Setiap kali hamil atau pertama kali hamil, perkara yang paling mengujakan bakal ibu bapa ialah mengenai pakaian bayi. Dengan pelbagai rekaan dan jenama yang memenuhi pasaran, anda tentu terfikir betapa susahnya hendak membuat pilihan.

Ingat, jenama yang popular tidak semestinya lebih berkualiti daripada produk yang kurang terkenal. Paling penting anda tahu bagaimana menilai kualiti iaitu jenis kain – mesti kain kapas 100%; kemasan – pastikan jahitan dan potongannya kemas; dan rekaan – pastikan rekaannya sesuai dengan iklim Khatulistiwa iaitu nipis dan longgar.

 

Kain kapas

Pakaian untuk bayi baru lahir sebaiknya diperbuat daripada 100% kain kapas (cotton). Bacalah label di tengkuk baju atau di mana-mana ia disisipkan. Jika sudah tidak ada pilihan, barulah pilih pakaian yang mempunyai campuran poliester. Bagaimanapun, belilah yang nipis atau sedikit jarang untuk membolehkan peredaran udara pada kulit bayi.

Mengapakah pakaian bayi perlu senipis mungkin? Untuk makluman anda, lapisan kulit luar  (epidermis) bayi adalah 20 hingga 30% lebih nipis berbanding orang dewasa. Ia hanya akan sempurna apabila berusia setahun. Pakaian yang tebal atau bukan kain kapas akan menyebabkan peluh berkuap dan membasahkan kulit serta pakaian. Apabila keadaan ini berlarutan, kulit bayi akan mengalami ruam atau gatal. Lebih teruk jika berlaku geseran hingga melecet.

 

Kemasan

Periksa kemasan pada jahitan. Pastikan tidak ada gumpalan benang atau benang yang keras (nilon). Potongannya juga perlu sesuai misalnya leher yang luas dan pinggang seluar yang lebih memberi (getah lebih panjang atau elastik).

Ada dua sebab, anda perlu fikirkan hal ini iaitu kerana sesetengah pengeluar cuba mengurangkan kain dengan membuat pinggang seluar atau cawat seluar yang lebih kecil. Manakala sebab kedua ialah mungkin perut bayi lebih buncit dan pahanya lebih besar berbanding bayi biasa. Jika ini berlaku, anda perlu bijak memadankan saiz. Misalnya pilih saiz M untuk baju dan L untuk seluar.

Paling penting pastikan anda memilih sekurang-kurangnya satu saiz lebih besar berbanding saiz sebenar bayi. Pakaian yang longgar akan memberikan keselesaan untuk bayi. Lebih-lebih lagi bayi akan cepat membesar. Jadi, pakaiannya boleh digunakan lebih lama.

 

Rekaan

Pakaian sepasang (two pieces) adalah yang terbaik untuk iklim Malaysia kerana ia boleh dipakai secara berasingan. Ramai ibu yang hanya memakaikan bayi baju dan lampin sahaja pada waktu siang. Maka, sudah menjadi kebiasaan ibu di Malaysia membeli baju lebih banyak berbanding seluar. Bayi akan rasa sangat selesa berbanding jika memakai pakaian penuh seperti romper berlengan dan berkaki panjang.

Romper penuh hingga ke kaki sebenarnya hanya sesuai untuk iklim sejuk atau menggunakan sistem penghawa dingin setiap masa. Jika anda teringin melihat anak memakai romper, belilah sehelai dua.

Jangan memilih pakaian yang berbutang besar atau ada hiasan timbul seperti manik dan sebagainya. Bayi mungkin akan terasa sakit atau terluka ketika anda cuba menyarung atau membukanya.

Elakkan pakaian tebal dan berbulu walau pun ia nampak comel dan anak anda kelihatan seperti biri-biri di padang ragut. Bayi akan cepat berpeluh dan menyebabkan gatal-gatal pada tubuhnya.

 

Tinggalkan Komen