Siapa pun pasti akan rasa sedih dan geram bila melihat keadaan bayi berusia tiga bulan, Hannah Khawlah yang mengalami patah tulang paha disyaki ketika berada di bawah jagaan pengasuhnya.

Mengikut laporan dikongsi dalam Buletin TV3 seorang bayi perempuan berusia tiga bulan patah tulang paha kiri disyaki kecuaian ketika mangsa dalam jagaan pengasuhnya di Pangsapuri Komuter Raya, di Seksyen 19, Shah Alam, semalam.

Menurut laporan yang diterima, bapa mangsa menghantar anaknya ke rumah pengasuh pada 7 pagi semalam sebelum keluar bekerja dan mengambil kembali anaknya pada jam 3.15 petang.

Bagaimanapun, anaknya tidak berhenti menangis dan berikutan itu, bapa mangsa yang juga seorang Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Serdang, membawa anaknya ke hospital untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan sinaran X, pihak hospital mengesahkan bahawa tulang paha kiri bayi berkenaan patah.

Polis kini melakukan siasatan lanjut dan akan mendapatkan kenyataan daripada pengasuh yang berusia awal 30-an manakala pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga sudah dimaklumkan.

Katanya, pihak hospital juga sedang melakukan siasatan punca tulang paha bayi berkenaan patah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (c) Akta Kanak-kanak 2001.

Selaku ayah yang melihat penderitaan bayinya, Muhsin Zaidi berkongsi luahan hati di akaun Facebooknya yang berharap agar ada pembelaan terhadap anak tersayang.

Bertali arus ujian aku dapat seminggu dua ni. Semua besar-besar. Takpe, aku masih steady. Aku masih ada Allah. Cuma tu la, remuk hati aku tu taktau la nak ungkapkan macam mana bila tengok anak umur 3 bulan tak tahu apa dapat left complete spiral midshaft femur fracture. Budak umur 3 bulan, apa benda je dia pandai buat. Takkan budak asuhan lain umur 3 4 tahun boleh patahkan kaki dia? Ingat senang nak patahkan tulang baby? Dah sampai takdak air mata dah Hannah menangis. Nak menangis pun dah tak larat dah.

Kalau betul memang ada orang buat zalim kat anak aku, aku takkan berlembut dah kali ni. Senangnya cakap “saya taktau apa-apa”. Aku hantar anak sihat, dapat balik tulang yang paling besar dalam badan dia patah. Nak kata aku hantar baby yang ada fracture dari pagi? Kemon la, aku MA. Walaupun aku ni dah lama takde kaitan dengan tulang-tulang ni, takkan la aku benak sangat tak dapat nak detect fracture masa aku pakaikan pampers dengan baju Hannah pagi tadi. Dia siap boleh respon dengan senyum lagi bila aku acah-acah dia. Petang tadi, masa aku pegi amik tadi, primary survey pun dah tahu ada fracture. Yes, it was very obvious deformity!!

Kau tahu spiral fracture ni apa mekanisme kecederaan dia? Orang pegang dan pulas. Cuba kau pegang ranting sebesar ibu jari, kau pulas kuat2, ha tu la dia punca spiral fracture. Budak 3 4 tahun ada tenaga sekuat tu ke?

Kalau ada kawan-kawan dalam FB aku ni yang pandai selok belok undang-undang terutamanya undang-undang berkaitan kanak-kanak, aku mohon jasa baik untuk pm aku. Aku nak mintak pendapat sikit.

Aku update kat sini je keadaaan Hannah. Tak larat nak reply wasap sorang-sorang. Mohon tolong doakan anak aku Hannah Khawlah. Semoga dijauhkan dari segala komplikasi lain.

Muhsin mengemas kini perkembangan terbaru anaknya di facebook memaklumkan  keadaan Hannah yang sudah dibenarkan keluar dari wad hospital.

“Hannah sudah dipakaikan Harness Pavlik dan tidak lagi memakai Gallow’s Traction di mana sebelum ini kakinya perlu digantung bagi mengurangkan kesakitan”

Rawatan ini mengambil masa antara lima hingga enam minggu untuk pulih sepenuhnya.

Semoga bayi comel ini cepat sembuh dan mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Sumber: Muhsin Zaidi dan Buletin TV3

Tinggalkan Komen