Soalan:

Sejak hamil, kaki saya selalu kelihatan bengkak. Kata orang, ia disebabkan oleh lebihan cecair di dalam tubuh. Adakah ia disebabkan saya terlalu banyak meminum air? Boleh doktor terangkan dengan lebih lanjut?

Jawapan:

Kaki yang selalu bengkak memang merisaukan. Lebih-lebih lagi jika ia terasa tegang dan sakit. Kadang kala memerlukan kita memakai kasut yang bersaiz lebih besar daripada biasa.

Namun begitu, kebanyakan masalah kaki bengkak disebabkan duduk terlalu lama atau berada di posisi berdiri terlalu lama. Bengkak sebegini akan hilang selepas kaki diletakkan tinggi ketika duduk atau tidur.

IKLAN

Ketika hamil, 60% wanita mengalami bengkak di kaki tanpa apa-apa masalah lain. Masalah ini menjadi serius jika diiringi dengan tekanan darah yang tinggi. Ini dikenali sebagai pregnancy induced hypertension. Selalunya bengkak ini melibatkan kawasan muka, tangan/jari jemari dan kaki/betis. Jika tekanan darah semakin tinggi dan air kencing mempunyai protein, ia dikenali sebagai praeklampsia.

Praeklampsia memerlukan rawatan kecemasan. Pesakit praeklampsia biasanya mengadu rasa sakit kepala, pening, kabur mata, penglihatan ‘bercahaya’, sakit ulu hati/gastrik, loya dan muntah. Semua ini petanda yang serius!

Saya nasihatkan semua wanita sedar betapa kritikal masalah ini. Janganlah mencari ubat-ubatan tradisional kerana masalah praeklampsia yang tidak ditangani segera akan bertukar kepada masalah eklampsia pula. Jika eklampsia berlaku, pesakit akan menyentak (sawan) dan boleh kehilangan nyawa.

IKLAN

Masalah bengkak kaki juga boleh berlaku jika di kaki puan terdapat varicose veins. Varicose veins adalah pembuluh darah (warna biru) di bawah kulit kaki yang bengkak dan timbul. Ini berlaku kerana injap di dalam salur pembuluh telah rosak dan darah tidak dapat mengalir dari kaki ke jantung dengan sempurna.

Penyelesaiannya adalah dengan memakai sarung kaki khas iaitu pressure graded stockings. Sarung kaki yang panjang ini ketat bila dipakai dan berupaya membantu darah mengalir dari kaki ke jantung.

IKLAN

Masalah bengkak kaki yang diiringi dengan rasa sakit, tegang dan perubahan warna kulit menjadi merah dan panas mungkin menandakan adanya masalah deep vein thrombosis (DVT). Ini berlaku kerana ada darah beku yang terbentuk di dalam pembuluh darah. Darah beku ini merbahaya kerana boleh rekah/pecah dan bergerak dari kaki ke paru-paru lalu menyebabkan pesakit susah bernafas, berdebar-debar dan boleh membawa maut.

Jika puan mengalami masalah bengkak kaki yang tegang, merah, panas dan sakit (lebih-lebih lagi jika hanya sebelah kaki bengkak) sila dapatkan rawatan dari doktor dengan segera. Masalah bengkak kaki juga dikaitkan dengan penyakit-penyakit berkaitan jantung, ginjal dan barah. Jika puan pernah dirawat bagi mana-mana penyakit tersebut, kembalilah semula mendapatkan rawatan daripada doktor puan.

Kesimpulannya, masalah bengkak kaki tidak merbahaya. Namun, kita harus peka mengenai adanya penyakit seperti praeklampsia dan DVT yang boleh mengundang maut jika tidak mendapat rawatan awal.

Soalan berikut dijawab oleh Dr Norintan Zainal Shah, Doktor Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Colombia Asia Medical Centre, Seremban 2, Negeri Sembilan

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI