Poor progress labour atau proses kelahiran yang menunjukkan kemajuan yang lemah menimbulkan pelbagai masalah kepada ibu dan bayi.

Menurut Dr Siti Esah Bahari, Pakar Obstetrik dan Genikologi, KPJ Selangor Specialist Hospital, kelahiran bermaksud proses fisiolgi di mana bayi dan uri dikeluarkan dari rahim. Bagi kelahiran yang normal, proses berlangsung selama 12 jam bagi keseluruhannya. Bagi kelahiran yang memakan masa 18 hingga 20 jam, ia dikatakan sebagai poor progress labour.

Proses kelahiran adalah proses yang dinamik. Tempoh masa bagi setiap kelahiran adalah berbeza. Menurut Dr Siti Esah, proses kelahiran dan segala bacaan akan direkodkan dalam carta partograf yang akan dipantau oleh doktor dan jururawat yang bertugas. Catatan partograf ini dapat membantu doktor untuk membuat keputusan sama ada proses bersalin ini normal atau tidak dan apa tindakan selanjutnya.

Antara pemeriksaan penting yang dilakukan semasa proses bersalin ialah cardiotocography (CTG). Informasi yang didapati dari pemeriksaan ini  ialah;

1. Degupan jantung janin

2. Pergerakan janin

3. Kontraksi rahim ibu

BAGAIMANA IA DIUKUR?

Perkara yang dipantau dalam Partograf termasuklah keadaan ibu, keadaan bayi, perkembangan pembukaan rahim (cervix), penurunan kepala bayi (descend) kontraksi. Bacaan-bacaan yang direkodkan  didalam partograf ini akan dipantau bagi memastikan kemajuan (progress) kelahiran berjalan tanpa sebarang komplikasi.Bacaan degupan jantung janin (dari CTG) perlulah menunjukkan variability (rawak di mana ada turun naik) dan ciri ciri normal.

Sekiranya tahap kontraksi ibu tidak kuat dan serviks masih belum lembut dan terbuka, ada ubat-ubatan seperti prostin akan diberikan kepada ibu untuk menggalakkan bukaan cervix. Sekiranya pangkal rahim (cervix) sudah cukup luas tetapi kontraksi tidak kuat , selaput akan dipecahkan dan  pitocin akan digunakan untuk menguatkan kontraksi.

Doktor akan menilai keadaan dan situasi, sekiranya ibu dalam keadaan yang baik dan bayi tidak menunjukkan tanda-tanda lemas maka proses kelahiran dibiarkan berlaku secara semula jadi dalam jangka masa tertentu. Namun jika graf pada partograf menunjukkan pola mendatar ia itu tidak ada perkembangan atau keadaan bayi tidak sihat pembedahan caesarean perlu dilakukan segera.

PERINGKAT KELAHIRAN

First stage of labour terbahagi kepada dua iaitul Latent phase ialah keadaan di mana bukaan serviks dari awal hingga 3sm. Ia agak perlahan dan selalunya mengambil masa selama lapan jam.

Fasa aktif (active labor phase) ialah bukaan serviks dari 3sm hingga 10sm. Bukaan sepatutnya sebanyak 1sm bagi setiap jam.

FAKTOR YANG MENCETUSKAN POOR PROGRESS LABOUR

Antara faktor yang mencetuskan proses kelahiran yang lambat ialah;

1. Pecah ketuban awal. Sepatutnya ketuban perlu pecah apabila serviks sudah lembut dan bersedia. Ini akan menyebabkan proses kelahiran menjadi perlahan.

2. Cephalopelvic disproportion (CPD) iaitu kepala bayi tidak berpadanan dengan saiz pelvis ibu.

3. Kontraksi ibu yang tidak normal seperti cukup kuat menyebabkan kepala bayi tidak turun ke bahagian pelvis. Ia juga boleh disebabkan oleh kandungan kembar dan polihidramnios iaitu air ketuban banyak.

RISIKO POOR PROGRESS LABOUR KEPADA BAYI DAN IBU
IBU

  • Ibu boleh mengalami tekanan (stress) kerana mengalami kontraksi dan labour yang lama.
  • Berisiko untuk mendapat jangkitan terutamanya bila ketuban pecah awal.
  • Kecederaan kepada rahim ibu seperti rahim pecah. Kebanyakannya berlaku kepada ibu yang mempunyai ramai anak.
  • Tumpah darah.

ANAK

  • Fetal distress atau lemas.
  • Sindrom aspirasi mekonium di mana bayi boleh tersedut najis sehingga ke paru-paru.
  • Kecacatan pada otak bayi akibat kekurangan oksigen semasa kelahiran seperti terencat otak atau cerebral palsy.
  • Kematian.
  • Jangkitan kuman kepada bayi.

ADAKAH CAESAREAN SATU-SATUNYA CARA UNTUK PROSES BERSALIN?

Tindakan oleh pihak doktor sekiranya poor progress labour terjadi ialah menilai situasi tersebut terlebih dahulu dan tidak terus memberikan opsyen pembedahan caesarean kepada ibu. Pemberian ubat-ubatan akan diberikan bagi ibu yang mana kontraksi tidak kuat .

Perlu diketahui bahawa alat bantu kelahiran seperti forsep dan vakum tidak boleh digunakan sekiranya bukaan serviks tidak mencapai 10sm (kecuali dalam keadaan ibu yang pernah melahirkan ramai anak) Namun sekiranya percubaan menggunakan ubat-ubatan gagal, maka pembedahan caesarean akan dilakukan sebelum sebarang komplikasi dan sesuatu yang tidak diingini berlaku.

ADAKAH IA BOLEH BERULANG?

Risiko poor progress labour untuk berulang bergantung kepada faktor penyebabnya. Sekiranya ia disebabkan oleh bayi besar, ia tidak semestinya berulang kerana ibu boleh cuba mengawalnya menerusi pemakanan dan senaman. Tulang kepala bayi boleh berselisih dan moulding mengikut bentuk pelvis ibu dan  pelvis ibu boleh memeri. Keadaan ini akan dinilai dan diberi perhatian oleh doktor sebelum mengambil keputusan dibedah.

Namun sekiranya ia disebabkan oleh kelainan pada tulang pelvis atau CPD, kebarangkalian untuk berulang adalah tinggi. Ibu yang pernah melalui CPD bolehlah melakukan ujian MRI untuk melihat saiz pelvis atau membuat ujian menerusi clinical pelvimetry untuk mengukur sama ada pelvis ibu berpadanan atau tidak dengan saiz bayi.

Selalunya pada minggu ke-36 kehamilan, doktor akan berbincang dengan ibu tentang cara kelahiran. Seandainya ujian imbasan menunjukkan bayi besar dan tidak berpadanan dengan pelvis ibu, pembedahan caesarean akan disarankan.

Tinggalkan Komen