peringkat awal dewasa. Kerana tiada peningkatan risiko yang ketara antara umur 18 hingga 36 tahun, jangka hayat mereka dijangkakan tidak terkesan setelah dewasa.
Risiko kematian dipercayai berkurang dari masa ke masa. Namun begitu, hasil kajian terbaru ini menunjukkan bahawa peningkatan risiko kematian muncul semula pada usia awal dewasa.
Risiko kematian awal dewasa 1: 1000
Walaupun penemuan ini mungkin merisaukan, kebanyakan bayi pramatang menjalani hidup sihat. Walaupun terdapat peningkatan relatif terhadap risiko kematian awal, penemuan menunjukkan bahawa risiko mutlak kematian pada masa awal dewasa masih rendah: kurang daripada satu dalam 1000 orang.
Apa yang lebih penting adalah untuk mereka yang dilahirkan pramatang atau ibu bapa mereka menyedari faktor risiko ini dan melakukan langkah praktikal.
Penemuan ini menunjukkan bahawa mereka yang dilahirkan pramatang perlu terus diawasi pakar kesihatan sehingga usia dewasa.
Mereka juga harus mengekalkan gaya hidup sihat, makan dengan baik, bersenam secara teratur dan mengelakkan obesiti dan merokok.
Sumber: Hello Doktor
Kelahiran bayi pramatang adakalanya tidak boleh dielakkan. Ia terjadi kerana pelbagai faktor daripada ibu dan bayi. .
Bayi pramatang lahir jauh lebih awal daripada tarikh jangkaan bersalin sedangkan banyak lagi organ-organ masih belum matang sepenuhnya. Dengan kemajuan teknologi perubatan mereka bertahan dan boleh membesar seperti anak-anak normal yang lain. .
Nak tahu lebih lanjut mengenai kelahiran & survival anak pramatang, boleh ikuti rancangan TV Pa&Ma, 6 November 2018 jam 12 tengah hari dan 9 malam di Astro Prima & Astro Maya HD.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Ditidurkan 3 Hari, Ibarat Mati Hidup Semula.” Ibu Syukur Dapat Lagi Peluk Anak
Ibarat diberi peluang kedua untuk bernafas..Ya Allah, saya bersyukur sangat..” Demikian kongsi Puan Nadia Nozula mengenai pengalamannya yang terpaksa ditidurkan (intubated) ketika ingin melahirkan cahaya mata keempat, selepas disahkan positif Covid-19.
Ibarat diberi peluang kedua
Mengimbas kembali pengalaman bersalin yang tidak dapat dilupakan seumur hidupnya itu, Nadia Nozula berkata dia pada mulanya mengalami simptom seperti demam dan batuk selama seminggu sebelum melakukan ujian calitan (swab).
“Waktu itu saya hamil 36 minggu. Mula-mula saya demam selama seminggu. Selepas demam, bertambah satu lagi gejala iaitu batuk. Jadi saya terus buat swab test. Bagi saya, sebenarnya agak terlambat juga bertindak.
“Bila sah positif Covid-19, saya dimasukkan ke wad untuk pemantauan kerana hamil. Saya dimasukkan ke hospital pada 17 Disember. Doktor terus buat pemeriksaan lanjut untuk tengok virus dah merebak sejauh mana.
“Keputusannya, paru-paru saya penuh dengan warna putih.. bermakna dah merebak seluruh paru-paru. Doktor beri bantuan oksigen paling kuat sebab waktu tu saya batuk pun sakit. Siap meracau-racau.
“Doktor beritahu suami, saya kena ditidurkan. Masa dengar, saya jadi takut. Saya fikir mati je. Saya tanya doktor, saya boleh sedar balik tak? Doktor cakap 50-50. Saya fikir, ‘dapat ke aku besarkan anak-anak.’
“Doktor bagi saya call family dulu dan minta mengucap sebelum tidurkan. Masa call family, sedih sangat-sangat,” cerita wanita berusia 36 tahun ini.
Bayi negatif Covid
Senang disapa Nadia, wanita ini berkata dia ditidurkan pada malam hari yang sama dimasukkan ke wad dan bersalin secara pembedahan petang keesokan hari.
Ibu kepada empat cahaya mata ini berkata, bayinya dilahirkan dengan berat 2.9 kilogram dan disahkan negatif Covid-19.
“Saya sedar pada 21 Disember kira-kira tiga hari selepas ditidurkan. Bila dengar pengalaman wanita lain yang ditidurkan, ada yang berminggu, berbelas-belas hari ditidurkan dan ada juga kes yang meninggal dunia.
“Tapi Allah uji saya ditidurkan dengan hanya tiga hari. Ya Allah..ujian aku sekejap saja dibandingkan dengan yang lain.
“Syukur sangat-sangat sampai nak menangis. Masa mula-mula sedar, ingatan macam blur, mamai. Nak taip mesej pun kena fikir panjang. Nombor telefon pun tak ingat. Saya call semua orang sebaik sedar.
“Saya tak boleh tengok baby langsung. Saya discaj hari ke-10 selepas bersalin dan dua hari kemudian, baru baby keluar,” ujar wanita yang menetap di Gua Musang, Kelantan ini.
Jadi cepat penat
Lebih sebulan melahirkan bayi bongsunya, Raja Muhammad Danial Raja Khairul Nizam, Nadia berkata dia bersyukur tidak mengalami simptom ‘post Covid-19’ yang teruk.
Sebaik sedar, dua malam saya tak boleh tidur langsung..hanya berjaga saja. Alhamdulillah sekarang semakin pulih dan sihat. Cuma kadang-kadang penat sikit.
“Doktor kata mungkin ambil masa selama enam bulan untuk normal seperti biasa.
“Saya sama sekali tak sangka video perkongsian pengalaman saya viral di TikTok. Rupa-rupanya, di ruangan komen, ramai yang lalui pengalaman sama malah ada yang lebih lama ditidurkan.
“Untuk ibu mengandung, cepat-cepat ke hospital kalau positif Covid-19. Ada yang pilih kuarantin di rumah sebab kalau pergi di hospital, takut ditidurkan. Sebenarnya ditidurkan itu adalah ikhtiar.
“Bila di hospital, kita dipantau dan boleh tahu sejauh mana kuman merebak. Kalau duduk di rumah, kita sangat berisiko sebab tak tahu situasi sebenar,” ujarnya lagi.
Kredit: Mstar Online
Tak sabar tunggu baby lahir, nak persiapkan mental dan fizikal sebelum si manja lahir nanti. Mahu belajar segalanya tentang ilmu persediaan urus bayi selepas lahir? Jom sertai E-Workshop Pa&Ma: Misi Mama Sambut Baby! Daftar sekarang di https://toko.ideaktiv.com/product/pama-e-workshop-misi-mama-cantik-sihat/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI