Sayang anak biar berpada! Tapi alasan yang biasa keluar dari mulut ibu bapa bila tak nak bagi anak buat sesuatu perkara adalah, “Alaa anak kecil lagi, mana la dia boleh nak tolong.” Kata-kata ini bukan sahaja boleh memanjakan anak, tapi buatkan anak tak pandai nak berdikari.

Jadi bila anak semakin besar, jangan salahkan anak bila anak buat tak tahu je. Sayang anak biarlah bertempat. Tak salah kalau kita nak suruh dan ajar demi kebaikannya.

Ikuti perkongsian dari Puan Sharifah Zahidah mengenai cara dia mengajar anak kecilnya dan akhirnya memberi kesan positif pada diri anak.

Lepas habis menunaikan janji bagi Maryam dan Hanoonah main dalam Molly Fantasy kira-kira selama 2 jam petang tadi, kami pun turun dari tingkat 2 ke Ground Floor. Masuk ke bahagian pasaraya sekejap, nak beli pampers Hanoonah dan biskut buat kudap-kudapan dalam kereta.

Tangan kiri saya dukung Hanoonah dengan berat sekitar 10kg, beg laptop digalas di belakang, bahu kiri menggalas handbag, tangan kanan menggalas lagi kampit pampers yang besar tu.

Penuh tangan! Dan lenguh!

Jadi selepas buat bayaran di kaunter, saya minta Maryam tolong bawakan lagi satu plastik yang berisi 4 kampit biskut saiz sederhana dan besar, anggaran berat sekitar 2 kg.

Sayang Anak Biar Berpada! Ajarlah Anak Bertimbang Rasa, Bukan Kita Yang Memendam Rasa

Daripada di kaunter bayaran lagi, Maryam dah tanya-tanya saya, mana biskut dia. Dia ada pilih 1 biskut dari 4 jenis biskut tadi. Jadi selepas bayar, saya bagi semua plastik biskut tu untuk Maryam pikul.

Mula-mula, dia okay. Selang sepuluh ke 20 tapak kami tinggalkan cashier, dia mula bersuara sambil mengeluh.

“Ibu… Berat ni. Kakak penatlah angkat.. ”

Saya balas, “Tak berat mana pun Kakak, Kakak boleh angkat. Ibu yakin,”

Dan dia diam sekejap. Berjalan beberapa langkah lagi, kemudian dia berbunyi lagi.

Kali ni, dengan suara yang lebih keras dan sangat jelas dia sedang mengeluh.

“Ibu, berat ni..! Ibu angkatlah. Kakak tak larat. Berat ni Ibu.. Ibu angkatlah..!” Dengan suara separa merengek dan mengarah saya.

IKLAN

Hanya dengar rengeken suaranya saja, saya tahu, SAYA PERLU BERI PERHATIAN LEBIH terhadap isu yang dia utarakan. Tapi kali ni, ‘cara’ beri perhatian saya adalah berbeza.

Saya perlahankan langkah, dan kemudian berhenti menoleh ke belakang, ke arah dia yang beberapa langkah terbelakang dari saya.

Selang beberapa saat, Maryam sekarang betul-betul berada di depan saya. Jarak kami berdiri antara satu sama lain adalah dekat. Dia pandang saya, saya pandang dia.

Saya pun mula bersuara,

“Kakak, tolonglah Ibu. Kakak cuba tengok Ibu, kiri dukung adik, kanan pegang pampers, ada beg lagi depan belakang. Jadi kakak FIKIR macam mana Ibu boleh tolong Kakak? Bukan kakak ke yang sepatutnya tolong Ibu? Sekarang, kakak cuba tengok, berapa banyak barang Ibu bawa? Kakak fikir semua ni tak berat? Ibu tak penat? Jadi sekarang, boleh tak Kakak FIKIR juga pasal Ibu dan tolong bawa barang-barang itu sampai ke kereta.”

Tegas. Dan jelas.

Mukanya yang monyok kerana merungut tadi, terus berubah menunjukkan riak serba salah.

Mungkin, nada suara saya yang tegas dan menekankan pada perkataan FIKIR, membuatkan dia dapat menyelami perasaan saya, seterusnya bersikap lebih rasional. Bonding kami rapat gila, alhamduLILLAH. Jadi, perubahan pada nada suara saya dan pemilihan perkataan saya, memang mudah meninggalka kesan terhadap dirinya.

Kadang kala, dia matang dan rasional.

IKLAN

Kadangkala, sikap keanak-anakan dia tetap mendominasi juga.

Pandai-pandailah saya kenal pasti dan klasifikasi – keluhannya itu kerana dia benar-benar perlukan penyelesaian, atau sebenarnya keluhan dari jiwa manja yang perlu diajar dengan ketegasan.

Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah, TIDAK KIRALAH SEKECIL APA UMUR ANAK KITA, MULA BERKOMUNIKASI DAN DIDIK MEREKA UNTUK BELAJAR BERFIKIR TENTANG ORANG LAIN.

Salah satu punca kegagalan keibubapaan ialah, ibubapa sendiri UNDER ESTIMATE POTENSI BERFIKIRAN DAN BERPERASAAN ANAK-ANAK, sehingga ibubapa CENDERUNG UNTUK TUNDUK MELAKUKAN SEMUANYA dan menganggap ‘tidak mengapa’ untuk TIDAK MENJELASKAN KEPADA ANAK SITUASI KITA, kerana ‘ANAK-ANAK TIDAK FAHAM LAGI, ANAK-ANAK MASIH KECIL LAGI..’

Kita sebaiknya mengajar anak bertimbang rasa, bukan membiarkan mereka sehingga kita kerapkali berkecil hati memendam rasa. Gara-gara sikap timbang rasa itu kurang wujud dalam diri mereka.

Sekiranya kita anggap pada usia 5 tahun anak-anak tidak boleh faham perasaan dan keadaan orang lain yang PERLUKAN TOLAK ANSUR DARI DIRINYA, maka, pada usia 15 tahun, 25 tahun bahkan 50 tahun sekalipun, anak-anak yang kini sudah beranak-pinak itu TETAP JUGA TIDAK AKAN MEMAHAMI PERASAAN DAN KEADAAN orang lain.

Kerana hakikatnya ketidakfahaman itu bukanlah kerana limitasi pada umur anak-anak, tapi kerana kegagalan sesuatu PRINSIP itu DITERAP DI DALAM SISTEM JATI DIRI DAN IDENTITI MEREKA.

Anak anak kecil tidak faham, bukan kerana umur mereka,

Tapi kerana diri kita, yang tidak MEMAHAMKAN mereka.

Tidak memahamkan anak, adalah satu proses menjahanamkan anak. Ini prinsip saya.

IKLAN

Kerana itu, saya BANYAK berkomunikasi dengan anak-anak dan memberi penjelasan kepada mereka.

Biasa kan kita lihat, orang umur yang sudah dewasa dan tua juga, tetapi tetap tidak MEMAHAMI orang lain dan tetap tidak boleh bertolak ansur.

Jadi, apakah kerana otak mereka ‘masih kecil’ dan terbatas untuk memahami, atau kerana jati diri yang tidak dibentuk ketika mereka masih kecil dahulu dan mudah dilentur?

Sayang Anak Biar Berpada! Ajarlah Anak Bertimbang Rasa, Bukan Kita Yang Memendam Rasa

Menganggap bahawa sikap bertimbang rasa itu datang dengan kematangan usia, adalah ibarat sesuatu perjudian yang berisiko bagi saya.

Kerana hakikatnya, bukan usia yang menjadi faktor seseorang itu bertimbang rasa atau tidak, tetapi sebenarnya adalah APA YANG DISUNTIK ke dalam diri mereka ketika mereka masih mudah dilentur.

Kalau kita rasakan, anak-anak kecil berusia 4 tahun dan ke atas tidak wajar diajar dengan serius tentang BERFIKIR MENGENAI PERASAAN DAN BERTIMBANG RASA DENGAN KEADAAN ORANG LAIN, fikirkan sekali lagi.

Kesudahan dari cerita di atas, selepas saya mengingatkan Maryam untuk BERFIKIR TENTANG KESUSAHAN DAN KEADAAN diri saya tadi, dia akhirnya terus memikul beg plastik tersebut ke kereta tanpa muka yang masam dan bunyi keluhan lagi.

Bahkan, sesampai juga di rumah, dia sendiri yang menolong saya membawa beg plastik tersebut TANPA LANGSUNG saya menyuruh lagi. 100% atas keputusan dan tindakan dia sendiri.

Siap boleh tanya lagi,

“Apa lagi nak bawa barang masuk rumah Ibu? Pampers ni nak bawa ke?”

Dan saya menjawab, “Tak apa kakak, yang pampers tu besar dan sangat berat. Biar Ibu je bawa,”

Sebagai pengajaran tidak langsung kepadanya, bahawa, saya juga bertimbang rasa dan berfikir tentang keadaan dirinya.

Sumber: Sharifah Zahidah

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI