Menyentuh tentang kelahiran bayi melalui pembedahan caesarean, ada di kalangan anda yang tersalah informasi mengenai hal ini. Ada yang betul. Ada juga yang tidak benar.
Untuk memberi kefahaman yang lebih berkaitan isu ini, Pa&Ma kumpulkan mitos yangsering didengari di samping fakta yang telah diakui oleh kebanyakan doktor pakar perbidanan dan sakit puan.
Mitos 1
Tidak boleh melahirkan anak lebih tiga kali jika melalui pembedahan caesarean.
Fakta
Tiada masalah untuk melahirkan anak lebih tiga kali. Cuma anda perlu tahu risiko akan bertambah. Bukan sahaja bermula dari kali ketiga pembedahan tetapi dari kelahiran pembedahan caesarean pertama lagi.
Antara risikonya ialah tumpah darah, organ berdekatan seperti usus dan pundi kencing tercedera mahupun sakit selepas caesarean kerana proses penyembuhan luka yang lama di dalam perut.
Jika rahim sudah nipis, anda akan dinasihatkan merancang kehamilan selama dua tahun dan perlu melakukan pembedahan caesarean awal iaitu seawal 38 minggu kerana dikhuatiri parut luka pembedahan lama boleh terbuka.
Mitos 2
Ibu yang telah melahirkan anak secara pembedahan caesarean perlu menjarakkan kehamilan selama dua tahun.
IKLAN
Fakta
Tiada masalah untuk merancang untuk hamil kurang daripada tempoh dua tahun. Namun, jika mahu cuba melahirkan anak secara normal selepas melalui caesarean, anda perlu mengelakkan diri daripada hamil sekurang-kurangnya enam bulan kerana dikhuatiri rahim pecah yang tandanya sakit di bahagian parut (sebelah dalam).
Bagi yang mengandung sebelum anak terdahulu berumur enam bulan, doktor selalunya akan menasihatkan pembedahan caesarean sekali lagi dilakukan.
Mitos 3
Perlu jaga makan selepas bersalin caesarean dan elak makanan yang menggatalkan seperti telur dan kulit ayam.
Fakta
Tiada bukti kajian yang mengesahkan pantang-larang makanan yang menggatalkan. Yang penting ialah anda menjaga luka pembedahan dengan baik.
IKLAN
Mitos 4
Tidak boleh bersenam atau membuat kerja berat selama dua tahun.
Fakta
Anda hanya tidak boleh bersenam sekurang-kurangnya dalam tempoh enam minggu selepas melahirkan sahaja. Hal ini kerana luka belum sembuh dalam tempoh tersebut.
Dalam pada itu, anda hanya tidak digalakkan membuat senaman yang tidak biasa dilakukan sebelum ini. Contohnya jika tidak pernah mengangkat beban berat, elakkan daripada melakukannya.
Mitos 5
IKLAN
Tidak boleh memakai minyak panas, berurut dan pakai bengkung selama setahun.
Fakta
Penggunaan minyak panas, berurut dan memakai bengkung boleh dilakukan selepas tempoh dua minggu. Namun, elakkan bahagian parut pembedahan.
Mitos 6
Sukar menyusu susu ibu jika melakukan pembedahan caesarean.
Fakta
Memang benar agak sukar untuk menyusu pada awalnya kerana pembedahan caesarean membuatkan badan tidak kuat dan tidak dapat duduk secara biasa seperti ibu yang melahirkan anaknya secara normal.
Namun, posisi penyusuan football hold iaitu memegang bayi dari belakang tidak memberi tekanan kepada bahagian abdomen.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kehadiran suami di dewan bersalin bukan sekadar memotong tali pusat anak sahaja. Tip yang dikongsikan bapa ini boleh dijadikan panduan kepada bapa-bapa lain.
Menghadapi saat kelahiran bayi memang ditunggu-tunggu bagi mama & papa. Tapi bila memikirkan sakit kontraksi berjam-jam lamanya serta proses meneran yang mencabar di dewan bersalin, ‘seram sejuk’ jadinya.
En Akhtar Syamir telah berkongsi pengalamanya menemani isterinya, Puan Nor Azni bersalinkan anak ketiga mereka. Ia wajar dijadikan panduan kepada bapa-bapa lain. Jangan biarkan isteri bertarung nyawa di dewan bersalin seorang diri! Berikut ialah perkongsian beliau;
Apa sebenarnya yang berlaku di dalam dewan bersalin dan peranan suami.
“Suami kepada Cik Nora Azni, sila daftar dan masuk labour room”.
Ayat yang dah 3 hari saya tunggu akhirnya kedengaran. Ini kali ketiga dalam hidup, saya akan menghadapi situasi ini.
Kononnya sudah biasa, dalam hati membayangkan nak tenang – tenang je masuk labour room.
Tapi, baru sampai kat pengawal yang jaga dewan bersalin, saya dah terkial – kial nak isi buku pelawat. Tiba – tiba jadi tak reti nak isi ruangan nama, nombor kad pengenalan dan lain – lain. Pengawal tu pun dah pandang semacam je.
#1: LUANGKAN MASA
Masuk pintu pertama, saya disambut dengan almari baju putih ala – ala baju doktor. Hampir terlupa bab kena pakai baju nie. Baju disarung dengan peluh sejuk yang mula keluar di dahi. “Ko nie dah kenape? Kawal diri tu sikit”, kata saya kepada diri sendiri. Entah kenapa masa ni ada 2 karakter pulak. Haha.. Baju putih yang ketat di ketiak terus saya sarung sambil menuju ke labour room.
Setelah mendapat kebenaran jururawat, saya masuk dan disambut dengan senyuman si isteri. Belum sakit lagi barangkali. Mesti dia lega saya ada.
#2: MENEMANI ISTERI DI DEWAN BERSALIN
“Terima kasih abang sebab sentiasa ada dengan sayang”, kata isteriku sambil tersenyum manis. 3 kali dah saya di sini. 3 kali juga isteri saya bakal merasakan kesakitan yang amat sangat. Rasa bersalah ada, rasa kesian pun ada.
Tangan dia sentiasa saya usap. Dia meminta kebenaran untuk tanggalkan tudung. Tadi nampak jugak 2 orang Doktor pelatih lelaki. Awal – awal masuk tadi kami dah pesan dengan nurse yang kami nak Doktor perempuan sahaja. “Boleh, jangan bimbang” katanya.
Kami ditemani dengan bunyi degupan jantung baby dari salah satu alat di dalam dewan bersalin ni. Alhamdulillah aktif bunyinya. Mungkin baby pun tengah bersedia untuk keluar.
“Puan nak makan ubat tahan sakit tak?”, soal seorang nurse yang baru sahaja masuk. Kami pun macam terpinga – pinga sebab bersalin sebelum ni memang tak pernah ada orang tawarkan ubat tahan sakit. Rupanya disebabkan jantung baby ok dan bukaan baru 4cm. Dia tawarkan ubat tu sebab kemungkinan lama lagi tunggu dan nanti bila dah mula sakit, tak boleh dah ambil ubat tu.
#3: MENGURUT & SOKONGAN SEMASA KONTRAKSI
Sambil berbual – bual, saya urut – urut badan dan usap kepala isteri untuk beri dia selesa. Sedar – sedar dia dah tidur. Ubat dah berkesan la tu.
Aduhhhh.. Sakitnya tangan kena cengkam. Rupanya “contraction” isteri dah mula. Saya pun mula rekod masa dan jarak masa bila ianya terjadi. Makin lama makin kerap. Makin lama makin panjang. Makin lama nampak makin sakit.
#4: DATANGKAN KEINSAFAN KEPADA DIRI
Masa inilah. Memang masa inilah. Kalau tidak datang keinsafan dalam diri, memang hati tu dah mati. Di depan saya, orang yang paling saya cintai sedang mengalami kesakitan yang amat sangat tanpa saya boleh buat apa – apa pun. Sakitnya sehingga air mata dia mengalir. Bila “contraction” itu berhenti, baru dia lega. Besar sungguh pengorbanan isteri. Fikir saya dalam hati.
#5: PEKA DENGAN TAHAP KESAKITAN ISTERI
Alat sedut gas tu dah macam takde kesan. Kesakitan dah terlalu kuat. Saya panggilkan nurse untuk periksa. Masuk seorang Doktor pelatih perempuan untuk periksa laluan. Baru 5cm katenye. Tapi gayanya macam nak bersalin dah. Lepas Doktor pelatih tu keluar, kebetulan ada nurse lain masuk. Saya pujuk nurse tu supaya periksa balik.
“Eh, dah boleh dah ni. 8cm dah tapi kalau pandai teran boleh je, anak ketiga dah kan?”. Datang seorang lagi nurse. Tapi tiba – tiba masuk dua orang Doktor Pelatih lelaki tadi. Saya terus mintak maaf dan maklumkan yang kami nak perempuan sahaja. Mereka berdua pun faham dan meninggalkan kami berempat dalam tu.
#6: INGATKAN ISTERI 6 STRATEGI SEMASA PROSES MENERAN
Selepas itu saya dan isteri terus fokus. Sebelum ini kami dah rancang strategi teran yang berkesan. Ini semua hasil daripada apa yang kami lalui semasa anak pertama dan kedua. Antara strategi kami :-
1.Jangan angkat punggung. Nanti akan terkoyak.
2.Jangan teran selagi tak dibenarkan nurse. Buang masa dan tenaga.
3.Jangan teran sikit – sikit. Rugi sebab baby akan masuk balik dan keluar sikit je.
4.Teran dengan kuat dan panjang. Biar kurang bilangan teran tapi sepenuh tenaga dan lama – lama. Ini bakal bagi baby keluar dengan cepat dan tanpa sangkut – sangkut.
5.Jangan benarkan nurse buat episiotomi (potong untuk bukaan lebih luas). Saya kena main peranan tegah nurse kalau dia nak potong. Sebab kami yakin kami boleh buat.
6.Set masa bila nak buat “final push”. Masa ni ialah masa untuk teran habis – habisan. Saya akan bagitau dia masanya dah sampai bila kepala baby dah keluar.
Dan seperti yang dirancang, situasi yang sama berlaku. Tapi kali ni nurse dah pegang gunting dan nak potong. Saya tanya “nak potong apa? Jangan !”. Rupanya nurse cakap nak potong tali pusat sebab takut terbelit. Sebab masa kepala dah nak keluar tu, tali pusat dekat sangat dengan kepala baby.
#7: TARIK NAFAS DALAM SAMA-SAMA
Bila potong je, terus kepala baby senang nak keluar. Saya pun bagitau kat isteri yang inilah masanya. Dia tarik nafas dalam – dalam dan bersama dengan saya, kami sama – sama keluar suara untuk meneran sepanjang yang boleh.
Nurse pada masa itu sentiasa bagi dorongan positif seperti bagus, pandai dan sikit lagi. Saya pulak berada dekat dengan muka isteri. Hanya dia dan saya je dalam dunia kami sendiri, dia tak dengar dah nurse cakap ke atau bunyi lain. Dia teran, saya pun teran. Ini nampak macam takde ape – ape, tapi sebenarnya amat membantu isteri.
#8: UCAP TERIMA KASIH & PELUK ISTERI
Alhamdulillah, dengan hanya 3 kali teran, Daisy Medina dilahirkan. Saya terus peluk isteri saya dan ucapkan terima kasih dan I love you berkali – kali. Ini juga kali pertama saya tak boleh control tangisan saya. Habis basah pipi dia dengan air mata saya. Syukur sangat segalanya selesai dengan selamat.
#9: BANTU ISTERI
Cuma kali ni lepas bersalin, isteri muntah – muntah. Bila ditanya, rupanya ianya kesan dari ubat tahan sakit. Setelah beberapa ketika menemani dan mengelap muntah isteri dan keadaan sudah tenang, saya diminta tunggu di wad.
Perjalanan dari labour room sehingga ke tempat menunggu bagaikan sedang berjalan di dalam taman warna warni. Berbunga – bunga hati saya. Saya rasa masa tu juga kalau diukur, kedalaman lesung pipit adalah yang paling dalam dalam sejarah hidup saya. Hehehe..
PAPA JANGAN LUPA 6 PERANAN INI BILA DI DEWAN BERSALIN
Jadi, kesimpulannya di sini. Betapa pentingnya kehadiran suami di dewan bersalin.
Jangan biarkan isteri anda hadapi saat bersalin bersendirian. Isteri perlukan orang yang paling disayangi di sisi.
Wajib jadi penenang kepada isteri. Waktu itu fikiran isteri tidak menentu.
Bantu mana yang patut, urut tempat yang lenguh kerana berjam – jam menunggu.
Bantu isteri berkomunikasi dengan nurse. Masa tu isteri tengah sakit, suami yang ada kat situ boleh tolong jawab dan tanya info mengenai keadaan isteri dan baby masa tu.
Suami wajib jagakan aurat isteri. Bertegas jika perlu. Berlembut jika terpaksa.
Ucapan terima kasih dan penghargaan yang spontan sejurus selepas kelahiran baby adalah amat penting. Isteri baru sahaja melalui satu keadaan yang getir dan amat menyakitkan demi kita. Jangan anggap mudah perkara nie.
Semoga dengan penulisan ini dapat memberi sedikit idea mengenai apa yang berlaku di dalam dewan bersalin. Amat baik buat yang belum pernah atau akan melalui saat seperti ini.
BERIKAN SOKONGAN SERAPAT MUNGKIN
Buat yang tidak mampu untuk berada bersama isteri kerana tidak tahan dengan darah, janganlah bersedih. Ini adalah perkara yang di luar kawalan. Berilah sokongan serapat yang boleh.
Buat suami yang tidak dapat bersama isteri kerana bekerja, bertabahlah. Ini ujian buat suami dan isteri. Diharap dengan penulisan ini juga dapat anda faham betapa sakitnya isteri dan betapa isteri memerlukan suaminya pada saat itu. Cubalah sebaik mungkin untuk berada bersama. Rancanglah sehabis baik. In Shaa Allah akan dipermudahkan segala urusan.
“Kenapa bahagian belakang kepala bayi saya ni meleper?” Ramai ibu yang bertanya soalan ni semasa di klinik. Ini antara kerisauan ibu-ibu bila melihat kepala anak menjadi leper.
Ada bayi yang bentuk kepala mereka semasa lahir cantik bujur, tapi selepas beberapa bulan mula menjadi leper terutama di bahagian belakang kepala. Inilah yang dipanggil sebagai Flat Head Syndrome.
Salah satu puncanya disebabkan oleh bayi banyak diletakkan dalam posisi menelentang semasa tidur di atas tilam dan juga semasa mereka berjaga.
Bayangkan, mereka sentiasa ada dalam posisi menelentang dari pagi sampai ke malam. Jadi tekanan pada tulang kepala bayi yang lembut tu menyebabkan bentuk kepala berubah.
Ada 3 jenis aktiviti ni untuk kurangkan Flat Head Syndrome ni. Kalau diamalkan, bila bayi tu berumur 1-2 tahun, bentuk kepala insyaAllah jadi cantik semula yang dikongsi oleh Dr. Redza Zainol.
Tummy to tummy
Lepas bayi lahir dah boleh letak bahagian perut bayi bersentuh pada perut/dada ibu yang sedang baring.
Sambil tu boleh pandang mata anak lama-lama. Bonding time antara ibu dan anak. Ayah pun boleh buat juga.
Lap time
Baringkan bayi pada peha kita dengan bahagian perut bayi menyentuh peha ibu.
Kita support sikit kepala bayi dengan tangan atau kaki kita. Boleh teruskan sampai bayi tertidur.
Side lying
Kita letakkan bayi dalam posisi mengiring. Letak gulungan kain di belakang bayi supaya bayi kekal dalam posisi mengiring.
Boleh juga letak alas kepala supaya bayi selesa. Tangan dan kaki bayi berada di depan badan bayi.
Setiap aktiviti boleh dibuat selama 10-15 minit untuk setiap sesi. Lepas tu, bayi selalunya dah mula menangis sebab penat. Setiap kali buat aktiviti ni, ibu bapa perlu pantau dengan rapi ya.
Handphone letak jauh, fokus hanya pada anak. Pegang dan belai dia. Tengok mata dia. Peluk dia, sayang dia. Bantu saya #sebarkan supaya lagi ramai ibu ayah yang tahu. Kita mesti nak anak kita sihat dan comel kan.
“Doktor, saya hari-hari berus gigi anak, tapi kenapa gigi anak saya masih juga rosak?”
Doktor pergigian, Doktor Khairul telah menyenaraikan beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh ibu bapa yang menjadi punca kepada berlakunya kerosakan terhadap gigi anak sama ada dilakukan secara sedar mahupun tidak sedar.
Antaranya:
1️⃣ Membiarkan anak minum susu botol sehingga anak tertidur bersama-sama botol susu di dalam mulut.
2️⃣ Menambahkan gula/madu ke dalam susu anak.
3️⃣ Memberi anak minum minuman manis yang lain selain daripada susu menggunakan botol.
4️⃣ Masih membiarkan anak minum susu menggunakan botol walaupun usia anak telah melebihi 2 tahun .
5️⃣ Tidak membiasakan anak minum air masak/air kosong selepas anak selesai menyusu (bagi yang berumur 6 bulan ke atas).
6️⃣ Merasa makanan atau minuman terlebih dahulu dan menyuapkan ke dalam mulut anak menggunakan sudu yang sama.
7️⃣ Meniup makanan atau minuman yang panas dengan bibir untuk menyejukkannya sebelum menyuapkan ke dalam mulut anak.
8️⃣ Berkongsi sudu atau garpu dengan anak ketika makan.
9️⃣ Tidak memantau/mengehadkan pengambilan serta kerap memberikan makanan ringan/snek/coklat/gula-gula kepada anak di antara waktu makan utama.
🔟 Tidak membersihkan gigi serta mulut anak di bawah usia setahun menggunakan tuala basah selepas anak menyusu terutama pada waktu malam sebelum tidur setiap hari.
1️⃣1️⃣ Tidak membantu anak yang berusia 1 tahun ke atas memberus gigi mereka setiap hari atau membiarkan mereka memberus gigi dengan sendiri.
1️⃣2️⃣ Tidak menggunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida untuk memberus gigi anak.
1️⃣3️⃣ Tidak memeriksa sendiri mulut dan gigi anak di rumah secara berkala.
1️⃣4️⃣ Tidak membawa anak ke klinik gigi untuk pemeriksaan seawal usia anak 6 bulan atau selewat-lewatnya setelah gigi pertama anak tumbuh.
Cuba lihat kembali, ada tak di antara senarai di atas yang pernah atau masih anda lakukan terhadap anak kecil anda?
Jika ya, mungkin itulah yang menjadi punca kenapa gigi anda mudah mengalami kerosakan gigi.
Jadi kepada semua ibu bapa mari kita sama-sama berusaha untuk menghindari daripada melakukan kesilapan-kesilapan di atas ya.
Kerosakan gigi anak sebenarnya boleh dicegah jika kita tidak melakukan kesalahan-kesalahan di atas sejak dari awal usia anak iaitu sebelum gigi pertama mereka tumbuh.
Bagi anda yang mempunyai anak yang sudah pun mengalami kerosakan, jangan terlalu risau. Segeralah bawa anak anda ke klinik gigi berhampiran bagi membolehkan doktor gigi memeriksa keadaan gigi anak anda.
Berbincang dengan doktor gigi dan dapatkan maklumat lanjut tentang pilihan rawatan yang ada bagi merawat gigi anak anda.