Semua ibu ayah sentiasa mendoakan anak mereka membesar sebagai hamba Allah yang taat kepada perintahNya dan dengar cakap ibu bapa. Semakin hari semakin besar cabaran ibu bapa hari ini untuk mendidik anak-anak. Zaman anak-anak membesar dengan gajet dan segala macam teknologi yang banyak mendedahkan mereka kepada perkara negatif jika di salahgunakan.
Pendidikan anak adalah perkara yang sangat penting di dalam Islam. Di dalam al-Quran Allah SWT menceritakan cara Luqman Hakim mendidik anaknya sebagai panduan untuk semua. Bahkan Rasulullah s.a.w turut berpesan kepada umatnya dalam hadis-hadis baginda tentang cara mendidik anak mengikut ajaran Islam.
1. Ajar tauhid dan aqidah pada anak
Sematkan dalam hati anak-anak tentang kewujudan Allah. Sejak dari kecil biasakan mereka tahu siapa pencipta mereka, siapa mencipta alam ini dan segala makhluk-makhluk yang ada di sekeliling mereka.
Biarpun mula-mula anak mesti keliru dan tak faham siapa Allah tapi dengan cara memberi penerangan yang mudah, insyaAllah si kecil akan faham. Bila anak tahu kewujudan Allah, dosa dan pahala kalau berbuat jahat dan baik maka mereka akan berlumba-lumba untuk buat baik kerana mahu masuk ke dalam syurga. Sentiasa ingatkan untuk meminta pertolongan hanya dari Allah.
Sementara dalam hadis Nabi s.a.w ada disebutkan yang bermaksud
Rasulullah s.a.w bertanya kepada seorang budak perempuan, “Di mana Allah?”. Budak tersebut menjawab “Allah di langit”. Baginda bertanya pula, “Siapa aku?” Budak itu menjawab, “Engkau Rasulullah”. Rasulullah kemudian bersabda, “Bebaskan dia, kerana sesungguhnya dia adalah wanita mukminah”. (HR Muslim dan Abu Daud).
2. Ajar anak mengerjakan ibadah
Sejak kecil lagi ajar anak bagaimana cara mengerjakan ibadah dengan betul seperti diajar oleh Rasulullah s.a.w. Mulakan dari cara bersuci, solat, puasa dan lain-lain ibadah.
Rasulullah s.a.w bersabda, yang bermaksud
“Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.” (HR.Al-Bukhari).
“Ajarlah anak-anak kalian untuk solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia 10 tahun (jika enggan bersolat).”
Bila mereka sudah biasa menjaga ketertiban dalam bersolat, ajaklah mereka untuk bersolat jemaah di masjid. Dengan melatih anak sejak kecil maka Insya-Allah bila besar mereka sudah terbiasa dengan ibadah-ibadah tersebut.
3. Ajar anak baca al-Quran, hadis, doa dan zikir yang mudah
Mulakan dengan surah Al-Fatihah dan surah-surah yang pendek serta doa tahiyat untuk solat. Jika boleh digalakkan menyediakan guru khusus bagi mereka mengajar tajwid, menghafal al-Quran serta hadis. Begitu juga dengan doa dan zikir harian. Sejak usia kecil lagi biasakan anak dengan amalan doa-doa harian seperti doa makan, naik kenderaan, masuk tandas, tidur supaya perlahan-lahan mereka boleh menghafalnya dan menjadikan satu amalan.
4. Didik anak dengan adab dan akhlak yang mulia
Ajarlah anak dengan berbagai adab Islami seperti makan dengan tangan kanan, minum air mesti duduk, membaca Bismillah sebelum makan dan minum, menjaga kebersihan, mengucapkan salam dan lain-lain lagi. Begitu juga dengan akhlak. Tanamkan dalam diri mereka akhlak-akhlak mulia seperti berkata dan bersikap jujur, menolong ibu ayah, menghormati orang yang lebih tua, sayang kepada yang lebih muda, tidak kedekut dan macam-macam lagi.
5. Larang anak dari melakukan perbuatan yang diharamkan
Anda mestilah kerap mengingatkan anak supaya tidak melakukan perbuatan yang tidak baik dan diharamkan dalam Islam seperti mencuri, mengambil hak orang lain, berjudi, minum arak, melawan ibu bapa dan lain-lain lagi.
6. Tanamkan sifat jihad dan keberanian dalam diri anak
Kerap bacakan anak kisah-kisah kehebatan dan keberanian Nabi s.a.w dan para sahabat baginda dalam peperangan untuk menegakkan Islam supaya mereka mengetahui baginda dan sahabat-sahabatnya adalah hero yang berani dan patut disanjung dan dikagumi. Bukannya watak superhero kartun ciptaan manusia yang sering ditayang di televisyen. Tanamkan juga dalam diri anak-anak untuk cinta dan sayangkan agama Allah dan keinginan untuk memperjuangkan Islam serta tidak takut untuk berjihad di jalan Allah. Didik juga anak supaya berani melakukan amal ma’ruf nahi munkar, dan tidak takut kepada perkara yang tidak benar melainkan hanya kepada Allah. Jangan menakut-nakutkan anak dengan cerita-cerita bohong, seram, hantu, binatang tertentu dan tempat gelap. Sebaliknya hanya katakan pada mereka takut itu hanya kepada Allah SWT sahaja.
7. Biasakan anak dengan pakaian yang patuh syariah
Biarpun anak masih kecil tapi biasakan mereka memakai pakaian yang sesuai mengikut jantina masing-masing. Jangan biasakan anak memakai pakaian yang ketat dan menunjukkan aurat keterlaluan walaupun anak kecil belum baligh dan tidak wajib menutup aurat lagi.
Demikianlah beberapa ajaran dari Rasulullah s.a.w dalam mendidik anak. Semoga kita sebagai orang tua dapat merealisasikannya dalam mendidik anak-anak. Dalam proses mendidik anak-anak menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah, hendaklah ibu ayah selalu bersabar, tak jemu menasihat dan mengingatkan anak dengan lembut dan penuh kasih sayang. Jangan menengking dan memaki hamun mereka sekiranya ada yang membuat kesilapan sebaliknya penting untuk memberi tunjuk ajar dan membetulkannya. Semoga usaha kita diredai oleh Allah SWT.
Sumber: anakmuslim
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Rupanya Inilah Punca Kenapa Anak Autism Kerap Mengamuk Waktu Makan
Selain daripada isu lambat bercakap, tidak ada eye contact, tidak respons pada nama dan tidak fokus , masalah untuk makan juga dialami oleh anak-anak autism ini. Jom kenali kategori dan faktor yang menyumbang kepada isu ini.
Kategori dan ciri-ciri masalah pemakanan :
1) Food neophobia (takut kepada makanan baru yang diperkenalkan)
– Kebiasaannya anak autism mempunyai ciri-ciri ‘rigidity’ dan menyebabkan mereka tidak suka kepada benda baru. Oleh itu apabila ibu bapa memperkenalkan makanan baru, mereka akan menolak dan hanya memilih makanan yang disukai sahaja.
2) Food selective and sensitive
– Terdapat juga anak autism yang memilih dan terlalu sensitif kepada makanan. Mereka tidak mahu sesuatu makanan itu kerana memilih dan mengutamakan sesuatu tekstur, rasa, suhu dan cara penyediaan makanan. Sebagai contoh ada anak yang hanya memilih tekstur (keras/lembut), makanan yang berperisa/tiada rasa, suhu (panas/sejuk) dan cara penyediaan seperti goreng/kukus/rebus atau sebagainya. Perkara ini ada kaitannya dengan isu motor dan sensori anak-anak .
3) Masalah tingkahlaku semasa makan
– Ada juga anak autism yang tantrum dan meltdown apabila tiba waktu makan. Mereka tidak mahu duduk sekali di meja makan, buat hal sendiri dan ada yang agresif seperti meludah dan mencampak makanan.
Apa faktor yang menyumbang kepada masalah ni? Kenapa anak-anak autism alami perkara ni ya? Jom baca lagi!
1) Komunikasi
– Anak autism sememangnya ada masalah komunikasi, jadi mereka akan rasa susah dan terbeban untuk komunikasi semasa di meja makan. Sebagai contoh mereka sebenarnya tidak lapar pun tapi ibu memaksa untuk makan.. Jadi mereka akan melarikan diri dan mungkin mengamuk disebabkan tidak pandai untuk memberitahu.
2) Interaksi sosial
– Waktu di meja makan merupakan waktu untuk kita sekeluarga bercerita dan bersosial. Waktu makan juga ada peraturan dan adab sebagai contoh tidak boleh bermain- main semasa makan dan perlu duduk dengan baik. Jadi anak autism yang ada masalah sosial akan rasa susah dan mengelakkan diri untuk bersosial dan makan bersama keluarga.
3) Masalah motor dan sensori
– Dari segi oral motor, ada anak autism yang mempunyai masalah dari segi fungsi rahang, gigi, lidah dan membawa kepada masalah untuk mengunyah dan menelan. Dari segi sensori pula, deria anak-anak ini ada yang terlalu sensitif (hypersensitif) dan kurang sensitif (hyposensitif). Disebabkan inilah mereka memilih untuk sesuatu makanan dari segi tekstur dan rasa itu.
4) Masalah kesihatan
– Terdapat anak autism yang mempunyai masalah gastrointestinal, sebagai contoh sembelit, allergic dan juga penghadaman. Disebabkan rasa tidak selesa ini lah mereka membuat tingkah laku yang tidak sepatutnya semasa makan. Bayangkan jika anda sendiri tidak selesa bila perut sakit, mesti selera makan pun tak datang! Apatah lagi mereka yang tidak dapat meluahkan apa yang mereka rasa dan alami.
Oleh itu, kenali dulu apa punca yang membawa kepada masalah pemakanan anak-anak ini. Berjumpa lah kepada yang pakar untuk membantu anak anda. Ingat ya, pemakanan pun penting untuk tumbesaran dan pembelajaran anak-anak.
* Sekiranya anak anda ada ciri-ciri di atas, tidak semestinya anak anda autism ya.. Anak-anak yang normal pun memang ada masalah pemakanan ni.
Sumber: Amalin Izati (Nutritionist)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kesian Anak, Jika Culas Sarapan Boleh Jejas Kepintarannya. Ibu Ayah Sila Alert Walaupun Super Duper Sibuk!
Sarapan pagi buat anak jika culas memang boleh jejas kepintarannya, justeru ibu bapa yang super duper sibuk pastikan ada sarapan pagi di atas meja sebelum anak ke tadika. Memang tidak dinafikan, bukan mudah untuk memastikan anak-anak mendapat sarapan pagi yang berkhasiat lebih-lebih lagi pada waktu pagi yang sentiasa sibuk.
Tahukah anda bahawa sarapan pagi membantu permulaan metabolisme dan memastikan seseorang itu memperoleh makanan yang secukupnya untuk memulakan hari. Orang dewasa perlukan sarapan untuk mendapatkan tenaga manakala kanak-kanak memerlukannya untuk membesar dan perkembangan otak.
Mengikut kajian Jabatan Nutrisi dan Diebetik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2007 di 47 buah sekolah rendah bandar dan 41 sekolah luar bandar mendapati 32.1 peratus murid terlepas sarapan termasuk 7.5 peratus murid yang langsung tidak bersarapan.
Hendak tahu lebih lanjut kenapa sarapan itu penting untuk anak-anak. Admin sediakan info mengenainya. Lepas ni jangan culas buat sarapan ye untuk anak-anak tersayang.
Kenapa Sarapan Pagi Penting?
Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengambil sarapan pagi lebih peka dan mudah faham ketika di bilik darjah. Mereka juga aktif dalam sukan dan aktiviti fizikal yang lain. Sarapan pagi yang sihat penting bagi memastikan perkembangan dan kematangan tulang, tisu dan organ dalaman tubuh kanak-kanak tidak terjejas.
Terdapat kajian jika tiada sebarang pengambilan sarapan akan menyebabkan daya tumpuan yang kurang, tidak fokus, tidak aktif, lebih lambat menyelesaikan kiraan matematik dan tugasan yang diberikan di tadika.
Ada juga kajian menunjukkan anak yang tidak bersarapan mempunyai simptom ‘anxiety’ dan depresi. Rasa lapar akan menyebabkan anak kelihatan letih, tumpuan kurang, daya berfikir kurang disebabkan oleh penurunan aras gula darah. Berbanding anak yang bersarapan pagi mempunyai daya tumpuan yang lebih tinggi dan fokus dalam pembelajaran.
Jadi pastikan anak ke tadika telah diberikan sarapan pagi. Lempeng kosong pun boleh jadi sarapan ringkas buat anak-anak.
Apakah jenis makanan yang boleh diberikan kepada kanak–kanak sebagai sarapan pagi yang berkhasiat?
Sarapan pagi yang sihat perlu mengandungi protein dan serat. Protein boleh didapati daripada daging tanpa lemak, telur, kekacang dan produk tenusu. Manakala serat pula ada dalam sayur-sayuran,buah-buahan dan bijirin. Selain itu, kanak-kanak juga perlukan nutrien lain seperti vitamin dan mineral bersama-sama asid lemak. Antara menu untuk sarapan pagi berkhasiat ialah roti telur bersama mentega kacang, biskut gandum disapu mentega kacang dan hash brown, telur, roti bakar serta jus oren.
Anda seorang ibu berkerjaya yang sibuk. Jadi, bagaimanakah caranya untuk menyediakan sarapan pagi yang ringkas tetapi berkhasiat untuk anak?
Kanak-kanak sememangnya bergantung penuh kepada ibu bapanya untuk mendapatkan sarapan pagi berkhasiat yang diperlukan dalam menjalani gaya hidup yang aktif. Menyediakan sarapan pagi yang berkhasiat tidaklah sukar. Contoh sarapan pagi yang ringkas tetapi menyihatkan ialah seperti telur rebus, buah-buahan dan semangkuk bijirin bersama susu rendah lemak. Selain itu, roti gandum penuh dengan sapuan yang mengandungilemak baik juga merupakan sarapan yang berkhasiat.
Bagaimana nak tahu anak mendapat sarapan yang mencukupi?
Ketahuilah bahawa selain sarapan pagi, snek juga penting. Snek yang berkhasiat boleh menampung kekurangan nutrien ketika bersarapan supaya anak anda mendapat bekalan tenaga yang diperlukan untuk kesihatan dan tumbesarannya. Kanak-kanak perlu makan kerap kerana kadar metabolisme mereka sangat tinggi. Oleh yang demikian, anda haruslah bekalkan anak dengan snek yang berkhasiat seperti buah-buahan segar, biskut gandum penuh dan produk tenusu rendah lemak.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pada Usia 6-13 Tahun, Ayah No 1 Di Mata Anak Lelaki & Dianggap Sebagai Idola
Mendidik anak besar tanggungjawabnya. Anak lelaki dan perempuan pendekatannya berbeza dan penting untuk ibu bapa tahu agar tempoh ini tak disiak-siakan. Rugilah bila anak besar baru ibu bapa sedar kerana masa tak dapat diulang kembali.
Dalam perkongsian Dr Redza Zainol, beliau berkongsikan mengenai bagaimana seoarang kanak-kanak lelaki berubah dengan ketara seawl usia 6 tahun hinggalah mencapai usia akil baligh.
Sepanjang tempoh kanak-kanak itu, penting untuk ibu bapa lihat dan jadikan mereka sebagai kawan supaya kita jadi kepercayaan anak.
Kanak-kanak lelaki usia 6-13 tahun akan mula alami perubahan ketara.
1) Timbul karakter yang lebih maskulin.
– suka main lawan-lawan
– suka buat bising
– suka bergusti
– tiru aksi superhero
2) Tertarik kepada lelaki lain yang lebih dewasa. Boleh jadi ayah, pakcik, datuk atau saudara lelaki yang lain.
Pada usia 6-13 tahun, ayah menjadi lebih penting di mata anak lelaki. Anak mula berminat untuk belajar bagaimana menjadi seorang lelaki. Di sinilah dia akan tercari-cari siapakah idola lelaki dewasanya.
Jika lelaki dewasa itu ialah ayahnya, dia akan mula mendekati, belajar dan meniru setiap kelakuan si ayah.
Seolah-olah dia memuat turun “software” dari ayahnya dan masuk ke dalam otak kanak-kanak lelaki tu.
Pada waktu ni, secara fitrahnya dia bersedia untuk belajar dan mendengar kata-kata dari ayah.
Inilah peluang terbesar seorang ayah untuk mempengaruhi diri kanak-kanak lelaki. Asas kepada ciri-ciri maskulin seorang kanak-kanak lelaki juga dibina pada waktu ni.
Inilah masanya untuk ayah “Make Time” atau meluang lebih masa dengan anak lelaki.
Contohnya:
– bermain di sekitar rumah atau di padang permainan.
– jalan berdua bersama.
– bercakap tentang kehidupan.
– bercerita tentang kehidupan diri sendiri semasa masih kecil.
Pada usia begini, ayah perlu mainkan peranan supaya dia lebih mudah didekati oleh anak. Kalau ayah tak ada dalam hidup anak, dia akan mencari lelaki dewasa lain sebagai idolanya.
Bantu saya #sebarkan ilmu ni pada mak ayah yang lain. Ini ilmu yang sangat mahal.
Kredit: Dr Redza Zainol
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI