Cara tegur salah & suka menyindir sebab anak hilang hormat? Suka buat kesalahan yang sama berulang kali. Tak berkesankah apa yang mama papa dah cakap sebelum ni?

Menurut Siti Farhana Md. Yasin, Pensyarah Jabatan Pengajian Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan dan Kemanusiaan, UNITAR bagi mendapatkan penyelesaian yang jelas bagi menangani isu ini.

Salah Cara Tegur & Suka Menyindir Buat Anak Boleh Hilang Hormat. Ini Punca Anak Buat Kesalahan Sama Berulang Kali

Menegur anak adalah untuk mendidiknya. Namun, jika salah teknik ia boleh jadi kurang berkesan. Jangan sampai anda memukulnya secara berlebihan untuk memperbetulkan keadaan. Walaupun kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun itu masih kecil, dia perlu ditegur secara berhemah dan berhikmah supaya emosi dan tingkah lakunya dapat dibina secara positif.

KENAL PASTI PERSONALITI ANAK
Secara psikologinya, defensive mode atau butang pertahanan seseorang akan ‘menyala’ jika ditegur secara melulu, kasar atau bernada tinggi kerana dia merasakan dirinya terancam.

Bagi mengelakkan si kecil rasa terancam, perkara utama yang perlu dipertimbangkan sebelum menegur, agar teguran yang diberikan berkesan ialah mengenal pasti personaliti anak anda terlebih dahulu. Setiap anak mempunyai personaliti unik dan tersendiri.

Jadi, cara menegur juga perlu berbeza supaya ia berkesan dan bermakna secara positif kepada anak. Jika anak anda seorang yang sensitif, cara teguran anda perlu lebih lembut dan tenang agar mudah teguran tersebut sampai ke hati.

Manakala bagi anak yang mempunyai personaliti bersahaja, teguran perlu bersifat tegas tetapi tidak perlu meninggi suara supaya anak tahu anda sedang menegur kesilapannya dan perkara itu serius.

Salah Cara Tegur & Suka Menyindir Buat Anak Boleh Hilang Hormat. Ini Punca Anak Buat Kesalahan Sama Berulang Kali

PASTIKAN TEGURAN JELAS, TEPAT DAN TIADA SINDIRAN

IKLAN

Setelah personaliti anak dikenalpasti, pastikan teguran jelas, bebas unsur sindiran dan tepat pada perkara yang ditegur sahaja. Jelas yang dimaksudkan ialah perlu disebut tingkah laku atau respon yang anda kurang gemari dan beri cadangan bagaimana untuk mengubahnya.

Sebagai contoh, jika anak menyepahkan rumah yang baru dikemas, anda boleh menegur seperti ini, “Abang, ibu tak suka kalau abang sepahkan rumah macam ni. Berselerak barang dan kalau terpijak permainan abang, kaki kita semua sakit. Kalau abang nak main, main dalam bilik, lepas tu kita kemas sama- sama.

Tidak semua kanak-kanak memahami bahasa kiasan, sindiran atau perlian. Tidak wajar anda menggunakannya kerana anak masih sukar memahami maksud di sebalik teguran tersebut. Jika sindiran digunakan berterusan, ia akhirnya menyebabkan si kecil ini membesar dalam ketidakpastian dan berteka-teki mengenai tingkah laku mana yang betul atau sebaliknya.

Ia juga boleh menyebabkan si anak cenderung untuk salah tafsir. Hal ini akan menyebabkan anda bertambah emosi kerana anak tidak faham dan terus mengulangi kesalahan yang sama.

MAMA PAPA ELAK KITARAN EMOSI AGRESIF

Apabila keadaan marah, anda cenderung untuk menjadi agresif menerusi percakapan atau tindakan. Anda mahu yang terbaik untuk anak-anak. Namun, kadang-kala, apabila anak tidak mendengar kata, sedikit nakal atau suka melawan, anda mudah berasa marah dan jika tidak dapat mengatasi rasa tersebut, ia boleh membawa kepada tindakan memukul anak.

IKLAN

Marah dan pukul perlu dalam mendidik anak-anak, namun ia menjadi isu sensitif apabila kedua-dua tindakan ini dilakukan secara berlebihan dan keterlaluan sehingga mencederakan anak secara fizikal dan emosi.

Bukan anda sahaja boleh menjadi agresif jika tidak mengawalnya, malah sikap ini boleh dipindahkan kepada anak melalui peniruan. Si kecil akan beranggapan apabila marah, memukul itu perlu dan tidak salah. Kitaran ini seterusnya menjadi budaya yang kurang sihat dalam sesebuah keluarga jika tidak dilakukan secara sederhana dan berpatutan.

Salah Cara Tegur & Suka Menyindir Buat Anak Boleh Hilang Hormat. Ini Punca Anak Buat Kesalahan Sama Berulang Kali

JELASKAN DULU SEBAB SEBELUM DENDA

Denda atau hukuman tidak semestinya merupakan cara terbaik namun boleh menjadi salah satu daripada cara untuk anak belajar daripada kesilapan. Perlu diingatkan, denda yang dikenakan kepada anak mempunyai syarat-syarat tertentu supaya tujuan asal anda untuk membetulkan kesalahan anak tercapai.

IKLAN

Sebelum mendenda, anak perlu dijelaskan terlebih dahulu kesalahan yang telah dilakukan. Tindakan mendenda atau menghukum anak tanpa dia mengetahui sebabnya, boleh menimbulkan kesedihan, ketidakpuasan hati dan cenderung untuk mengulanginya kerana kesedaran itu tidak wujud.

Apabila anak sudah tahu kesalahan yang dimaksudkan, dia perlu ‘bersetuju’ dengan denda yang diberikan walaupun tanpa rela. Tiada sesiapa pun yang sukakan denda namun dengan memberitahu anak jenis kesalahan dan mengapa dia perlu didenda, lebih mudah untuk dia mempelajari sesuatu daripada kesalahan yang dilakukannya.

Terdapat pelbagai jenis denda yang boleh anda laksanakan tetapi elakkan yang boleh mencalarkan emosi anak sehingga mengalami trauma.

Salah Cara Tegur & Suka Menyindir Buat Anak Boleh Hilang Hormat. Ini Punca Anak Buat Kesalahan Sama Berulang Kali

3 TIP IBU BAPA KAWAL EMOSI

  1. Tarik nafas perlahan dan dalam-dalam. Perkara ini memerlukan kekuatan dan latihan supaya menjadi tabiat. Bukan mudah untuk mengawal marah namun apabila anda terus bertindak menarik nafas, otak secara automatik menahan diri daripada bertindak secara melulu. Sebaliknya, lebih rasional dan tidak terlalu mengikut emosi.
  2. Istighfar seperti yang dianjurkan dalam agama Islam atau cara lain bagi penganut agama berlainan untuk mengawal amarah.
  3. Tidak terlalu menekan diri atau anak untuk menjadi sempurna (perfectionist) kerana ia boleh menyebabkan rasa kecewa. Apabila kecewa, anda lebih mudah untuk marah secara berlebihan sekiranya anak melakukan kesalahan. Sentiasa ingat yang si kecil dalam proses membesar dan suka meneroka. Apabila tidak terlalu menekan diri, anda akan lebih tenang, berlapang dada dan rasional dalam bertindak.

Salah Cara Tegur & Suka Menyindir Buat Anak Boleh Hilang Hormat. Ini Punca Anak Buat Kesalahan Sama Berulang Kali

CIPTA SUASANA GEMBIRA DAN SELAMAT

Saya berpendapat, kanak-kanak perlu dibesarkan dalam suasana yang gembira dan selamat. Dia perlu melalui fasa melakukan kesilapan kerana dia belajar melaluinya. Teguran dan dendaan perlu bersesuaian dengan umur anak, kebolehannya untuk memahami dan keperluan dirinya untuk mengubah tingkah laku atau mengelak kesalahan yang sama berlaku lagi.

Mama papa perlu kurangkan marah dan emosi melampau terhadap anak kerana anda pasti tidak mahu dia membesar dan hidup dalam ketakutan, tidak puas hati dan berdendam.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI