Sebenarnya terdapat pelbagai aktiviti cara rangsang anak menjadi kreatif di rumah. Anak-anak ini ibarat sehelai kain putih. Jika salah kita mencorakknya, ia akan menjejaskan perkembangannya.

Oleh itu,mulakan rangsangan anak sejak awal lagi sehingga mereka memasuki tadika supaya anak-anak dapat berkembang secara positif. Perkongsian seorang ibu, Puan Zarith yang menyediakan aktiviti berfaedah kepada anaknya untuk mengembangkan daya kreativiti dan emosi ini.

Sebagai seorang ibu yang menjaga anak sendiri 24 jam, kadang kala Zarith kehabisan idea nak main apa dengan anak-anak solehah ni. Baru-baru ni ada belikan Zuyyin sedikit buku aktiviti. Bukan Zuyyin je seronok bermain, Zayra pun gembira bila Zarith bagi dia pegang pen, dan guide dia menulis dan melukis. Gelak comel setiap kali berjaya nampak dakwat keluar terkena buku.

Yang penting kita guide mereka. Jangan biarkan mereka bermain sendiri.

Selain dari aspek keselamatan, bermain dengan anak-anak dapat mengembangkan lagi daya kreativiti mereka dan memelihara emosi mereka. Takde lah nanti anak-anak ingat kita sediakan permainan baru untuk elak mereka dari kacau kita buat kerja

10 aktiviti pilihan boleh lakukan untuk anak-anak

1.Mengemas baju

Selalunya pada waktu pagi, Zuyyin akan masukkan bajunya dan Zayra yang telah kotor ke dalam bakul untuk di basuh. Sambil masukkan, Zuyyin akan sebut warna baju-baju tersebut. Zuyyin juga akan membantu Zarith untuk sidai baju-bajunya di penyangkut baju yang kecil. Pada waktu melipat kain pula, Zuyyin akan tolong Zarith melipat bajunya dan Zayra serta menyusunnya sendiri di rak baju. Disebabkan Zuyyin dan mula bantu Zarith melipat sejak usianya setahun lebih, jadi sekarang ni lipatannya sungguh kemas, dah macam kita yang lipat. Kesemua aktiviti ini tak pernah Zarith memaksa Zuyyin melakukannya, Zuyyin dengan rela hati datang dan minta untuk membantu. Bila kita tak bagi, Zuyyin akan cakap “Takpe la bu, Zuyyin tolong ibu sikit je”. Terharu sungguh dengan anak dara yang sorang ni.

2.Mewarna

Selalunya Zuyyin suka mewarna menggunakan pewarna air (water color). Agaknya sebab ada berus dan air yang boleh dibuat main. tapi kami belikan juga Zuyyin crayon dan pensel warna supaya Zuyyin mempunyai pilihan nak pakai yang mana untuk hari tersebut. Bila bagi je Zuyyin kertas lukisan, pandai la Zuyyin melukis mengikut daya kreativitinya sendiri

3.Bermain pasir

Boleh letakkan sedikit pasir bersih dalam bekas yang telah diisikan dengan permainan dan timbus permainan tersebut. Berikan anak kita penyeduk pasir kecil untuk dia mulakan pencarian harta karunnya yang terbenam tu. Jika rumah berdekatan dengan pantai, boleh la kerap bawa anak bermain pasir di pantai. Ini akan merangsang daya sentuhnya dan juga kemahiran motornya untuk menggenggam pasir-pasir pantai itu.

4.Permainan adunan

Semasa Zarith memasak, Zuyyin juga akan berada di dapur. Pada waktu inilah Zuyyin diberi kebebasan untuk bermain di dapur. Zarith akan berikan Zuyyin sedikit tepung gandum, secawan air dan pelbagai pewarna makanan untuk dicampurkan ke dalam adunan yang Zuyyin dah buat nanti. Pewarna tersebut  Zarith yang akan tuangkannya. Zarith akan biarkan je Zuyyin menggaul adunan tersebut dengan sudu/ senduk kayu.Boleh juga anda buatkan adunan itu menjadi bebola kecil yang berwarna warni, pasti anak anda sukakannya!

5.Pilih, cari dan asingkan

Gunakan benda yang berwarna warni seperti penyepit baju, getah rambut kecil-kecil, ataupun bebola kecil yang berwarna-warni untuk aktiviti ini. Semua bahan ini Zarith beli di MR. DIY je. Letakkan beberapa mangkuk yang berwarna-warni dihadapan Zuyyin, dan Zuyyin akan mula mengasingkan bahan berwarna-warni itu mengikut warna mangkuk tersebut. Sebagai contoh, dalam mangkuk kuning cuma boleh ada getah rambut kecil yang berwarna kuning sahaja. Dengan aktiviti ini, anak kita akan kenal warna.

6.Membersihkan

Selepas bermain ‘masak-masak’ di dapur, Zarith akan biarkan Zuyyin membersihkan sendiri tempatnya bermain. Zuyyin akan basuh pekakas yang telah digunakan dan lap tempat dia bermain dengan kain lembap. Pada mulanya kita kena tunjukkan contoh, kemudian barulah dia faham, yang setiap kali lepas bermain, dia kena bersihkan sendiri tempat bermain tersebut. Dengan cara ini, selain belajar berdisiplin, anak kita juga akan rasa dihargai, dan rasa diri mereka sama seperti orang dewasa

7.Bermain blok

Bermain blok boleh membuatkan anak kita pintar matematik.Zuyyin dan Zayra memang suka bermain blok. Cuma Zayra belum pandai untuk susun pelbagai bentuk. Zuyyin memang dah pakar. Bagi apa jenis blok pun, Zuyyin boleh mereka sesuatu bentuk yang menarik. Dari sini, anak kita dapat melatih daya konsentrasinya, kemahiran motor dan koordinasi tangan dan mata

8.Menyanyi dan menari

Kanak-kanak ni bila mendengar musik, badan mereka secara automatiknya akan bergerak mengikut rentak. Zuyyin pula Zarith ajarkan lagu-lagu zaman tadika seperti ais kacang, dari ulat jadi kepompong, dan banyak lagi. Sambil menyanyi, kita ajarkan gerakan ringkas. Zayra pun akan turut serta dalam permainan ini. Memang mereka seronok sangat bila diajak menyanyi dan menari. Selain dari melatih minda mereka untuk menghafal lirik lagu, ia juga melatih mereka untuk lebih mengenali bahasa. Sampai satu masa, Zuyyin sendiri yang akan ubah gerakan tarian mengikut apa yang dia faham. Sekarang ni, Zuyyin dah pandai cipta lagu sendiri dan paksa ibu dan ayah dengar. Lagu baru katanya. Maka ibu dan ayah la yang menjadi pendengar setia sambil bertepuk tangan. Ini adalah sesuatu perkembangan yang mengujakan. Anak kita menjadi kreatif!

9.Teka barang permainan

Bungkus beberapa barang permainan kesukaan anak kita, kalau boleh jangan gunakan pelekat yang banyak. Sebelum dia membuka barang permainan itu, suruh mereka teka apa yang ada di dalamnya.

10.Album gambar

Sediakan buku nota dan beberapa keping gambar sekeluarga. Bantu anak kita untuk tampal gambar tersebut kemudian tanya mereka adakah mereka kenal dengan orang yang ada dalam gambar tersebut. Zuyyin kenal setiap orang dalam keluarga Zarith dan Mr. Hubby, siap dengan nama penuh lagi sejak umurnya setahun lebih. Permainan ini dapat membantu mereka untuk menajamkan daya ingatan.

11.Bermain cop-cop kertas lukisan

Zarith potong kentang mengikut bentuk yang menarik dan Zuyyin copkan pada kertas lukisan warna-warna kesukaannya. Biarkan anak kita sapu sendiri warna kegemarannya pada kentang tersebut dan biarkan mereka copkan di atas kertas lukisan mengikut bentuk yang mereka suka. Disini kita akan dapat lihat kreativiti mereka.

Terdapat 15 lagi aktiviti yang dikongsi oleh ibu bapa diblognya www.ibuzarith.com yang boleh menjadi panduan anda untuk melakukan aktiviti rangsangan kepada anak. Cara ini dapat mengelak anak asyik bermain gajet dirumah.

Sumber: www.ibuzarith.com 

 

Tinggalkan Komen