“Anak saya suka membaca tetapi dia tak suka menulis”. “Susah betul nak suruh anak saya ini buat latihan menulis”. Ini adalah antara rungutan yang sering dengari daripada ibu bapa tentang kemajuan anak mereka terutama bila bacaan tidak lagi menjadi keutamaan.

Secara umumnya aktiviti menulis di peringkat tadika sering kali bermula dengan “latihan”. Perkataan latihan ini sudah cukup menunjukkan bahawa aktiviti ini adalah bersifat “kerja’, melibatkan penggunaan otot-otot kecil jari memegang pensel serta fokus mata untuk menghasilkan coretan yang berbentuk di atas kertas.

Huruf yang ditulis berulang-ulang tidak menghasilkan contohnya perkataan yang difahami dan sering kali anak hanya melakukan aktiviti ini bukan kerana suka tetapi dipaksa.

Bagaimanakah kita boleh memastikan aktiviti ini menjadi sesuatu aktiviti yang bermakna dan menyeronokkan?

Mengajar anak sebarang kemahiran baru seharusnya dimulakan dengan menyemai minat dahulu. Contohnya,kalau ingin anak suka membaca, mulakan dengan membaca buku cerita kepadanya.

Dengan itu, kalau ingin anak suka “ menulis” anda seharusnya mempamerkan keseronokan menulis serta kenapa menulis itu suatu kemahiran yang perlu dipelajari.

Bagaimana hendak kita mulakan?  Ikuti empat langkah mudah ini.

LANGKAH SATU

Aktiviti penulisan pertama tidak perlu melibatkan anak-anak menulis atau memegang pensel. Tak pegang pensel? Macam mana anak hendak menulis kalau tak guna pensel? Tentu ibu ayah pelikkan.

Sebenarnya pensel dan pena akan digunakan tetapi yang akan menggunakannya adalah ibu atau ayah atau guru. Ibu atau ayah bertindak seperti wartawan atau seorang setiausaha. Ibu atau ayah bersama sekeping kertas dan pensel atau pena akan mengajak anak untuk bercerita.

Tanya anak apa aktivitinya pada hari itu

LANGKAH KEDUA

Seterusnya, ibu atau ayah akan bertanya kepada anak apa yang berlaku pada hari tersebut( maka seeloknya aktiviti ini dilakukan pada sebelah petang atau malam). Ibu atau ayah mungkin sudah mengetahui tentang perkara-perkara menarik yang mungkin telah berlaku pada hari itu, contohnya, anak baru sahaja pulang daripada lawatan sekolah ke zoo. Ibu atau ayah , boleh bertanya, “ Tadi adik pergi ke mana dengan kawan-kawan dan cikgu”. Dia menjawab “ Zoo”. Seterusnya ibu bolah bertanya, “ Ada apa di zoo?”.

Ibu atau ayah tulis apa yang anak ceritakan dengan ayat yang ringkas dan tulisan yang besar

LANGKAH KETIGA

Kemudian ibu atau ayah akan menulis apa yang anak akan ceritakan apa yang dilihat. Ibu atau ayah akan menulis di atas kertas. Masa ini ibu boleh bagitahu bahawa pada hari itu bermulalah aktiviti menulis diari aktiviti anak. Ibu akan menulis dalam ayat yang lengkap sambil diperhatikan oleh anak.

Apa yang berlaku di sini adalah anak melihat “fenomena” menulis, anak mengamati tulisan yang ditulis ibu atau ayahnya yang merupakan hasil daripada kata-katanya atau ideanya. Anak didedahkan kepada sebab dan perlunya dia untuk menulis. Anak akan teruja melihat apa yang difikirkannya dapat digambarkan dalam bentuk tulisan.

LANGKAH KEEMPAT

Akhirnya membuatkan anak-anak suka menulis. Aktiviti ini sebaiknya dilakukan setiap hari. Ianya boleh menjadi lebih menarik dengan meletakkan gambar yang berkaitan, tiket masuk atau sebarang kenangan berkaitan aktiviti.  Mendekorasi muka depan diari boleh juga dijadikan aktiviti kreatif yang tersendiri.

Apa yang pasti aktiviti penulisan seperti ini membolehkan anak melihat proses menulis itu dan melihat bahawa ia adalah sesuatu yang bermanfaat malah menyeronokkan. Jom kita ajak anak-anak lakukan aktiviti menulis cara ini;

 

Tinggalkan Komen