Pencarian Bayi Pa&Ma 2014 mengikut zon di seluruh Semenanjung Malaysia sudah berakhir! Baru-baru ini, telah diadakan Pencarian Bayi Pa&Ma 2014 bagi zon tengah yang berlangsung di Little One, Baby & Mum, Kiddy Expo yang bertempat di Viva Expo Hall, Cheras, Kuala Lumpur.

Pencarian yang diadakan selama dua hari ini merupakan zon terakhir iaitu zon keempat termasuk tiga zon lain yang melibatkan zon selatan, utara dan timur. Sebagaimana pencarian sebelum ini, syarat-syaratnya tetap serupa iaitu memberi peluang kepada bayi-bayi yang berumur di bawah dua tahun untuk sama-sama menyertai pencarian ini.

Apa yang menarik, walaupun pencarian ini diadakan di waktu Ramadan, ia tetap mendapat sambutan hebat daripada pembaca setia majalah ini. Kesungguhan ibu bapa jelas terpancar apabila ada yang membawa persalinan pakaian dan aksesori hiasan bagi memastikan anak masing-masing tampil menarik semasa sesi penggambaran. Malah gelagat ibu bapa mengagah anak, memang mencuit hati.

Hampir 120 orang peserta telah menyertai sesi test shot ini yang melibatkan dua photo booth dengan para peserta diberi nombor mengikut giliran masing-masing.

Bagaimanapun hanya tiga orang daripada 15 peserta bagi setiap kategori iaitu kategori A (bawah satu tahun) dan kategori B ( bawah dua tahun) dari zon tengah ini akan dipilih untuk ke peringkat seterusnya.

Sokongan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh ibu bapa amat dihargai oleh Pa&Ma. Tidak dilupakan, setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Lanceford Exhibitions (M) Sdn Bhd kerana menaja lokasi Pencarian Bayi Pa&Ma 2014 (Zon Tengah) di Viva Expo Hall, Cheras, Kuala Lumpur. Juga kepada semua pihak yang terlibat yang sentiasa menyokong Pa&Ma bagi merealisasikan pencarian ini sejak dari awal.

Tinggalkan Komen