Soalan:
Apabila anak saya yang berumur tiga tahun, demam panas, bapanya akan memasukkan ubat demam melalui dubur sebelum ke klinik bagi mendapatkan pemeriksaan. Apakah ada risiko jika ubat demam dubur kerap digunakan? Boleh doktor jelaskan penggunaan ubat demam dubur yang betul?
Jawapan:
Ubat yang dimasukkan ke dalam anus tidak mendatangkan kemudaratan jika puan tahu cara menggunakannya. Puan perlu pastikan tempat yang hendak dimasukkan adalah betul. Tempatnya perlulah tepat terutamanya jika anak yang demam itu adalah anak perempuan
Selain daripada itu, puan sangat digalakkan untuk menggunakan sedikit pelincir supaya tidak melukakan struktur di sekeliling anus.
Seboleh mungkin, penggunaan ubat yang dimasukkan ke dalam anus dihadkan jika suhu demam masih melebihi 39°C hingga 40°C, selepas dilakukan tepid sponging dan ubat demam secara oral telah diberikan.
Soalan ini dijawab oleh Dr Nor Mahami Harun, Doktor Pediatrik di KPJ Kajang Specialist Hospital
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tia Alami ‘Severe Eczema’, Paling Sedih Sampai Kena Berhenti Belajar Di Tadika
Anak sakit sikit pun mama dah sedih, inikan pula melihat anak kesayangan menggaru-garu, kulit pedih keterlaluan hingga berdarah. Lebih teruk lagi apabila air bisa yang keluar dari kulit yang digaru. Tapi itu antara perkara dan pengalaman biasa yang dihadapi oleh kanak-kanak yang bernama Tia Al-Batrisya Muhamad Alhafiz.
Mawarni Abd Manaf atau lebih mesra dengan panggilan Mimi yang merupakan ibu kepada Tia menambah hanya mereka yang mengalami masalah sebegini faham akan situasi yang dialami.
“Ramai orang ingat ekzema setakat gatal-gatal saja. Hanya yang merasai tahu perasaan ini. Sukar nak berhenti menggaru. Malah, cabaran utama pesakit ekzema ialah mengadu sangat pedih apabila terkena air ketika mandi. Begitulah juga yang dihadapi Tia, paling kesian bila selepas menggaru kulit Tia melecet hingga rapuh dan mula membengkak. MasyaAllah hanya Yang Maha Esa saja yang tahu deritanya Tia. Bila dari muka hingga kaki bengkak dek kerana kesan kulit gatal yang digaru. Bukan itu saja malah rambutnya gugur dan keningnya hilang,” terang Mimi yang rasa cukup gelisah bila keadaan sedemikian dialami anak kesayangannya dan suami, Muhamad Alhafiz Zakaria.
Tia Disahkan Hidap Severe Eczema
Mimi juga menerangkan anaknya disahkan menghidap Severe Eczema iaitu dari hujung rambut hingga hujung kaki alami kegatalan teruk sehingga membuatkan anak kecil ini sering kegelisahan.
“Tia mula menghidap ekzema ketika umurnya empat tahun. Penyakit ini mula menyerang selepas hari raya. Permulaannya kulit Tia jadi kering dan hitam. Dari situ saya dan suami ke klinik-klinik pakar untuk merawat Tia. Tapi keadaan dia semakin lama semakin teruk. Pada masa yang sama kami ke Pakar Kulit HUKM dan kemudiannya selepas lima bulan doktor pakar membuat surat rujukan untuk Tia dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur kerana kondisinya yang semakin teruk.
“Semakin hari keadaan Tia semakin teruk dan tidak terkawal sehinggalah kulit dia tak boleh nak pegang. Melecet pedih, 24 jam gatal-gatal dan dia menggaru. Bila mandi dia menjerit-jerit kesakitan.
“Malam tak boleh tidur. Berpeluk saja dengan dia 24 jam. Kemudian dia terus ditahan di HKL selama sembilan hari. Bermacam-macam jenis ubat yang diberikan kepada Tia. Sehari lapan jenis ubat yang Tia makan. Berjumpa doktor selang tiga hari, turun ke seminggu sekali, dua minggu sekali, tiga minggu sekali, sebulan sekali selama setahun lebih. Keadaan terkawal sebab penggunaan steroid dan ubat hospital. Dari ubat makan sampai ubat sapu. Bila berhenti makan ubat, keadaan menjadi kembali teruk.
“Sehingga satu ketika sewaktu berusia enam tahun, Tia sudah pandai luahkan perasaan dan dia tak mahu makan ubat lagi. Sebabnya bila dia makan ubat dia akan rasa lemah, letih dan tak boleh bermain-main. Dia rasa tak seronok dan dari situ saya mula mencari alternative lain dengan menggunakan Viprolabs. Alhamdulillah perlahan-lahan penyakit Tia berkurangan,” ungkap Mimi.
Berhenti Dari Tadika
Mimi turut berkongsi dia berasa sangat sedih apabila pada usia lima tahun, Tia hanya berpeluang ke Tadika selama beberapa bulan sahaja kerana keadaannya itu.
“Ketika usianya 5 tahun, hanya dua bulan dapat ke tadika. Kemudian dia terpaksa berulang alik ke hospital. Ketika usia 6 tahun, dua tadika dia pegi. Tadika pertama dan kedua tidak dapat menerima keadaan Tia. Jadi dia hanya sempat bersekolah paling lama pun hanya tiga bulan sahaja.
“Akhirnya Tia tak pergi terus ke sekolah. Tapi syukur, tadika ketiga memahami keadaan Tia dan menerima Tia sebagai salah seorang pelajar mereka.” cerita Mimi dengan nada yang cukup sedih.
Tia Semakin Pulih
Tahun 2019 Tia mula bersekolah, bulan pertama memang penuh cabaran, Minggu pertama semuanya berjalan dengan lancar. Minggu kedua keadaan Tia mula meruncing.
“Minggu kedua Tia mula menangis-nangis, tergaru-garu sehingga cikgu hubungi saya kerana badan Tia dah berdarah-darah. Kadang tu masuk pukul 7.30 kemudian jam 8.30 sekolah dah hubungi saya untuk ambil Tia. Bulan kedua bersekolah saya tunggu Tia di kantin dan dia akan hadir setakat mana dia mampu bertahan.
“Selama tiga bulan lebih Tia menderita ketika di sekolah akhirnya sekarang Tia pulih dan syukur kerana dia sudah tidak gatal-gatal teruk seperti dulu. Walaupun semakin pulih namun saya masih menjaga pemakanan Tia dan dia juga berpantang daripada mengambil beberapa makanan yang boleh membuatkan kulit Tia kembali gatal. Penyakit Tia bukan disebabkan faktor keturunan atau makanan, tetapi menurut doktor ia berpunca daripada sistem imun Tia sendiri,” jelas Mimi.
Demi menjaga anak kesayangannya, Mimi juga terpaksa berhenti kerja dek kerana keadaan Tia yang teruk pada tahun 2017. Namun pengorbanan itu sangat berbaloi kerana dia berasa puas dapat menjaga dan bersama-sama dengan Tia tatkala anaknya memerlukan ibu di sisi. Selain itu Mimi juga sangat bersyukur kerana keluarga memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka sekeluarga sepanjang Tia menderita penyakit yang dihidapi.
sumber: Mingguan Wanita
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mitos Berpantang Melecehkan. Fakta Ini Lebih Logik Dan Boleh Digunapakai
Lazimnya, wanita selepas bersalin akan menjalani tempoh memulihkan diri atau dikenali sebagai tempoh berpantang.
Namun, ada beberapa amalan pantang terlalu ketat dan tidak baik untuk kesihatan. Berikut adalah mitos tentang beberapa amalan berpantang dan fakta yang boleh digunapakai.
Tidak boleh makan ubi-ubian
Mitos: Ibu dalam pantang tidak dibenarkan makan makanan daripada jenis ubi-ubian seperti keledek, keladi dan ubi kayu kerana makanan ini dipercayai mengganggu proses pencernaan dan menyebabkan ibu kembung perut. Hal ini berikutan ia makanan jenis ini berangin.
Fakta: Ubi-ubian merupakan makanan bijirin yang membekalkan karbohidrat sebagai sumber tenaga. Jika tidak boleh mengambil ubi-ubian semasa dalam pantang, anda boleh mengambil makanan gantian daripada kumpulan bijirin yang lain seperti nasi sebagai sumber karbohidrat dalam diet.
Tidak boleh makan sayur ‘sejuk’
Mitos: Sayur-sayuran dan buah-buahan seperti kangkung, petola, terung, timun dan tembikai dianggap ‘sejuk’ dan tidak boleh diambil oleh ibu dalam pantang.
Dengan mengelakkan makanan ‘sejuk’, ia dikatakan melambatkan proses pemulihan. Tambahan lagi, makanan sejuk juga menyebabkan kembung perut, kejang otot dan sakit-sakit badan.
Fakta: Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan amat penting sebagai sumber vitamin, mineral, fitokimia dan serat. Serat amat penting untuk melancarkan pembuangan najis bagi mencegah masalah sembelit yang sering kali dialami oleh ibu yang baru bersalin.
Sayur-sayuran dan buah-buahan seperti kangkung, kekacang, bayam, labu, sawi dan lain-lain memberi sumber vitamin dan mineral dan dapat mengelakkan sembelit serta mempercepatkan penyembuhan luka.
Sayuran hijau juga mempunyai klorofil yang membantu merangsang pembentukan sel darah merah pada anda yang mungkin mengalami anemia.
Malaysia kaya dengan kepelbagaian sayur dan buah. Oleh yang demikian, anda boleh memilih sayur dan buah yang tidak dianggap sebagai ‘sejuk’ untuk memastikan keperluan harian buah dan sayur tetap dapat penuhi.
Untuk sayur-sayuran, anda boleh memilih sawi, kucai, ulam-ulaman antaranya pegaga, daun cekur dan ulam raja. Manakala pilihan buah-buahan pula adalah seperti oren, epal, betik dan pisang.
Tidak boleh makan ayam
Mitos: Ayam dianggap sebagai ‘berbisa’. Makanan berbisa dikatakan boleh melambatkan penyembuhan luka bersalin. Malah, boleh menyebabkan pendarahan kepada ibu dalam pantang.
Fakta: Ayam merupakan sumber baik bagi protein, vitamin dan garam mineral. Anda perlu mengambil secukupnya makanan sumber protein seperti ikan, ayam, telur dan kekacang. Hal ini kerana sumber protein amat penting untuk memulihkan luka akibat bersalin sama ada luka faraj atau pembedahan.
Salah satu fungsi protein adalah pembentukan tisu-tisu badan yang membantu luka untuk sembuh. Selain itu, makanan ini juga membekalkan zat besi yang penting untuk pembentukan sel darah merah bagi menggantikan darah yang banyak hilang semasa proses kelahiran dan dapat mencegah masalah anemia.
Jika tidak boleh makan ayam, gantikannya dengan ikan.
Tidak boleh minum banyak air
Mitos: Ibu dalam pantang tidak boleh minum air dengan banyak kerana dipercayai boleh menyebabkan urat saraf menjadi kembang.
Minum air dalam amaun yang banyak sepanjang tempoh berpantang juga boleh menyebabkan perut buncit, menggelebeh dan peranakan bengkak.
Fakta: Urat adalah salur darah. Kembang atau kuncup salur darah bukanlah disebabkan makanan atau minuman. Anda perlu minum air secukupnya iaitu lapan gelas sehari.
Hal ini penting supaya toksin boleh dikumuhkan dan semua organ dalaman boleh berfungsi dengan baik. Kepercayaan ibu dalam pantang perlu mengehadkan pengambilan air adalah perlu dielakkan.
Pengambilan air yang mencukupi penting untuk memulihkan kecergasan badan, memberi keseimbangan elektrolit dan mengawal suhu badan. Minum air yang mencukupi boleh mengelakkan sembelit yang biasa dialami ibu berpantang. Ia juga amat penting bagi ibu yang menyusukan bayi.
Tidak boleh makan telur
Mitos: Makan telur ketika berpantang akan menyebabkan luka bernanah. Lebih-lebih lagi bagi yang bersalin secara caesarean.
Fakta: Nanah disebabkan oleh jangkitan kuman. Sedangkan, telur adalah sumber protein yang baik dan bagus untuk pemulihan luka dalaman. Telur kaya dengan vitamin dan mineral. Sebutir telur bersaiz besar mengandungi 21mg Kolin.
Tidak boleh mandi terlalu lama
Mitos: Ibu berpantang yang mandi terlalu lama boleh menyebabkan dirinya dimasuki angin dan mengalami bentan.
Fakta: Larangan untuk tidak mandi dalam tempoh yang lama adalah disebabkan mahu anda menjaga luka perineum atau di bahagian perut yang semestinya perlu dijaga dengan baik.
Ia tidak boleh terlalu basah dan perlu segera dikeringkan selepas mandi bagi memastikan luka di bahagian berkenaan cepat sembuh.
Tidak boleh menggunakan kipas dan/ atau pendingin hawa
Mitos: Penggunaan angin sejuk daripada kipas dan pendingin hawa akan menyebabkan angin memasuki badan ibu berpantang.
Fakta: Kulit manusia mempunyai beberapa lapisan. Angin tidak masuk menerusi kulit dan terus ke saluran darah.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sindrom Menyerang Senyap Ini Antara Punca Kanser Rahim 2 Dari 100 Wanita. Mama Perhatikan 7 Gejalanya
Sindrom Ovari Polisistik atau Polycystic ovary syndrome (PCOS) dialami oleh 2 hingga 26 dalam 100 orang wanita. Sindrom yang terjadi secara senyap ini boleh meningkatkan risiko kanser rahim. Salah satu gejalanya ialah berat badan naik mendadak dan gangguan haid.
Ia mungkin menyebabkan terjadinya tanpa disedari. Dalam senyap dan kealpaan dek kesibukan sehari-hari, tanpa disedari ramai wanita terdedah kepada pelbagai faktor mencetuskan sindrom ini.
Menurut Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan, Kesihatan wanita & Kehamilan, sindrom ini amat berbahaya kerana memberikan kesan jangka panjang yang dipenghujungnya membabitkan masalah kesihatan kepada wanita. Kanser rahim, tekanan darah tinggi, diabetes, atau kerintangan insulin dan kesan psikologi seperti kemurungan adalah antaranya.
PCOS adalah keadaan yang boleh menganggu kesuburan wanita, hormon dan penampilan seseorang wanita. PCOS mempunyai kesan jangka masa panjang kepada kesihatan. Dalam setiap 100 wanita 2 hingga 26 wanita akan mengalami masalah ini.
APAKAH OVARI POLISISTIK?
Ovari polisistik adalah ovari yang lebih besar dari ovari yang normal dan mempunyai 2 kali ganda folikel ( ruang kosong dala ovari yang berisi air selepas ovari menetaskan telur dalam setiap ovulasi )
Maka, dengan mempunyai ovari polisistik tak bermakna anda mengalami PCOS. Tetapi wanita yang telah didiagnos dengan PCOS mempunyai ovari polisistik.
APAKAH GEJALA-GEJALA PCOS?
- Haid menjadi tak teratur atau tiada langsung
- Pertumbuhan bulu lebih banyak di muka dan badan ( hirsuitism )
- Kepala botak
- Berat badan menjadi berlebihan – berat badan naik dengan cepat dan susah nak diturunkan
- Kulit berminyak dan senang naik jerawat
- Sukar untuk hamil
- Kemurungan dan masalah psikologi
Gejala ini berbeza antara satu pesakit dengan yang lain. Ada yang mengalami gejala yang sedikit, walaubagaimanapun ada yang mengalami gejala yang melampau.
PUNCA PCOS?
Tidak diketahui, tapi ianya diwarisi. Jika mak, makcik atau adik beradik mempunyai PCOS, kemungkinan anda mendapat PCOS pun meningkat
Perlu diketahui gejala yang timbul akibat PCOS sebenarnya berpunca dari ketidakseimbangan hormon dalam badan
LEBIH HORMON LELAKI
Hormon testosteron ( hormon lelaki ) dihasilkan dalam kuantiti yang sedikit oleh ovari semua wanita. Wanita yang menghidap PCOS mempunyai paras hormon testosteron yang lebih tinggi dari biasa dan menyebabkan seseorang wanita itu ‘menyerupai’ lelaki.
Insulin adalah hormon yang bertanggungjawab mengawal atur paras gula dalam darah. Bagi wanita yang menghidap PCOS, insulin dalam badan menghadapi kerintangan dan tidak dapat berfungsi seperti biasa. Hasilnya paras gula dalam darah meningkat.
Untuk mengatasi masalah ini, badan secara automatik akan menghasilkan lebih banyak insulin. Insulin yang banyak ini menjadi punca kepada masalah kegemukkan, haid tak teratur, masalah kesuburan dan paras hormon lelaki ( testosteron ) yang tinggi.
BAGAIMANAKAH PCOS DIKENALPASTI?
Wanita yang menghidap PCOS mempunyai gejala yang datang dan pergi, lebih-lebih lagi jika berat badan mereka bertambah dan berkurang. Keadaan ini menyukarkan doktor membuat diagnosis dan mungkin mengambil masa yang sedikit lama untuk mengenalpasti PCOS.
Walau bagaimanapun, diagnosis PCOS dikenalpasti bila anda mengalami mana-mana 2 simptom di bawah :
- Haid tak teratur, atau tiada langsung
- Pertumbuhan bulu di muka dan badan yang berlebihan atau ujian darah hormon menunjukkan paras testosteron lebih dari biasa
- Pemeriksaan ultrasound menunjukkan ovari polisistik
KESAN PCOS KEPADA KESIHATAN DALAM JANGKA MASA PANJANG ?
#1. Kerintangan Insulin / Diabetes
Jika paras gula darah tidak berada dalam lingkungan yang normal, keadaan ini boleh menyebabkan diabetes. 1 atau 2 dari 10 wanita yang menghidap PCOS akan menghidap kencing manis juga nanti .
Diabetes yang tidak dirawat akan menyebabkan kesan buruk untuk jangka masa yang panjang. Jika anda penghidap PCOS, kemungkinan anda mendapat kencing manis meningkat sekiranya :
- Umur lebih 40 tahun
- Sejarah keluarga mengidap kencing manis
- Menghidap kencing manis ketika hamil
- BMI melebihi 30
#2. Tekanan darah tinggi
Wanita yang menghidap PCOS akan mengalami tekanan darah tinggi yang mana disebabkan oleh kerintangan insulin dan berat badan berlebihan untuk mereka yang menghidap PCOS. Tekanan darah tinggi yang tidak dirawat boleh menyebabkan sakit jantung, masalah buah pinggang dan strok.
#3. Kanser
Jika anda didatangi haid kurang dari 3 kali setahun, dinding rahim akan jadi tebal lebih dari biasa dan boleh menyebabkan kanser rahim pada sebilangan kecil wanita.
Ada banyak cara untuk melindungi dinding rahim menggunakan hormon progesterone. Doktor akan berbincang dengan anda sama ada menggunakan pil hormon selama 5 hari berturut – turut untuk 3 atau 4 bulan, mengamalkan pil perancangan keluarga atau menggunakan alat dalam rahim ( Mirena ) . Cara-cara ini bergantung kepada hasrat pesakit sama ada mahu mengandung lagi atau tidak.
PCOS tidak meningkatkan risiko wanita mendapat kanser payu dara atau kanser ovari.
#4. Kemurungan dan perubahan mood
Simptom PCOS boleh menyebabkan seseorang wanita kemurungan memikirkan perubahan yang terjadi pada diri dan berasa rendah diri
TIP MENGURANGKAN RISIKO KESIHATAN DALAM JANGKA MASA PANJANG
- Mengamalkan gaya hidup yang sihat
- Makan makanan yg seimbang
- Bersenam secara berkala ( 30 minit setiap sesi sekurang kurangnya 3 kali seminggu )
- Dapatkan berat badan atau BMI yang ideal
- Pemeriksaan doktor berkala untuk saringan kencing manis, darah tinggi, kanser rahim atau masalah kemurungan.
BOLEHKAH PCOS SEMBUH
PCOS tiada penawar dan tidak boleh sembuh. Rawatan perubatan yang diberikan adalah untuk mengurangkan simptom-simptom PCOS di samping mencegah komplikasi yang boleh timbul akibat PCOS.
Rawatan yang sangat berkesan adalah dengan mengurangkan berat badan dan bersenam dan mengubah gaya hidup menjadi lebih sihat, bukan bergantung kepada ubat-ubatan semata-mata.
Sumber: Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan, Kesihatan wanita & kehamilan
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI