Jangan nak cepat suruh bayi pandai berjalan, rupanya lagi lama bayi merangkak lagi bagus untuk perkembangan mereka. Asalkan bayi anda mempunyai tahap perkembangan yang normal dan sihat tubuh badannya, tak perlulah nak paksa bayi berjalan seawal usianya 9 bulan!

“Eh, anak you masih merangkak lagi? Anak I dah nak berjalan. Dia langsung tak merangkak pun,” dengan bangganya seorang ibu berkata kepada ibu yang anaknya asyik merangkak sahaja.

Ada ibu yang rasa berbangga bila bayinya tidak merangkak. Kononnya bila merangkak, bayi terdedah kepada risiko cedera dan tercekik kerana kemungkinan mengutip objek yang ditemui.

Hakikatnya merangkak adalah perkembangan yang baik kepada bayi. Ketahui kelebihan dan kebaikan kepada bayi.

1. Menguatkan leher, tangan, sendi dan otot.

2. Menguatkan otot besar dan kecil dan meningkatkan perkembangan motorik kasar dan halus.

3. Menunjang koordinasi mata dengan tangan, kekuatan, ketegangan otot, keseimbangan dan kemahiran jari.

4. Melatih kedua belah otak di mana pergerakan menyilang ketika merangkak dapat merangsang kedua belah otak atau kawasan yang berbeza pada otak. Ia sekaligus membantu mengkoordinasi penggunaan kedua belah mata, telinga, tangan dan kaki secara serentak.

5. Meningkatkan pengeluaran myelin di otak. Gerakan menyilang ketika merangkak membolehkan kedua belah otak berkongsi, menyimpan dan mengeluarkan semula maklumat penting dengan lebih cepat.

Aktiviti merangkak meningkatkan pengeluaranmyelin, bahan yang melapisi sel saraf yang membantu otak menghantar dan menerima mesej lebih cepat dan jelas. Merangkak akan merangsang pula bahagian otak ‘menerima’ dan ‘ekspresif’.

6. Mengembangkan sambungan rangkaian saraf. Gerakan berulang-ulang saat merangkak merangsang, dan mengembangkan sambungan rangkaian saraf otak sehingga otak lebih berkesan dalam mengawal proses kognitif seperti pemahaman, kepekatan dan ingatan.

7. Membantu perkembangan dan pemahaman bahasa kerana bayi dirangsang menggunakan kedua telinga secara serentak dan mengembangkan pendengaran kedua telinga.

8. Merangsang kepekaan sentuhan, visual dan jarak jauh-dekat.

Jadi, biarkanlah si manja anda merangkak sepuasnya kerana ia sebenarnya salah satu cara pembelajaran yang terbaik untuknya selain dapat menguatkan segala otot-otot badannya sebelum dia mula belajar berjalan.

Tinggalkan Komen