Bila anak dah mula berhenti menyusu, ibu bapa akan menjadikan minuman bermalt sebagai pengganti susu dengan harapan untuk anak dapat khasiat yang cukup. Tapi ibu bapa terlepas pandang mengenai kesan disebaliknya.

Begitu juga bila ke kedai makan, pilihan utama anak-anak juga adalah minuman bermalt. Tak boleh nak salahkan anak semata-mata sebab mereka tak tahu kesannya melainkan ibu bapa yang kena kawal.

Menurut Dietitian, Ruqayyah Muhd sepanjang 12 tahun di bidang pediatrik ini, bukan sekali dua saya jumpa anak-anak kecil diberikan minuman coklat atau malt sebagai pengganti susu. Kerap. Malah ada yang di bawah usia setahun juga diberikan milo O atau milo dan gula atau milo yang ditambahkan krimer pekat manis.

Andaian mereka, minuman bermalt ini adalah pengganti susu yang bagus sedangkan jika dilihat pada kandungannya ia lebih mempunyai gula berbanding susu yang hadir dalam jumlah yang sedikit cuma. Senang kata, ia lebih menyerupai gula.

Jika dilihat pada infografik yang saya berikan, tiga sudu makan minuman bermalt, sudah menyamai 15g karbohidrat atau gula dan ia memberikan lebih kurang 60kcal. Bersamaan satu sudu makan gula pasir. Biar namanya bermula dengan huruf O atau M atau apapun, kebiasaannya kandungan gulanya lebih tinggi. Apatah lagi selepas ditambah gula atau krimer pekat manis.

Lambakan produk muslim juga banyak yang menggunakan nama koko atau coklat sebagai kononnya minuman sihat kerana ditambahkan dengan pelbagai bahan tambahan ‘makanan sunnah’ sebenarnya mengandungi gula yang agak tinggi. Namun begitu, jika kita sebagai pengguna cakna dengan apa yang kita makan, kita akan mengurangkan risiko mengambil gula yang banyak daripada diet harian.

Kalian boleh periksa kembali label nutrisi pada pakej makanan bagi menentukan kandungan gulanya.

Baca label sebelum beli. Usah pandang pada jenama tetapi perhatikan jumlah nutrisi dan bahan terkandung di dalamnya.

Jadi. Masihkah kita masih mahu terus memberikan minuman begini pada anak kecil kalian.

Gantikan saja minuman bermalt dengan susu rendah lemak. Itu lebih sihat dan lebih berkualiti lagi.

Sumber: RuQayyah Muhd (Dietitian)

Tinggalkan Komen