Sekarang ini sedang heboh berita pil perancang menyebabkan kanser serviks. Apabila media mengambil maklumat secara selektif dan menyiarkannya tanpa mendapatkan maklumbalas daripada pakar tentang kesan berita yang mereka siarkan, maka orang ramai jadi panik dan takut.

Berita yang berat sebelah itu akan menyebabkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Berdasarkan perkongsian dari Pakar Perunding Kanan O&G, Dato Dr Mohd Rushdan Md Noor, ada beberapa info yang mungkin wanita tidak jelas mengenai pil perancang ini sehingga memberi tanggapan negatif secara keseluruhannya.

Saya dengar ramai wanita berhenti serta merta pil perancang apabila membaca berita ini. Saya akan cuba kupas isu ini daripada sudut yang lebih luas.

Pakar Dedahkan Pengambilan Pil Perancang Menurunkan Risiko 3 Jenis Kanser

Apa-apa sahaja ubat dan kaedah rawatan ada baik dan buruknya. Doktor yang merawat akan membuat pertimbangan manfaat dan mudarat. Sesuatu tindakan akan disyorkan jika manfaatnya lebih daripada mudarat. Hatta dalam apa sahaja kehidupan kita, inilah prinsip yang kita gunakan utk melakukan sesuatu ataupun tidak melakukan sesuatu. Saya pernah menulis bahawa menarik nafas pun ada risiko tetapi utk hidup kita perlu lakukan juga.

Amalan merancang keluarga mempunyai banyak manfaat samada manfaat yang berkaitan dengan merancang keluarga ataupun manfaat yang tidak berkaitan dengan merancang keluarga kerana ubat pil perancang boleh digunakan untuk mencegah dan merawat banyak masalah kesihatan wanita.

IKLAN

Amalan merancang keluarga terutama pil perancang membawa manfaat menjarakkan kehamilan, menghalang kehamilan tidak dirancang (contoh: kes rogol, wanita yang menghidap penyakit serius) dan memberi manfaat kepada anak. Hasil daripada kaedah merancang keluarga, kadar kematian ibu dan anak dapat dikurangkan. Kehamilan yang tidak dirancang seringkali membawa masalah kepada ibu, anak dan keluarga. Pil perancang juga menurunkan kadar kejadian pengguguran haram dan juga masalah kehamilan remaja yang semakin membimbangkan.

Amalan pil perancang juga mempunyai banyak lagi manfaat iaitu mengurangkan masalah haid seperti senggut, haid yang tidak tetap, haid yang banyak dan juga haid yang tidak teratur. Pil perancang boleh digunakan untuk merawat masalah hormon lelaki yang berlebihan, sindrom pramenstrual, mengurangkan kejadian sista ovari, mengurangkan gejala endometriosis, mengurangkan risiko jangkitan pelvis, mengurangkan risiko fibroid, mengurangkan risiko rheumatoid arthritis, meningkatkan densiti tulang, mengurangkan gejala asma, menurunkan risiko prakanser Rahim dan beberapa lagi manfaat yang tidak berkaitan dengan merancang keluarga (“non-contraceptive benefits”. Pendek kata, pil perancang juga boleh digunakan sebagai ubat untuk mencegah dan merawat pelbagai masalah kesihatan wanita.

PIL PERANCANG DAN KANSER

Mari kita lihat fakta mengenai pil perancang dengan risiko menghidap kanser. Memang terdapat kajian epidemiologi yang menunjukkan bahawa pengamal pil perancang mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser payudara dan kanser servik. Walau bagaimanapun kajian ini adalah kajian “observational” yang tidak boleh digunakan sebagai bukti yang kukuh.

IKLAN

Perkara kedua adalah pil perancang bukan penyebab kanser tetapi faktor sampingan yang menaikkan risiko. Kanser serviks disebabkan oleh jangkitan virus HPV, manakala punca kanser payudara masih belum diketahui. Seseorang yang tidak terdedah kepada jangkitan virus HPV, contohnya wanita yang belum berkahwin (belum melakukan hubungan kelamin), tidak mungkin akan menghidap kanser serviks walaupun mengambil pil perancang seumur hidupnya. Di samping itu pula risiko kanser payudara hanya dikaitkan dengan pil perancang jenis triphasic dan bukan daripada jenis yang sering digunakan oleh wanita kita. Peningkatan risiko kanser serviks hanyalah 7% ,manakala kanser payudara pula dalam lingkungan 24%.

Pakar Dedahkan Pengambilan Pil Perancang Menurunkan Risiko 3 Jenis Kanser

Peningkatan yang sebanyak ini sebenarnya adalah sangat rendah. Contohnya risiko kanser payudara di Malaysia adalah 23 bagi 100,000 orang, maka meningkat 24% bermaksud tambahan lebih kurang 6 kes iaitu daripada 23 kepada 29 kes bagi setiap 100,000 orang. Dengan perkataan lain hanya tambahan 6 kes untuk setiap 100,000 orang. Kadar peningkatan kanser serviks jauh lebih rendah dan memandangkan insiden kanser serviks lebih rendah daripada kanser payudara, maka peningkatan sebanyak 7% itu dianggap terlalu kecil.

Kebanyakan kajian mengenai pil perancang ini hanya tertumpu kepada pil yang mengandungi dua hormon iaitu estrogen dan progesterone. Manakala pil yang mengandungi hanya progesterone sahaja seperti provera, noriday dan lain-lain tidak dikaitkan dengan risiko kanser.

IKLAN

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kajian menunjukkan pengambilan pil perancang MENURUNKAN RISIKO 3 jenis kanser iaitu KANSER RAHIM (ENDOMETRIUM), KANSER OVARI DAN KANSER USUS BESAR. Pengambilan pil perancang keluarga menurunkan risiko kanser Rahim sebanyak 30%, menurunkan risiko kanser ovary sebanyak 30-50% dan menurunkan risiko kanser usus besar sebanyak 15-20%. Manfaat mengurangkan risiko kanser ovary juga akan diperolehi oleh wanita-wanita yang mempunyai mutasi gene BRCA 1 / 2 yang dikaitkan dengan kanser keturunan. Kajian menunjukkan bahawa kesan manfaat menurunkan risiko 3 jenis kanser ini berterusan walaupun pil perancang tidak lagi diamalkan.

Jangka masa manfaat itu (menurunkan risiko kanser Rahim, ovary dan usus besar) didapati lebih lama daripada yang dibawa oleh pemberhentian pil perancang untuk tujuan menurunkan risiko kanser payudara dan serviks. Ini bermaksud manfaat menurunkan risiko kanser Rahim, ovari dan usus besar lebih besar daripada mudarat akibat kanser payudara dan serviks. Tambahan pula, kanser payudara dan kanser serviks diketahui mempunyai kaedah pencegahan dan saringan yang sangat berkesan. Sedangkan tidak ada kaedah pencegahan dan saringan yang berkesan untuk kanser ovari dan kanser rahim. Kanser ovari adalah di antara kanser wanita yang sangat sukar dikesan pada peringkat awal dan sukar diubati, begitu juga dengan kanser usus besar.

Berpandukan kepada fakta-fakta di atas, jelas bahawa pengambilan pil perancang mempunyai sangat banyak manfaat berbanding dengan mudarat jika sekiranya diamalkan oleh wanita yang telah disyorkan. Hasil kajian berkenaan dengan pil perancang dan risiko kanser serviks serta payudara tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh kaum wanita untuk menolak terus pengambilan pil perancang jika sekiranya ianya telah disyorkan oleh doktor.

Perhatikan manfaat yang bakal anda perolehi. Apa yang paling penting adalah anda telah mendapat nasihat daripada doktor mengenai keputusan untuk memilih pil perancang sebagai kaedah merancang keluarga. Doktor yang memberikan nasihat kepada anda itu tentu telah membuat pertimbangan yang tepat sebelum membenarkan anda menggunakan pil perancang. Amalan pil perancang dan menghadiri lawatan susulan memberi peluang kepada anda untuk melakukan saringan kesihatan termasuk saringan kanser dengan lebih konsisten.

DATO’ DR.MOHD RUSHDAN MD NOOR
Pakar Perunding Kanan O&G
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI