Soalan:

Saya ingin pandangan doktor mengenai prosedur External Cephalic Version (ECV) untuk memperbetulkan kedudukan bayi semasa usia kandungan 36 minggu. Adakah prosedur ini jalan terbaik?

Jawapan:

ECV atau external cephalic version adalah satu prosedur untuk memusingkan bayi daripada kedudukan songsang atau melintang kepada kedudukan cephalic atau dikenali sebagai kedudukan kepala bayi di bawah. Tujuan ECV dilakukan adalah untuk mengurangkan insiden kelahiran bayi songsang atau melintang.

Bayi yang songsang biasanya dilahirkan melalui pembedahan LSCS. Bagi ibu-ibu yang mahu melahirkan bayi songsang melalui faraj, bayi mungkin mengalami masalah “terlekat” dan sukar untuk mengeluarkan kepala dari salur faraj ibu. Keadaan ini boleh mengakibatkan kekurangan oksigen ke otak bayi atau dia berisiko meninggal dunia. Doktor dan jururawat terlatih akan mengendalikan prosedur ECV ini di hospital-hospital yang mempunyai kelengkapan bagi:

• Memantau keselamatan ibu yang inginkan ECV.

• Memastikan bayi selamat semasa dan selepas ECV dilakukan.

• Mempunyai perkhidmatan dan alatan yang cukup jika apa-apa kesulitan timbul sewaktu dan setelah ECV dilakukan.

IKLAN

Adakah ECV dibuktikan berjaya menukar kedudukan bayi? Jawapannya, terpulang kepada kumpulan kakitangan yang terlibat. Peratus kejayaan dilaporkan setinggi 80%. Jika ECV berjaya dilakukan, 5% daripada bayi ini boleh pusing semula ke posisi songsang. Jika ECV tidak berjaya, puan perlu berbincang dengan doktor puan sama ada puan ingin:

1. Mencuba ECV sekali lagi.

2. Melahirkan anak melalui pembedahan LSCS jika anak masih songsang pada minggu yang ke-37.

Waktu yang disarankan melakukan ECV adalah pada 36 minggu. Jika puan sudah mempunyai anak sebelum ini, prosedur ECV ini boleh juga dilakukan ketika kehamilan minggu yang ke-37.

Puan ada bertanya adakah ia selamat. Jawapannya ya! Kebanyakan ECV tidak menyebabkan komplikasi tetapi puan hendaklah melakukan ECV setelah berbincang dengan doktor dan diterangkan tentang risiko-risiko yang berkaitan dengan ECV ini. Tiga komplikasi yang pernah dilaporkan adalah:

IKLAN

1. Abruptio placenta (Uri lekang dari dinding rahim).

2. Uterine rupture (Rahim pecah/luka).

3. Fetomaternal bleeding (Masalah pendarahan ketika hamil).

Dalam pada itu, tidak semua wanita sesuai untuk prosedur ECV. Wanita-wanita ini tidak dibenarkan melalui prosedur ECV:

1. Pernah mengalami pendarahan ketika hamil.

IKLAN

2. Sudah dikenal pasti memerlukan pembedahan LSCS dari awal lagi.

3. Bayi yang mempunyai corak CTG yang tidak normal sebelum ECV.

4. Bayi kembar.

5. Masalah kehamilan yang sudah pecah air ketuban.

6. Mempunyai bentuk rahim bicornuate dan sebagainya.

Oleh itu jika puan inginkan ECV, prosedur ini mestilah dilakukan di dalam hospital yang boleh memantau puan dan anak dalam kandungan. Hospital itu juga mestilah mempunyai kemudahan untuk pembedahan LSCS jika puan dan/atau bayi memerlukannya dengan segera.

Soalan ini dijawab oleh Dr Norintan Zainal Shah, Doktor Pakar Perbidanan & Sakit Puan di Columbia Asia Medical centre, Seremban 2, Negeri Sembilan.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI