Pilihan permainan yang betul diberikan kepada anak akan membantunya menjadi bijak dan aktif. Oleh itu, jika anak hendak beli permainan bukan sekadar beli je, tetapi ibu ayah kena ketahui faedah kegunaan barang permainan itu untuk perkembangan anak. Jika salah pilih dan bukan mengikut tahap usianya tentu akan memberi kesan kepada perkembangannya.

Secara umumnya alat mainan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu
-Aktif
-Manipulatif
-Kreatif
-Belajar
-Main peranan

6 KATEGORI PERMAINAN
1.ALAT PERMAINAN AKTIF
Faedah: Membina tubuh badan dan fizikal yang kuat. Dia juga boleh belajar bergaul dan membina jaringan sosial, belajar untuk bertolak ansur dan mengambil giliran, bersabar, memahami orang lain dan kerja berpasukan.
a)Tolak dan tarik
Antara permainan menggunakan mekanisme tolak dan tarik ialah seperti kereta tolak mainan (wagon), troli, kereta sorong bayi mainan dan skuter.
b)Tunggang
Mainan yang boleh ditunggang pada usia ini ialah basikal dengan roda tambahan, kereta mainan yang mempunyai kawalan stereng atau kuda mainan yang bersaiz besar.
c)Alat mainan luar rumah
Gelongsor, buaian dan mainan pengimbang adalah antara yang dicadangkan untuk si manja pada usia ini.
d)Peralatan sukan
Mama dan papa boleh membeli bola, papan luncur, kasut beroda, layang-layang, kolam renang mudah alih, tali skip dan sebagainya.


2.ALAT PERMAINAN MANIPULATIF
Faedah: Menggalakkan si manja untuk membuat keputusan, menyelesaikan masalah, mempelajari bentuk objek, tekstur, saiz dan perbandingan daripada segi warna, memberikan perhatian dalam masa yang lama dan mempelajari tentang kesan-akibat.
a)Pembinaan
Terdiri daripada blok kiub kayu besar dan kecil, objek plastik yang boleh disambung (interlocking), blok yang boleh membina objek lebih realistik.
b)Puzzle
Pada usia ini, set puzzle yang sesuai tidak lebih daripada 50 keping. Pilih yang diperbuat daripada kadbod keras dan mempunyai warna yang ceria.
c) Reka kreatif
Anda boleh mendapatkan alat permainan manipulatif jenis ini iaitu manik besar yang boleh dicucuk pada tali (Manik perlulah dielakkan jika si kecil suka memasukkan objek ke dalam mulut). Set mainan felt berlubang dan benang untuk menjahit serta getah yang boleh dikaitkan menjadi gelang atau rantai.
d)Alat permainan manipulatif
Suai padan perkataan dengan objek, mengasingkan antara warna dan jenis; nesting toys, objek berkonsepkan geometri dan model mekanikal yang lebih kompleks.
e) Pakaian dan tali
Mainan seperti patung yang mempunyai latihan untuk memakaikan pakaian dan memasang butang. Jarum yang besar dan tumpul serta benang kasar boleh diberikan dengan pemantauan.
f) Mainan pasir dan air
Pasir mempunyai tekstur dan bertindak terhadap merangsang deria sentuhnya. Mainan untuk dimainkan di dalam bilik mandi seperti pam air dan sebagainya.
3.ALAT PERMAINAN KREATIF
Faedah: Boleh memajukan kemahiran intelektual dan pemikiran kritis serta menyeimbangkan emosi si manja. Ia juga menajamkan skil motor halus.
a)Alat muzik
Alat muzik yang mesra kanak-kanak seperti xylophone, harmonika, wisel dan rekoder serta piano.
b)Seni dan kraf
Perkakas seni seperti pensel warna, krayon, tanah liat, gunting kanak-kanak, papan hitam dan kapur, buku mewarna serta peralatan menjahit dengan jarum besar dan tumpul.
c)Audio visual
Kamera untuk merakam apa yang diminati sama ada gambar atau video.


4.BELAJAR
Faedah: Si manja boleh mempelajari perkara asas mengenai sesuatu perkara dan mendapatkan informasi yang tepat. Si kecil juga boleh mempelajari tentang kesan dan akibat.
a)Permainan
Kad, domino atau bingo (bergambar). Permainan seperti ular dan tangga juga boleh diberikan kepada si manja.
b)Skil spesifik
Contohnya seperti mempelajari tentang warna, bentuk, huruf dan nombor. Permainan berbentuk model juga sesuai untuk menunjukkan bahagian tubuh. Magnet, lampu picit, kanta pembesar, stetoskop, akuarium adalah objek sains yang boleh diperkenalkan pada usia ini. Jam boleh digunakan untuk mengajar si kecil mengira masa.
c)Buku
Pada usia lima hingga enam tahun, si manja lebih tertarik kepada buku-buku yang mempunyai kisah yang realistik. Kamus bergambar atau ensiklopedia junior boleh diberikan di samping buku berkisar haiwan (yang bersifat seperti manusia) dan alam semula jadi.


5.MAIN PERANAN
Faedah: Si manja boleh mengembangkan imaginasi dan membina daya intelek. Ia juga membantu menguatkan memori, pemikiran logik, kreativiti dan melontarkan pendapat. Ia juga latihan untuk si kecil untuk memberikan tumpuan dalam tempoh yang lama.
a)Anak patung
Pada usia ini, anak patung yang lebih realistik yang mempunyai rambut, membuka mata dan kaki dan tangan bersendi.
b) Mainan lembut
Seperti sayur dan buah yang diperbuat daripada kain felt dan diisi serat lembut boleh digunakan untuk masak-masak.
c)Puppet
Patung puppet yang boleh disarungkan pada jari dan tangan dan pentas puppet mini untuk tujuan bercerita.
d)Berlakon
Permainan seperti set dapur kecil untuk bermain masak-masak sesuai dibelikan pada usia ini. selain itu, anda juga boleh menyediakan kostum seperti kostum puteri, kot doktor atau telefon mainan untuk dia bermain peranan sebagai pelbagai watak.

 

 

Tinggalkan Komen