Syawal kali ni antara yang terindah buat buat pelawak, Achey dan isterinya, Nor Hasanah Yahaya kerana mereka boleh berhari raya dengan si comel selepas lapan tahun hidup berdua.

Achey memberitahu, sejak hari keenam Ramadan, bayi perempuan diberi nama, Nur Tiara Zinnirah Nasir, mula menyinari mahligai mereka.

Melalui instagramnya, Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, 32, berkongsi berita gembira mengenai anak angkatnya itu. Sejak bernikah lapan tahun lalu, Achey dan Hasanah belum dikurniakan rezeki menimang anak sendiri.

Melalui entri tersebut, Achey memberi penjelasan kepada peminatnya supaya tiada lagi yang menyangkal dan membuat pelbagai spekulasi lagi.

“Assalamualaikum! Bismillah… Alhamdulillah rezeki Allah hadir dengan pelbagai cara. Selepas lapan tahun bersama masih belum punya rezeki dikurniakan cahaya mata.

“Namun, pada 22 Mei lalu di Ramadan keenam, anak ini hadir untuk mengisi kekosongan yang lama itu,” katanya.

Kegembiraan Achey dan Hasanah dikongsi lebih dua juta pengikut pelawak itu. Malah, Achey memuat naik foto dengan isteri tercinta yang sedang mendukung si kecil.

Tidak lokek berkongsi maklumat mengenai anak angkatnya itu, tambah Achey, Tiara dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 8.05 malam, 15 Mei lalu.

Achey mengaku sukar menggambarkan perasaannya beroleh kebahagiaan apabila dikurniakan Tiara dalam hidupnya dan isteri.

“Tidak dapat nak digambarkan dengan kata-kata yang hebat. Apa yang paling jelas, saya dan isteri sangat gembira hingga tak terkata,” katanya.

Mengenai spekulasi kononnya dia dan Hasanah atau mesra disapa ‘Anne’, berselisih faham selepas jarang dilihat berdua sejak sebulan lalu, Achey berkata, sepanjang tempoh itu, isterinya berada di kampung menjaga Tiara yang baru dilahirkan.

“Hampir sebulan kami di kampung. Benar, ramai tertanya-tanya kami apakah kami bergaduh? Atau sakit? Jawapannya, Anne menjaga Tiara dalam pantang,” katanya.

Achey berharap peminat dapat mendoakan Tiara dan keluarganya selain dapat menerima kehadiran permata hati kurniaan Ilahi itu.

“Kami harap semua pihak menerima baik kehadiran Tiara @tiara_zinnirahofficial.

“Semoga @tiara_zinnirahofficial menjadi anak yang solehah dan kami dapat menjaga dengan kudrat sebaiknya. Raya ini, kami bertiga…Yeay!” kata Achey yang sudah membuka akaun Instagram buat si comel itu.

Sumber: ig acheykintangkintung

Tinggalkan Komen