Orang ramai selalu menyangka penyusuan ibu itu semudah menyebut A-B-C atau 1-2-3. Hakikatnya amalan menyusukan bayi dengan susu ibu lebih besar tanggung jawabnya.

Kadang-kadang, ada waktunya anda terbuat silap yang sama sekali tidak disedari atau disengajakan. Mari kita ikuti apakah kesalahan-kesalahan yang mungkin anda pernah buat.

1. Kurang menyusu atau tidak kerap mengepam

Anda mungkin tanpa sengaja mengurangkan sesi penyusuan langsung dengan bayi atau tidak kerap mengepam payudara bagi mengumpulkan stok susu ibu perahan pada waktu-waktu tertentu. Sebenarnya ia adalah satu kesalahan besar.

Mungkin anda perasan jika tidak menyusukan atau mengepam untuk tempoh masa tertentu, payudara terasa penuh. Ini bererti feedback inhibitor of lactation (FIL) bercampur sekali dengan susu ibu.

FIL akan menghantar isyarat kepada tubuh bahawa anda terlalu banyak menghasilkan susu untuk tempoh itu. Kesannya, berfungsi berlandaskan petunjuk itu, tubuh perlahan-lahan mengurangkan amaun pengeluaran susu.

Oleh sebab itulah, lama-kelamaan, penghasilan susu ibu terjejas. Semakin lama anda tidak menyusukan bayi ataupun mengepam susu, semakin sedikit hasil pengeluaran susu. Dinasihatkan agar anda tidak menunggu hingga payudara penuh, baru mahu menyusu atau mengepam.

2. Tidak menyusu atau mengepam di waktu malam

Setelah hampir seharian bekerja di tempat kerja, kemudian ditambah pula dengan urusan kerja rumah, anda jadi terlalu letih. Pasti anda mahu menghilangkan kepenatan itu dengan segera melelapkan mata.

Dalam keadaan sebegini, kadang-kadang anda mungkin terlalu penat untuk susukan anak atau mengepam sehingga membiarkan payudara tidak dikosongkan dengan sebaik-baiknya dan menjadi penuh. Hal ini akan menyebabkan FIL menghantar isyarat kepada tubuh dan kesan buruknya, penghasilan susu merudum.

3. Sedih tidak mahir menyusukan

Mana-mana ibu tidak kiralah pertama kali menyusukan bayi ataupun sudah banyak pengalaman pasti melalui pengalaman seperti ini. Anda sedih dan kecewa apabila bayi tidak melekap dengan betul walaupun sudah cuba mengajarnya beberapa kali.

Anda perlu ingat proses penyusuan susu ibu adalah masa di mana ada dan bayi perlu sama-sama belajar memahirkan diri agar proses penyusuan dapat berlangsung dengan lancar dan memberi manfaat kepada kedua belah pihak.

Sememangnya lekapan yang betul penting untuk proses penyusuan susu ibu. Janganlah terlalu bersedih hingga boleh memberi kesan kepada perhasilan susu anda.

4. Biarkan anak tidur lama

Bayi yang menyusu susu ibu sepenuhnya, terutamanya bayi baru lahir memang cenderung tidur dalam jangka masa yang lama. Itu fitrahnya. Anda pula selalu mengambil kesempatan itu dengan membiarkan dia tidur dengan nyenyak supaya dapat berehat lebih lama.

Tindakan anda ini salah dan boleh memberi kesan negatif kepada penghasilan susu. Amalan yang baik dan betul ialah menyusukan anak anda setiap tiga jam. Jika dia tidur dalam tempoh, anda perlu mengejutkannya untuk menyusu.

5. Culas jaga pemakanan

Corak pemakanan anda memainkan peranan penting dalam proses penghasilan dan pengeluaran susu. Kadang-kadang apabila terlalu sibuk menyiapkan kerja, anda terlupa makan.

Walau apa pun, adalah sangat penting untuk anda makan makanan yang sihat dan makan mengikut masa yang tetap. Hal ini akan membantu kelancaran pengeluaran susu anda. Jadi, elakkan diri daripada melangkau waktu makan ya.  Anda boleh mencuba rutin yang sesuai dengan masa tidur anak supaya dapat makan lebih sihat dan mengikut masa.

Tinggalkan Komen