Bebelan isteri kepada suami tentang rasa letih yang dialami memang perkara biasa. Bukan mengada-ngada tapi memang itu cara wanita lepaskan penat dan stres uruskan rumahtangga.

Para suami tentu perasan kan? Sebagai suami cubalah layan cerita isteri walaupun kadangkala ia cerita yang sama. Bagi isteri bila ada orang dengar cerita dia dah cukup untuk melegakan kepenatannya.

Perkongsian dari Wan Abdul Azim dari kaca mata seorang suami diharap dapat membuka mata ramai lagi suami supaya lebih memahami dan membantu para isteri.

Isteri seawal mencelik mata sarat fikir banyaknya perlu dibuat dan diuruskan, menyiapkan makanan, mengasuh dan menysu anak.

Ada isteri yang terkejar kejar masa kerana perlu berkerja di luar dan menyiapakan segala pekerjaan yang telah diarahkan bos dalam masa yang sama perlu menguruskan hal berkaitan rumah dan anak-anak tidak kurang juga yang menjadi suri rumah tetapi masih berkerja dengan berniaga online, mengambil upah menjahit, membuka kelas tuisyen di rumah, menjual nasi lemak dan kuih di hadapan rumah, menjadi baby sitter dll.

Hakikatnya mereka yang berkerja di luar mahupun yang berkerja di rumah kedua-duanya adalah ibu dan isteri sepenuh masa. Kedua-duanya masih bergelar suri rumah kalau mengikut pemahaman aku sendiri. Mereka tetap suri rumah sepenuh masa.

Cuba bayangkan yang mengurus rumah tangga sepenuh masa adalah suami? Mampukah kita menggalas tugas yang digalas isteri kita? Kerana itu emosi isteri mudah cedera kerana dia keletihan bekejar menguruskan pelbagai perkara.

Jadi kita cubalah jadi suami dan ayah yang baik buat isteri dan keluarga kita. Kita bantu mereka. Isteri ini wanita.

IKLAN

Suami Dengar Sahaja Bebelan Isteri Tentang Rasa Letih. Itu Caranya Lepaskan Penat Dan Stres

Wanita ini bila keletihan sebenarnya dia suka bila kita mendengar luahan rasa dia. Apabila masalah banyak bertandang dalam minda dia, dia suka nak bercerita kepada kita.

Kadang-kadang tak ada masalah apa pun, tapi dia mula “mengada-ngada” dengan kita. Sebabnya dia dah letih memanjakan anak-anak dan suami dia. Sang suami jadilah kamu pendengar yang setia.

Jangan apabila isteri baru hendak memulakan kata, kamu sudah matikannya dengan kata-kata. “Awak ni hari-hari cerita yang sama.” Kita suami bosan mendengar sedangkan isteri tak pernah bosan menguruskan rutin harian yang sama.

Aku juga banyak belajar dari isteriku. Sememangnya hari-hari akan cerita yang sama kerana hari-hari itulah rutin motherhood yang mereka lalui.

IKLAN

Anak menangis. Anak bertempik. Anak membuat perangai. Anak mengempeng. Anak bergaduh berebut mainan dan barang. Si kakak kacau baby tidur. Si abang yang dahagakan perhatian. Hampir setiap hari cerita yang sama. Tak apalah. Kita dengar aja meraikan isteri kita bercerita.

Suami ambil peranan, manja-manjakanlah isteri pula walaupun sekadar mendengar dia melepaskan lelah di dada.

Manusia terbaik dan paling layak untuk si isteri berbicara terutama apabila perkara tersebut membabitkan perihal sendiri atau rumahtangga sudah tentulah pasangannya.

Barangkali sumbangan kita sebagai pendengar ni sangat memberi impak yang besar mengubat tekanan jiwa isteri kita yang seharian dipenuhi dengan pelbagai kerenah kerja dan anak-anak.

Suami pun kena jadi superdaddy

Jangan mengharap isteri sahaja menjadi supermama & superwoman. Suami juga perlu menjadi supersuami dan superdaddy! Bantu isteri kita sebaiknya!

IKLAN

Suami Dengar Sahaja Bebelan Isteri Tentang Rasa Letih. Itu Caranya Lepaskan Penat Dan Stres

Dalam rumah tangga ini, Iblis sentiasa mengambil peluang untuk menghancurkan rumah tangga. Jadi, saling membantulah agar kecederaan emosi isteri itu kita yang menjadi penawarnya.

Hidup berumah tangga ni bak kata isteri “the struggle is real.” Sama-samalah berjuang. Kita suami, kita ketua keluarga wajiblah kita bertempur bersama.

Kata-kata Iblis untuk merosakkan emosi si ibu, rosak ibu rosaklah semuanya.

Buatlah ibu merasa selalu dalam kelelahan dan kepenatan,
kerana rentetan dari kelelahan itu adalah sakit kepala, mudah marah, mudah mengucapkan kata-kata kasar, mudah melakukan kekerasan fizikal kepada anak dan kelelahan itu juga akhirnya yang membuat ibu itu jadi merasa enggan atau tidak ada waktu untuk mengurus dirinya sendiri dan kerana kepenatan itu juga akhirnya membuat ibu enggan melayani ‘permintaan’ suaminya. Maka jika ibu rosak jiwanya, maka akan lebih mudah bagi iblis utk merosak dan menghancurkan anggota keluarganya.

Aku, Wan Abdul Azim jarang menukil kata-kata tapi ini coretanku agar kaum suami dan ayah buka mata. Isteri kita bukan hamba, isteri kita amanah kita yang akan dipersoalkan pertanggungjawabannya di akhirat kelak.

Walid 3 Cahaya Mata.
Bandar Tasik Selatan.
1241pm.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI