“Ibu, dalam perut ibu ada adik ya?” Lin bertanya ibunya. “Macam mana adik nak keluar nanti? Lin dulu dalam perut ibu juga ke? Ibu….oooh ibu..! Jawablah!”

Ibu Fadhlin Sakinah menggeleng kepala sambil meneruskan kerja di komputer ribanya. “Apa yang harus aku jawab? Ya Allah anak ini banyak pula tanyanya!”

Anak-anak kecil bertanya kerana dorongan rasa ingin tahu yang besar dalam dirinya. terhadap sesuatu, bekalan rasa ingin tahu ini memang telah ada sejak manusia lahir. Kehebatan rasa ingin tahu inilah yang membuat bayi boleh merangkak, berjalan dan berbicara. Selanjutnya rasa ingin tahu ini akan menentukan kualiti perkembangan otak kanak-kanak. Kalau perasaan ingin tahu itu sentiasa diselaputi dengan perkataan ‘tidak boleh’ anak-anak yang bijak akan bertanya kembali “Kenapa tak boleh ibu? Kenapa?”

Kita mungkin mengira bahawa anak-anak ini masih tidak tahu apa-apa. Kebijaksanaan otak mereka tidak dapat menjangkau kefahaman alam semesta. Tidak seharusnya kita sebagai ibu bapa berfikiran begitu.

Potensi anak-anak jangan sesekali diambil remeh. Ibu bapa mesti rangsang potensi anak-anak yang sudah tentunya akan menjadi pencetus anak menjadi seorang yang pintar dan cerdas.

Terdapat beberapa sebab yang menyebabkan kenapa anak-anak suka bertanya. Di antaranya, pertama ialah anak-anak menunjukkan minat kepada peristiwa atau pandangan sekitarnya. Kedua,si kecil ini cuba mencari titik terang supaya mereka dapat memahami penjelasan yang diberikan oleh kita dan yang ketiga, kerana mereka ingin menarik perhatian.

Petanda permulaan pemikiran kritis dan kreatif ialah apabila anak-anak bertanya mengapa. Kita ibu bapa harus mempunyai beberapa ‘skil’ bila hendak melayani karenah anak-anak bijak yang selalu ingin bertanya ini.

1.Sifat sabar

Ibu bapa moden kini mempunyai banyak kerja sama ada kerja pejabat atau rumah.  Sehingga tiada masa untuk melayani  soalan dari anak bila mereka mula bertanya. Sabarlah, berikan sedikit masa dari masa kesibukan kita untuk melayani pertanyaan  minda intelek mereka.

2.Jawablah dengan benar

Pendek kata, ibu bapa harus menjawab soalan anak dengan jujur dengan memilih bahasa yang mudah mereka faham. Respons yang baik akan membantu proses berfikir dan pemahaman mereka kelak

Seperti soalan apa di dalam perut ibu tadi. Jawab sahaja dengan jujur. “Ya sayang, dalam perut ibu ada adik. Jika, sudah sembilan bulan akan keluar adik bayi. Sama seperti bila ibu mengandungkan Lin dulu. Nanti kalau kita pergi berjumpa doktor , barulah ibu tahu macam mana kita nak keluarkan adik tu ok”

3.Ajak anak untuk mencari jawapan dari pertanyaan yang sukar.

Jika persoalan itu kita kurang pasti bagaimana hendak menjawabnya, kita berkata” Hmm, ibu tak pasti apa jawapannya, mari kita tengok buku siapa tahu ada jawapannya kalau tak kita cari dalam google sahaja” atau “Esok kita jumpa atuk nanti Iman tanyalah pada atuk soalan tu ya.” atau “Haa…soalan tu kita tanya cikgu esok ok”. Dengan begitu si kecil akan belajar bahawa jika kelak menghadapi masalah, dia akan mencari orang yang boleh membantunya memecahkan masalah yang dihadapinya atau membacanya dari buku atau Internet.

4.Adakalanya tidak perlu menjawab

Ini adalah khusus untuk pertanyaan ‘mengapa’ yang berhubung dengan aqidah, akhlak, ibadah sebaiknya kita mengajak mereka memahami pada menuruti perintah Allah dan Rasulullah s.a.w. “Ibu kenapa kita harus solat begini?” ”Kerana itulah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w bagaimana kita harus solat pada Allah”

5.Sediakan buku bacaan ilmu pengetahuan dan islamik untuk anak.

Ajaklah anak melihat gambar yang menarik dan berbincang mengenai perihal gambar tersebut. Ajar mereka bertanya mengikut cara 5W dan 1H (what,when,where ,why,who dan how)

 

Tinggalkan Komen