Bayi pramatang perlu disusukan dengan susu ibu supaya beratnya cepat naik. Ikuti panduan daripada kaunselor laktasi ini.

Menyusukan bayi pramatang memberikan kelebihan agar bayi berkembang sihat dan naik berat badan dengan cepat. Tapi bayi pramatang mempunyai daya hisapan yang tidak kuat malah mereka tidak pandai menghidap kerana masih kecil.

Menurut kaunselor laktasi, Noor Fazila Abdul Rahman, penghasilan susu sebenarnya tidak pernah berhenti seperti sebuah kilang yang beroperasi tanpa cuti. Ia berlaku secara berterusan selagi ada rangsangan yang kerap daripada bayi.

Kelahiran sebelum minggu ke-37 ditakrifkan sebagai kelahiran pramatang. Bayi pramatang selalunya akan ditahan di wad sehingga berat badan melepasi paras yang sepatutnya. Penyusuan kepada bayi pramatang perlu dijayakan  untuk memastikan perkembangannya pantas dan naik berat badan.

#1 SENTUHAN KULIT KE KULIT

Selain itu, tip terbaik untuk ibu yang melahirkan bayi pramatang ialah dengan memberikan sentuhan kulit ke kulit. Ibu perlu menghabiskan masa setiap hari bersama anak di hospital walaupun jururawat boleh mengambil alih tugas memberi susu perahan melalui tiub untuk si kecil. Sentuhan kulit ke kulit antara ibu dan bayi sangat penting untuk membantu kenaikan berat anak dan pastinya penghasilan susu yang lebih lancar.

#2 PERAH DI SAMPING ANAK

Ibu boleh meluangkan masa memerah susu di tepi katil anak setiap tiga jam sambil menyentuh kulit dan jari jemari anak.  Hal ini semua akan membuatkan hormon oksitosin meningkat dan membuatkan pengaliran susu menjadi lebih lancar.

#3 RANGSANG DENGAN PAM PAYUDARA

Jika si kecil masih belum dibenarkan untuk menyusu terus daripada ibu atau ibu tidak dapat ke hospital setiap hari, rangsangan pada payudara boleh diwujudkan dengan menggunakan pam payudara. Bagi memastikan penghasilan susu yang berterusan dan semakin meningkat, ibu perlulah memerah setiap tiga jam sekali atau sekurang-kurangnya lapan kali sehari.

Sebaik-baiknya ibu menggunakan botol simpanan susu yang bersaiz kecil (2oz) kerana hasil perahan pada awal kelahiran terutama untuk anak pramatang sangat sedikit. Susu perahan tersebut bolehlah dibekalkan kepada pihak hospital untuk diberikan kepada bayi.”

 

 

Tinggalkan Komen