Sebaik selesai menjalani pemeriksaan antenatal, antara perkara yang menjadi igauan ibu hamil ialah apabila doktor memaklumkan tahap hemoglobin (Hb) rendah. Anda perlu faham mengapa doktor sangat menjaga para Hb para ibu hamil. Hb berperanan penting kerana ia bertindak sebagai pengangkut oksigen dan zat makanan ke seluruh badan.

Daripada sudut perubatan, anemia berpunca daripada kekurangan Hb di dalam sel darah merah. Masalah ini boleh dikesan melalui ujian darah. Paras Hb anda dianggap rendah apabila parasnya kurang daripada 11gm/dl.

Semasa hamil, tubuh seharusnya menghasilkan lebih banyak sel darah merah bagi menyokong perkembangan dan pertumbuhan bayi di dalam kandungan. Kekurangan Hb boleh menyebabkan tubuh  kekurangan kandungan oksigen, sekali gus mendedahkan anda dan bayi kepada beberapa risiko yang membahayakan. Berikut adalah antara risiko yang boleh anda alami apabila kekurangan Hb dalam dara.

Keletihan

Paling utama, anemia boleh menyebabkan anda mudah berasa letih, lesu, dan lemah. Malah, anda juga boleh mengalamai masalah pening, sesak nafas dan sukar untuk memberi tumpuan terhadap sesuatu perkara. Seperti yang dinyatakan, hal ini berlaku kesan daripada kekurangan oksigen dan nutrien. Oleh sebab itulah, muka ibu hamil yang mengalami anemia sering kelihatan pucat.

Keguguran

Sekiranya paras Hb terlalu rendah dan berada pada tahap yang serius, tubuh anda tidak berupaya menampung bayi di dalam kandungan. Lantaram itulah, ada kehamilan yang berakhir dengan keguguran janin yang dikandungkan.

Pendarahan semasa bersalin

Seandainya anda tidak berusaha untuk meningkatkan paras Hb sepanjang tempoh kehamilan sehingga waktu bersalin, risiko berlakunya pendarahan semasa proses kelahiran adalah sangat tinggi. Jika hal ini berlaku, kemungkinan besar anda perlu melalui proses pemindahan darah  demi menyelamatkan nyawa anda.

Tumbesaran bayi terbantut

Tumbesaran bayi dalam kandungan juga boleh terlewat daripada tahap yang sepatutnya. Paling dibimbangi, bayi yang bakal dilahirkan kelak akan mengalami masalah anemia juga.

Bayi lahir kurang berat badan

Hb yang rendah turut memberi kesan kepada kesihatan fizikal bayi. Dia mungkin tidak dapat membesar dengan normal semasa dalam kandungan lagi. Kesannya, dia mungkin lahir sebagai bayi Bayi IUGR (IntraUterine Growth Restriction). Ini bererti, dia lahir dengan berat badan kurang daripada berat bayi normal dan memerlukan perhatian khusus daripada pihak hospital.

Bayi meninggal dalam kandungan

Kesan-kesan lain akibat daripada kekurangan Hb dalam darah juga boleh menjadi punca bayi meninggal dalam kandungan.

Kematian ibu

Dalam kes yang paling teruk, anemia yang tidak dirawat boleh menjadi punca kematian ibu hamil.

Setelah mengetahui risiko-risiko yang boleh berlaku kepada anda dan bayi, berusahalah untuk meningkatkan paras Hb dalam darah. Berikut adalah langkah yang boleh anda lakukan.

Ambil makanan kaya zat besi

Antara sumber makanan kaya dengan zat besi ialah daging, hati ayam, limpa, kerang, ikan, sotong, ikan bilis, pegaga, pucuk paku, kangkung, bayam, brokoli  dan kailan. Pastikan anda mengambil sekurang-kurangnya satu jenis makanan-makanan yang disebutkan ini setiap hari.


Ambil suplemen

Sekiranya anda disahkan mengalami Hb rendah, doktor akan membekalkan anda dengan ubat khas bagi mengatasi masalah ini. Biasanya ia terdiri daripada pil zat besi, pil asid folik, pil vitamin C dan pil vitamin B kompleks. Ada juga doktor yang membekalkan ubat lain seperti Zincofer atau Iberet. Pastikan anda mengambil pil ini setiap hari mengikut dos yang disarankan oleh doktor.

Elakkan makanan penghalang penyerapan zat besi

Untuk memastikan penyerapan zat besi berlaku dengan lebih efisyen, elakkan meminum atau memakan bahan yang mengandungi kafein seperti kopi, teh, minuman berkola atau minuman bercoklat, terutamanya dalam tempoh dua jam selepas pengambilan pil zat besi.

Selain makanan berkafein, susu juga boleh menjejaskan penyerapan zat besi pada tubuh. Walaupun ia merupakan sumber kalsium, tetapi anda perlu menjarakkan pengambilannya sekurang-kurangnya dua  jam selepas memakan ubat.

Lebihkan makanan pembantu penyerapan zat besi

Makanan yang membantu meningkatkan penyerapan zat besi terdiri daripada makanan yang kaya dengan vitamin C. Oleh itu, anda digalakkan untuk makan ubat bersama jus oren untuk penyerapan yang optimum. Selain itu, lebihkan buah dan sayur yang kaya dengan vitamin C dalam hidangan harian. Antaranya jambu batu, limau, betik, tomato dan lain-lain.

Tinggalkan Komen