Rahsia mendidik anak tak mahu jadi degil, ibu ayah kena guna cara lembut dan tegas. Bagaimanapun ramai yang keliru dan terperangkap di antara nak gunakan kasih sayang, lemah lembut, dengan nak gunakan ketetegasan dan “jangan bagi muka” dalam mendidik anak-anak.

Maka adakalanya masing-masing mempertahankan cara tersendiri sama ada lembut ataupun tegas. Jawapan ringkas saya adalah mengikut keadaan dan menggabungkan kedua-dua cara bagi mendapatkan ketepatan.

Kasih sayang, perhatian adalah asas dan pintu untuk mereka mendengar kata-kata ibu dan ayah. Tetapi apabila dah masuk pintu kena tengok keadaan, bila masa nak teruskan kasih sayang dan cara lembut, bila masa pula nak bertegas.

Maknanya tegas ibu dan ayah pun adalah masih dalam prinsip kasih sayang dan mendidik.

Satu contoh yang biasa berlaku, anak kecil yang nakkan sesuatu perkara, dan perkara itu tidak baik atau memudaratkannya, sedangkan anak-anak ini sangat mahukannya dan mula memberontak, dan marah-marah atau menangis untuk mendapatkannya.

Pernah tak menghadapi situsasi ini?

Kebanyakan ibu atau bapa, tak kuasa nak tengok mereka menangis atau memberontak, lantas kita pun macam tak nak bagi, tapi anak-anak terus mengamuk lalu kita pun akhirnya mengalah, lantas memberi apa yang mereka pinta, lalu suasana hiruk pikuk pun berhenti serta merta.

Ibu dan ayah pun perasan yang mereka kononnya sudah menyelesaikan masalah.

Justeru fahamlah anak ini, khususnya yang bawah 7 tahun tu, tak mustahil yang lebih tahunnya, bahawa ibu dan ayah mereka tiada pendirian tetap dan mudah dipujuk atau diugut.

Lantas mereka terus menggunakan taktik menangis atau memberontak sebagai senjata untuk mendapatkan apa yang mereka hajati. Berkekalanlah habit itu sehingga ibu dan ayah macam dah tak tahu nak buat apa, dan anak-anak terus bermaharajalela.

Berani bertegas dengan mengatakan tidak, atau mengambil barang yang mudarat itu dari tangan mereka adalah jawapannya.

Kalau mereka dah biasa mengamuk hatta kencing di lantai rumah sekalipun, biarkan ianya berlaku. Paling kuat dia akan mengulangi benda yang sama biasanya 3 kali. Itulah harga yang perlu dibayar pun, untuk sebuah pendidikan nilai baik dan buruk di mata anak-anak.

Cuma ketika mereka menunjukkan protes tadi, anak mata perlu menjeling juga, takut benda-benda yang bahaya dilakukannya. Kalau sekadar sikit-sikit biarkan sahaja.

Selepas itu, bila mereka tidak melakukan perkara itu lagi, raikannya dengan baik seperti satu family tepuk tangan, mencium dan memujinya, takde masalah juga untuk memberi hadiah kepadanya.

Ini sangat penting supaya nilai dan akhlak yang baik tidak bertukar di mata anak-anak iaitu seronok buat jahat dan tak seronok buat baik.

Boleh juga setelah bertindak tegas itu berdialog dengan mereka “tahu, kenapa ummi buat macam ni?”

Percayalah adakalanya tak sempat dia beri jawapan lagi, tangisan sudah berhenti. Kalau tak berhenti pun adakalanya sambil menangis mereka akan menjawab “because you love me”..ataupun anak-anak memberikan jawapan lain, kenapa perkara itu tidak baik untuk mereka lakukan.

Bila proses berfikir itu berjalan, yang saya namakan “loading” , ketahuilah pendidikan sedang berjalan. Kalau proses loading ini tidak berlaku pada anak-anak, ketahuilah bahawa mereka mengikut perintah kerana terpaksa, atau segan pada kita yang baik sangat tu, atau kerana kita ibu dan ayah yang malas mendidik dan hanya nak lepas geram sahaja.

Bila proses loading memilih antara perkara baik dan buruk tidak berlaku dengan kerap, biasanya anak-anak akan menjadi robot yang sentiasa perlu diprogramkan dan diingatkan, atau mudah terpengaruh dengan budaya negatif yang berlaku disekeliling mereka.

Jadi inilah senjata sayang tapi tegas yang boleh dikongsikan.

Ingat ibu dan ayah. Lagi banyak loading berlaku, lagi banyak pendidikan berlangsung.

Sumber: www.zamrizainuldin.com

Tinggalkan Komen