Umum mengetahui penyanyi dan pelakon, Elyana menghidap kanser limfoma tahap 4. Beliau membuat pengumuman mengenai penyakitnya itu semasa Gegar Vaganza musim lalu berlangsung. Ramai yang terkejut dengan pendedahannya itu.

Kali pertama Elyana mengetahui dirinya menghidap kanser limfoma tahap dua ialah pada tahun 2012, selepas melahirkan cahaya mata sulungnya, Cinta Sumayyah.

Rentetan itu, Elyana pernah mendapatkan khidmat lebih daripada sebuah hospital. Menurut pengalamannya, dia pernah menjalani menjalani kemoterapi antara 5 hingga 7 kali dalam setahun. Pelbagai dugaan ditempuhi sepanjang menjalani rawatan kemoterapinya.

Ternyata Elyana adalah salah seorang daripada jutaan cancer survivor yang kuat. Tahun lalu, Elyana cuba berpuasa biarpun sedar kesan yang perlu dilalui dirinya selepas menjalani rawatan kemoterapi.

“Tahun lepas, saya kena sambung buat rawatan kemoterapi pada bulan puasa. Jika diikutkan, doktor memang tak benarkan saya berpuasa dan mahu saya buat rawatan dengan segera.

Dalam masa yang sama doktor tak menghalang. Saya tetap cuba untuk berpuasa sebab memikirkan jenuh nak ganti puasa. Jadi, saya tekad berpuasa dan pada masa yang sama buat rawatan kemoterapi.

Beberapa hari selepas rawatan, badan saya mula lemah sebab kekurangan air. Kalau nak tahu, air sangat penting selepas rawatan sebab ia bantu tubuh keluarkan semula ubat yang digunakan.

Sudahnya, saya berjaya puasa tujuh hari sahaja. Walaupun bagaimanapun, saya bersyukur sebab dapat juga jalani ibadah puasa. Apa-apa pun dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu. Jika okay, teruskan.”

Elyana turut memberi kata semangat buat pesakit kanser agar tabah menjalani rawatan kemoterapi. Nasihat beliau, ambil sumber makanan yang mengandungi kalsium secukupnya. Ia penting bagi menguatkan akar rambut dan bulu kening daripada mengalami masalah keguguran selepas rawatan dilalui.

Berbicara lanjut tentang pengalaman pertama berpuasa dengan anak tunggalnya, Elyana bersemangat memberitahu, “Anak saya belajar puasa sejak tahun lepas. Dia mahu cuba dan berjaya puasa sehari penuh. Tahun ni pun saya ikutkan sahaja kemahuan dia yang nak berpuasa. Masa bersahur, tak jadi masalah kepada saya untuk kejutkan dia sebab dia adalah seorang yang suka bangun waktu Subuh.

Cerita pasal bazar Ramadan pula, anak saya memang tak suka sebab dia tak selesa dengan tempat yang ramai orang. Sebaliknya pula, saya dan suami. Kami memang suka dengan bazar Ramadan. Mahu tak mahu, anak saya terpaksa juga ikut kami membeli juadah berbuka di bazar.

Tahun-tahun sebelum ini, suami selalu berbuka puasa di tempat kerja. Sejak ada anak yang sama-sama berpuasa, suami akan pulang berbuka puasa dengan kami di rumah. Bab berbuka, kami bertiga memang kena berbuka puasa dengan nasi. Tak boleh kalau tak ada nasi.”

Tinggalkan Komen