Biasanya anda boleh perhatikan tanda-tanda kesediaan bayi seperti telah dapat duduk dengan tegap – tidak bergoyang-goyang, dan berminat serta pandai memegang makanannya sendiri.

Antara umur 6 hingga 9 bulan bayi dah mula makan. Namun kebanyakan bayi akan mula dibiasakan dengan makanan jejari ketika umurnya 8 bulan. Pada umur ini, bayi biasanya telah menguasai kemahiran memegang dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk.

Makanan jejari sebenarnya menggalakkan kemahiran dan juga memperbaiki koordinasi antara tangan dan mulut. Makanan jejari yang ibu sediakan memang merupakan insentif yang menarik buat bayi belajar kemahiran baru.

Tapi bagaimana pula jika bayi anda belum tumbuh gigi. Berbeza dengan kepercayaan kebanyakan ibu-bapa, bayi anda tidak semestinya telah tumbuh gigi untuk dia mula makan makanan jejari. Bayi yang tiada gigi akan menggunakan gusinya yang keras untuk mengunyah makanan jejari tersebut. Jika anda menyusu badan, anda pasti tahu bagaimana kerasnya gusi bayi!

Penyediaan makanan yang boleh diberi sebagai makanan jejari amat mudah disediakan, tidak semestinya anda membeli biskut jejari yang telah siap dijual. Menyediakannya sendiri di rumah adalah lebih baik. Ia bukan sahaja lebih murah dan bersih, tetapi juga lebih berkhasiat. Anda juga dapat mempelbagaikan tekstur, warna dan rasanya yang amat bagus untuk penggunaan deria bayi.

 

Makanan sihat

Sayur-sayuran atau buah-buahan yang hendak anda berikan kepada bayi sebagai makanan jejari hendaklah dipotong memanjang 2-3 inci dengan ketebalan lebih kurang setengah inci. Makanan ini boleh anda kukus atau rebus. Pastikan makanan tersebut lembut dan mudah dikunyah. Buah-buahan seperti pisang, betik dan avocado boleh diberi mentah.

Antara makanan yang sesuai dijadikan makanan jejari adalah sayur-sayuran seperti brokoli, ubi keledek, ubi kentang dan labu. Buah-buahan seperti pisang, tembikai, epal, betik dan mangga. Sumber protin seperti tauhu dan daging ayam. Karbohidrat seperti roti dan biskut.

Perkenalkan makanan jejari satu demi satu, tambah jenis yang lain secara perlahan-lahan. Jika bayi tidak menyukai sesetengah jenis makanan, teruskan mencuba dan tunggu sehingga bayi bersedia.

Gunalah kreativiti ibu untuk menarik perhatian anak. Ibu boleh buat bahan pencicah yang bersesuaian dengan anak. Mungkin rasa yang pelbagai akan membuatkan anak suka dengan makanan jejari yang ibu sediakan.

Jika bayi anda sedang tumbuh gigi, beri bayi makanan yang sejuk untuk melegakan gusinya yang gatal dan tidak selesa. Antara makanan yang boleh diberi ialah tembikai atau pisang yang dibekukan.

Anda harus selalu memerhatikan bayi ketika dia makan makanan jejari. Pastikan bayi duduk dengan tegap, bukan baring dan bukan meniarap ketika makan kerana ini boleh menyebabkan bayi tercekik. Elak tinggalkan bayi ketika dia makan makanan jejari berseorangan.

Tinggalkan Komen