Sudah tentu ada yang tak tahu potensi diri anak. Namun hakikatnya bakat, kepintaran dan kecerdasan secara semulajadi tidak menjamin kejayaan masa hadapan kanak-kanak yang berpotensi tinggi melangkaui rakan-rakan sebaya mereka.

Malah, jika dibiarkan begitu sahaja, ada kemungkinan potensi hebat ini akan hilang sejajar dengan masa atau terbantut kerana tekanan rakan sebaya dan pengaruh tidak sihat nanti.

Jelaslah betapa pentingnya usaha untuk mencari serta membangunkan potensi diri si kecil anda! Konsep ‘potensi’ berasal dari frasa Latin ‘in potentia’ yang membawa maksud ‘daya’, ‘kuasa’, ‘pengaruh’, ‘suatu kemungkinan’ dan ‘sesuatu yang berkemungkinan besar untuk berlaku jika semua pra-syarat telah dipenuhi’.

Ikuti panduan oleh Dr Airil Haimi Mohd Adnan adalah Ketua Pusat Pengajian di UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal.

Tak Tahu Potensi Diri Anak. Pakar Ini Kongsi 5 Tip Untuk Tahu Bakat, Kepintaran Dan Kecerdasan Anak

Tip #1: Bakat, kepintaran, kecerdasan berubah-ubah sekitar usia 0-6 tahun

Keanjalan (flexibility) pemikiran kanak-kanak dalam lingkungan usia pendidikan praformal 0-6 tahun bererti bakat, kepintaran dan juga kecerdasan mereka akan sentiasa berubah-ubah ketika mereka mencari identiti diri pada awal usia. Namun, ini tidak pula bererti anda sebagai papa dan mama yang prihatin tidak perlu memberi fokus kepada bakat, kepintaran dan juga kecerdasan si kecil!

Sebaliknya, berikanlah sebanyak mungkin pendedahan kepada si kecil dalam semua bidang, hal dan perkara yang sesuai dengan peringkat umurnya. Dari aktiviti memasak ke melukis hinggalah ke aktiviti menari dan mengaji, setiap pendedahan yang diberikan akan memberi peluang si kecil anda itu ‘berjumpa’ dengan potensi sebenar dirinya.

IKLAN

Tip #2: Bakat, kepintaran, kecerdasan perlu bimbingan pakar yang sesuai

‘Pakar’ di sini, bukanlah bererti seseorang yang memiliki ijazah kedoktoran atau seorang profesor universiti yang bertauliah. Ambil contoh aktiviti memasak. Jika si kecil anda sebenarnya berpotensi untuk menjadi seorang tukang masak profesional pada masa depan, dia memerlukan bimbingan seseorang dengan nyalarasa (passion) yang tinggi akan aktiviti masak-memasak.

Boleh jadi individu itu mamanya atau pun papanya… atau mungkin kedua-duanya sekali. Tidak mustahil juga nenek atau datuk yang boleh memberi bimbingan terbaik kepada bakal ‘Junior MasterChef’ anda itu. Penyelidikan sains sosial membuktikan manfaat daripada bimbingan ‘pakar’ untuk mengenali seterusnya meningkatkan potensi diri kanak-kanak.

Tip #3. Mencari dan mengasah bakat, kepintaran, kecerdasan perlu bantuan

 ‘Bantuan’ yang paling baik sudah tentu datangnya dari guru tadika atau pengasuh di taska si kecil kesayangan anda. Anda mungkin merasakan bahawa anak anda amat cenderung kepada aktiviti menggambar dan mewarna kerana di rumah, melukis menjadi aktiviti yang amat dia sukai.

IKLAN

Akan tetapi, anda mungkin tidak tahu bahawa di tadika si kecil anda, dia amat menyukai aktiviti fizikal yang lasak seperti berlari dan memanjat serta bermain bola kerana aktiviti seperti ini berbentuk sosial dan perlukan rakan-rakan sepermainan. Anak anda melukis sahaja di rumah kerana dia anak tunggal, misalnya! Oleh itu, ambil sedikir masa untuk berbincang dan mendengar pendapat guru, pengasuh dan pembimbing si kecil anda, okay!

Tak Tahu Potensi Diri Anak. Pakar Ini Kongsi 5 Tip Untuk Tahu Bakat, Kepintaran Dan Kecerdasan Anak

Tip #4. Bakat, kepintaran, kecerdasan akan memperlihatkan kecenderungan diri

Kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat (gifted and talented) lazimnya akan menunjukkan tahap kecenderungan yang amat tinggi kepada perkara atau kemahiran yang selari dengan minat dan nyalarasa diri mereka. Itu sebabnya kanak-kanak seperti ini menunjukkan tahap perkembangan yang lebih cepat dan sangat maju, berbanding kanak-kanak lain!

IKLAN

Pada masa yang sama, ‘kecenderungan’ si kecil juga akan berubah-ubah. Minggu ini dia mungkin amat suka bermain dengan blok ‘Lego’ tetapi dua minggu lagi dia lebih senang menulis komik dengan penceritaan daripada imaginasi dirinya. Oleh itu, sentiasalah cuba berfikiran terbuka dan perhatikan tahap perkembangan si kecil anda pada tempoh masa yang lebih panjang untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang potensinya.

Tip #5. Bakat, kepintaran, kecerdasan boleh diuji secara sistematik dan saintifik

Bakat, kepintaran dan kecerdasan si kecil anda sebenarnya boleh diukur dan juga dinilai melalui ujian-ujian yang sistematik lagi saintifik. Cara ini mungkin yang terbaik, lebih-lebih lagi jika si kecil anda menunjukkan potensi pintar cerdas dan berbakat yang jauh melangkaui kebolehan dan kemahiran rakan-rakan yang sebaya dengannya.

Ini mungkin disebabkan usia mental (mental age) si kecil anda jauh lebih tinggi daripada usianya sekarang ini. Ada ujian berasaskan pemerhatian seperti Scale for Rating the Behaviour Characteristics of Superior Students atau SRBCSS yang boleh dilakukan untuk mencari, melihat seterusnya menilai tahap potensi tinggi si kecil anda.

‘Program Kanak-Kanak Pintar Cerdas’ seperti PERMATA Pintar Negara dan Program Pintar Cerdas POTENTIA (yang kami jalankan di UiTM Cawangan Perak) menggunakan ujian seperti ini supaya kami dapat menilai dan meningkatkan potensi diri si kecil yang pintar, cerdas dan berbakat. Ujian berbentuk akademik atau ilmiah seperti ini perlukan masa dan hanya boleh diawasi oleh ahli sarjana dan pakar yang terlatih.

Namun begitu, anda juga pastinya boleh membaca dan memahami aspek-aspek ujian SRBCSS (atau ujian kepintarcerdasan lain) sebagai wadah untuk mengenalpasti potensi si kecil kesayangan anda mulai detik ini!

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI