Mesti ramai ibu ayah nak anak fasih berbahasa Inggeris kan? Kata orang, hati kanak-kanak ini terang. Mereka mudah ingat dan cepat menghafal. Ramai ibu bapa yang mula mendedahkan anak-anak mereka dengan bahasa Inggeris sejak kecil lagi.

Anak kecil ibarat kain putih yang suci bersih. Minda mereka terbuka luas untuk diisi. Anda sebagai ibu bapa bertanggungjawab mencorakkan ‘kain putih’ itu dengan ‘warna-warni’. Minda kanak-kanak disifatkan sangat cerdas dan mudah menerima sebarang ilmu yang dipelajarinya setiap hari.

Menurut pakar bahasa Profesor Fred H. Genesee, semakin awal usia kanak-kanak belajar bahasa asing, semakin mudah untuk mereka menguasai bahasa itu. Kanak-kanak lebih cepat menerima bahasa yang dipelajarinya tanpa banyak kesukaran berbanding orang dewasa.

Selain itu, pakar neurologi Dr.Eric H. Lennenberg pula berpendapat, sebelum mencapai usia baligh, otak kanak-kanak memang mudah dilentur sebab itulah mereka lebih mudah belajar bahasa asing.

Usia enam tahun adalah masa emas atau paling ideal untuk mengajar bahasa asing selain bahasa ibunda. Ketika usia ini otak mereka sangat mudah untuk menerima sehingga proses penyerapan bahasa mampu berlangsung dengan sangat lancar. Tambahan pula daya penyerapan bahasa mereka berfungsi secara automatik.

Pendedahan Awal

Memadai dengan pendedahan terhadap bahasa tertentu, misalnya memberikan mereka kebebasan untuk bergaul dengan rakan-rakan yang fasih menggunakan bahasa asing selain daripada bahasa ibundanya. Dengan mudah kanak-kanak boleh menguasai bahasa tersebut. Masa emas ini nyata tidak lagi dimiliki oleh orang dewasa. Walau bagaimanapun, ia bukan bererti orang dewasa tidak mampu menguasai bahasa kedua atau bahasa asing ini.

Menerusi kajian tentang perkembangan minda kanak-kanak, tempoh terbaik untuk mengajar kanak-kanak ini menguasai bahasa asing adalah daripada usia enam hingga 15 tahun. Kanak-kanak yang didedahkan dengan pertuturan bahasa asing sebelum usia 15 tahun mampu menguasai bahasa asing itu sama seperti penutur aslinya.

IKLAN

Kejayaan

Satu kajian telah dijalankan oleh Fathman iaitu pakar bahasa daripada Amerika Syarikat . Beliau melakukan pemerhatian kepada 200 orang kanak-kanak berusia daripada 6 hingga 15 tahun yang belajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di sekolah Amerika Syarikat. Kajian mendapati, kanak-kanak yang lebih muda (usia 6 hingga 10 tahun) lebih mudah menguasai tatabahasa bahasa Inggeris. Sedangkan kanak-kanak yang lebih tua (11 hingga 15 tahun) lebih cenderung menguasai struktur kata.

Jaminan

Sejak melangkah masuk ke pra-sekolah sehinggalah ke Institut pengajian tinggi, kita memang diajar untuk menguasai lebih daripada satu bahasa di dalam pertuturan harian iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kedua-dua bahasa ini memang diguna pakai dalam proses pengajian dan pembelajaran.

Tetapi kanak-kanak yang belajar dua bahasa tidak akan dapat menguasai kedua-dua bahasa itu dengan baik secara sama rata. Ia juga tidaklah sebaik seperti mempelajari satu bahasa. Ia juga memberi tekanan kepada mindanya untuk menguasai dua bahasa tersebut dan pada masa sama sedang mempelajari perkara-perkara lain di persekitarannya.

IKLAN

Untuk mendidik kanak-kanak mahir lebih daripada satu bahasa, ibu ayah perlu bersikap lebih bijak dan tidak tergesa-gesa. Anda kenalah mempertimbangkan kemampuan anak-anak.

Untuk memastikan mereka berjaya menguasai bahasa asing yang dipelajarinya, bahasa tersebut mestilah digunakan dalam pergaulan atau komunikasi seharian. Dalam soal ini papa mama yang kena mainkan peranan penting untuk memastikan kejayaan anak-anak menguasai bahasa asing kerana segala-galanya bermula dari rumah.

5 tip ajar anak fasih bahasa Inggeris di peringkat awal :

Nak Anak Fasih Berbahasa Inggeris? Cuba Buat 5 Tip Mudah Ini

IKLAN

1. Berikan anak-anak pendedahan dan latihan kepada bahasa ibunda dan bahasa Inggeris yang sedang dipelajarinya secara sama rata.

2. Anak-anak perlu mendengar dan bertutur bahasa asing itu secara kerap bagi menguasai perkataan serta tatabahasa bahasa tersebut.

3. Ibu dan bapa adalah tenaga pengajar yang paling berkesan untuk anak-anak memahirkan diri sekali gus menguasai bahasa kedua. CD atau DVD tidak begitu memberikan impak yang sama seperti komunikasi yang berlangsung antara anak dengan ibu dan bapanya.

4. Gunakan bahasa Inggeris dalam apa jua situasi seperti bermain, membeli-belah atau berbual bersama anak-anak. Kaedah ini boleh mempercepatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris anak-anak anda.

5. Bacakan sesuatu bahan bacaan dengan menggunakan bahasa Inggeris serta bahasa ibundanya. Ini adalah cara terbaik untuk meningkatkan lagi pengetahuan tentang perbendaharaan kata serta memupuk skil membaca sejak dari awal.

Semoga usaha tersebut mendatangkan hasil yang memberangsangkan. Selamat menjadi cikgu ibu dan ayah.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI