Pada peringkat awal umur anak-anak, mereka menunjukkan tingkah laku tanpa memahami perasaan sebenar yang dialami. Anak pada usia lima atau enam tahun boleh bertindak agresif. Ia berlaku disebabkan mereka tidak memahami dan tidak tahu bagaimana untuk menyatakan perasaan. Semakin membesar anak-anak bermakna mereka akan memahami lebih banyak bentuk perasaan seperti cemburu, bosan dan sebagainya. Mereka bukan sahaja dapat memahami perasaan diri sendiri tetapi juga perasaan orang lain.
Ibu bapa berperanan untuk membantu anak-anak memahami dan menyatakan perasaan dengan baik.
Anak-anak yang faham dan dapat meluahkan perasaan dengan baik akan membentuk tingkah laku positif. Mereka juga dapat mengawal dan menangani perasaan kecewa atau marah dengan lebih berkesan. Ikuti tiga tindakan yang harus ibu bapa lakukan untuk membantu anak mengawal tingkah lakunya.
1.Memahami perasaan
Anak-anak dapat dibantu untuk memahami perasaan diri sendiri melalui interaksi positif yang ditunjukkan oleh ibu bapa.
Cara ini akan menggalakkan anak-anak mengenalpasti perasaan yang dialami. Apabila anak menunjukkan tingkahlaku bermasalah, ibu bapa boleh bertanyakan kepada mereka apa sebenarnya perasaan yang dirasakan ketika itu.
Juga bertanyakan kesan tingkahlaku tersebut ke atas orang lain dan juga terhadap dirinya sendiri.
Teknik ini membantu anak-anak untuk memahami perasaan dirinya sendiri dan perasaan orang lain dalam persekitarannya.
- Mengawal perasaan
Kadangkala anak-anak menunjukkan tingkah laku yang bermasalah kesan daripada perasaan negatif yang dialami seperti kecewa dan marah. Ibu bapa akan menyalahkan anak atas tingkahlaku yang ditunjukkan akan menyebabkan anak keliru dan memberontak.
Ini kerana anak-anak belum cukup bijak untuk memahami dan mengawal perasaan diri sendiri.
Oleh yang demikian, ibu bapa hendaklah cuba memahami apa perasaan kanak-kanak sehingga bertingkahlaku bermasalah.
Melalui komunikasi secara terbuka dan berkesan, anak-anak dapat dibantu memahami perasaan dan mengawal perasaan dengan baik.
- Arahan positif bertentangan negatif
Terdapat beberapa bentuk arahan yang selalu digunakan oleh ibu bapa apabila berkomunikasi dengan anak-anak. Arahan-arahan ini ada berbentuk positif dan ada juga berbentuk negatif.
Arahan berbentuk positif akan memberi kesan yang positif kepada anak-anak, manakala arahan berbentuk negatif akan memberi kesan yang sebaliknya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Bagi Dia Berkawan, Tingkat Skil Motor.” Rayyan 2 Tahun, Elfira Hantar Sekolah
Keputusan Elfira Loy menghantar anak sulungnya, Muhamad Rayyan Khalaf yang baru berusia 2 tahun ke sekolah, adalah untuk meningkatkan penguasaan kemahiran motor dan skil bersosial.
Menerusi laporan Kosmo, Elfira mempertahankan tindakannya menghantar Rayyan ke sekolah, dan menegaskan semua itu terpulang kepada kehendak masing-masing sebagai ibu bapa.
Menurut Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri itu, beberapa kajian yang dijalankan menunjukkan sebenarnya banyak manfaat menghantar anak-anak kecil ke sekolah pada usia kecil.
“Menghantar anak-anak kecil ke taman asuhan (playschool) akan membantu mereka untuk membangunkan kemahiran ‘motor’ (aktiviti yang melibatkan pergerakan otot dalam badan).
“Mereka juga dapat membangunkan kemahiran sosial dan harian. Memang ada kajian menunjukkan perbezaan antara kanak-kanak yang aktif bermain dengan yang kurang melakukan aktiviti yang merangsang kemahiran motor,” katanya menerusi satu entri dalam Instastory.
Ujar Elfira lagi, sekiranya ada ibu bapa belum bersedia menghantar anak kecil ke taman asuhan, ia tak salah dan masing-masing ada pendirian.
“Jika rasa tak bersedia nak hantar anak kecil ke sekolah tidak mengapa. Boleh je buat aktiviti bersama anak-anak di rumah,” ujar Elfira, 27.
Cuma dia berasa sedikit terganggu apabila ada pihak yang mempersoalkan tindakan dirinya menghantar anak ke taman asuhan atau sekolah ketika masih berstatus kanak-kanak kecil.
“Biarpun saya tidak masuk mengambil pusing tentang mesej (dari netizen), saya juga rasa terganggu dan perlu terangkan berkenaan stigma sesetengah ibu bapa yang berfikiran mengapa anak-anak terlalu awal ke sekolah,” katanya.
Elfira Loy mendirikan rumah tangga dengan Muhamad Faris Khairol Anuar pada 1 Januari 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata pertama lelaki bernama Muhamad Rayyan Khalaf pada 1 Oktober tahun yang sama.
Kredit: Kosmo
Dah masuk hujung tahun ni, biasanya mama papa pasti buat persediaan anak-anak masuk ke sekolah. Apa yang patut kita nak buat supaya anak-anak tak kekok dan teruja nak ke sekolah?
Jom ikuti perkongsian ilmu bermanfaat dari Dr Tengku Putri Zainab Ab Malek (Pakar Perunding Pediatrik), Pn Nurul Sheriena Musa (Konsultan Perkembangan Kanak-kanak & Terapis Cara Kerja) serta sharing dari selebriti Yana Samsudin bagaimana dia melatih anaknya untuk belajar tiga bahasa. Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/tip-a-z-anak-ready-ke-sekolah/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Nak Anak Hormat Kita, Jangan Pandang Ringan Layanan Pada Anak Sejak Kecil
Sebagai ibu bapa tentu kita nak anak hormat kita. Jadi jangan pandang ringan layanan pada anak sejak mereka kecil lagi.
Sedar atau tidak, kadang-kala kita sebagai ibu bapa sendiri yang mendidik anak dalam aura negatif.
Asal anak buat salah sahaja, cepat kita marah dan tengking tanpa mengambil kira faktor usia anak tersebut.
Menggunakan kuasa veto sebagai ibu bapa, kita mahu anak-anak hormatkan kita tapi diri sendiri terpekik terlolong marahkan si anak yang teruja nak berkongsi lukisan yang dibuat di sekolah kerana kita penat baru balik dari kerja.
Betullah seperti hasil tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam blog beliau, hari ini memang ramai ibu bapa yang bagi layanan terbalik kepada anak-anak. Hasilnya anak membesar sebagai individu penuh dendam dan tidak menghormati orang tua.
Layanan Terbalik Ibu Bapa Yang Pelik
“Kamu ni tak faham-faham ke? Berapa kali emak nak cakap, emak ni penat!” tengking seorang ibu kepada anaknya.
Jari telunjuknya tajam mencucuk-cucuk dahi anaknya yang berusia dalam lingkungan lima ke enam tahun.
“Kamu buat apa di sini? Balik!” herdik seorang bapa kepada anak remajanya yang sedang duduk berbual bersama kawan sekelasnya.
Ayat-ayat ini adalah habuan telinga yang biasa mengiringi kita menuju dewasa. Jika tidak diri sendiri yang jadi mangsa, kawan-kawan di sekeliling biasa mengalaminya.
Entahlah, saya cukup tidak tahan melihat ibu bapa yang ‘bising’ apabila marahkan anak, terutamanya jika marah itu tidak kena cara. Ibu bapa saya bukanlah jenis yang begitu, lantas mungkin saya tidak biasa dengannya. Tetapi apakah ganjil kerana tidak biasa dengan cara begitu, dan tidka mahu ia diterima sebagai kebiasaan yang normal? Sebaliknya yang normal itu ialah pada menerima, bahawa menengking dan mengherdik merupakan cara kita mendidik anak-anak.
Saya bukan mahu bercakap tentang wajar atau tidak herdik dan tengking menjadi bahasa pilihan antara ibu bapa dan anak. Tetapi kali ini saya mahu muhasabah tentang ibu bapa yang lupa melihat kekerdilan juga kedewasaan anaknya.
LAYAN CARA KECIL ATAU DEWASA
Anak kecil dilayan seperti orang dewasa, anak yang sudah dewasa dilayan seperti budak kecil. Lantas layanan itu hanya menyemai bibit benci dan dendam anak-anak kepada ibu bapa.
Apa yang seorang anak berusia lima tahun faham, tentang keletihan dan stress seorang ibu yang baru pulang kerja selepas bergaduh dengan majikan? Seorang anak berusia lima tahun hanya faham satu perkara, iaitu ibu adalah ratu hatinya. Tempat dia mencari perhatian, kasih dan sayang. Maka anak-anak di usia lima enam tahun itu mengikut naluri yang betul apabila cuba bermesra dengan ibu dan bapanya. Dia tidak faham keletihan dan kerunsingan seorang ibu dan bapa. Dia tidak peka dan tidak peduli dengan keletihan ibu bapanya.
Ibu dan bapa adalah hero mereka. Maka mereka hanya mengharapkan ibu dan bapa yang sentiasa bersedia untuk mereka.
Anak-anak itu mahu berkongsi cerita, kisah gurau sendanya dengan kawan-kawan di sepanjang hari persekolahan. Tiba-tiba bapa melenting marahkan anak, “kamu tidak tahukah aku penat?”
Bagaimanakah akal seorang anak berusia lima tahun menafsirkan herdikan yang begitu? Sampaikah akal kanak-kanak di usia itu untuk memahami susah payah ibu bapanya bekerja? Dia masih anak kecil. Kita melayannya seperti dia sudah dewasa.
Sesungguhnya itulah ibu bapa tempang yang belum dewasa dalam menghayati naluri manusia, anaknya sendiri.
YOP KENA MARAH
“Kenapa Yop masam muka ni?” saya kehairanan. Anak saya bermasam muka sepanjang hari.
Bukan sahaja mukanya masam, gelagatnya pun lain dari biasa. Naurah menjadi mangsa kemarahannya. Bila ditegur, jadi merampus tidak tentu hala.
Kalau nak diikutkan hati, memang geram. Kita tanya secara baik, dia membalasnya dengan cara sedemikian rupa. Tetapi sebagai bapa atau ibu, kitalah yang sepatutnya sudah cukup berakal untuk mengorek isi hati si anak. Tahan sabar.
Jika seorang paediatrik berdepan dengan cabaran untuk membantu seorang budak menjelaskan sakit fizikal yang dialaminya, ibu bapa juga harus profesional dalam mengorek masalah anak-anak, terutamanya masalah jiwa dan perasaan. Emosi anak yang gagal diluahkan akan menjadi penyakit di dalam personalitinya. Janganlah kita sebagai ibu bapa yang menjadi punca virus dan bakterianya.
Semasa Yop berusia sekitar dua tiga tahun, beliau mudah ditenteramkan dengan dialog. Saya tarik dia masuk ke bilik, bercakap face to face biar pun saya tahu beliau tidaklah begitu memahami apa yang saya katakan. Tetapi sesi itu selalu selesai dengan Yop memeluk saya dengan tangisan. Tetapi apabila usianya meningkat dewasa, usaha melembutkan hatinya yang keras menjadi semakin sukar kerana dia sering keras membatu.
“Tadi cikgu marah Yop” anak saya mula mahu bercakap.
“Kenapa cikgu marah?” saya cuba lagi untuk memahaminya.
“Cikgu marah sebab buku Yop kotor. Bukan Yop buat. Naurah yang conteng” katanya. Bibir memuncung.
“Yop cakap tak pada cikgu, Naurah yang conteng buku Yop?” saya terus bertanya.
Anak saya mengangguk.
“Tapi cikgu cakap buku Yop, Yop la kena jaga” katanya.
Saya tergamam.
Jika cikgu merotan tangan anak saya kerana bukunya diconteng oleh si adik, mampukah anak saya pada usia 5 tahun faham konsep accountability dan responsibility? Saya rasa anak saya pada usia begitu hanya mampu faham, dia patut dihukum atas kesalahan yang dia buat secara langsung. Maka jika bukunya diconteng oleh Naurah, Naurahlah yang sepatutnya dikenakan tindakan, bukannya dia. Pada Yop, dia telah dihukum atas kesalahan yang dia tidak buat.
Inilah yang saya maksudkan, anak kecil dilayan macam orang dewasa.
Naurah juga masih terlalu kecil untuk faham menconteng buku abang itu salah. Pada fikirannya, ia suatu keseronokan, dan seronok itu baik.
NASIB ABANG DAN KAKAK
Selalu juga berlaku di dalam sebuah keluarga, anak sulung sama ada Abang Long atau Kak Long, sentiasa disuruh mengalah kepada adik.
“Bagilah benda tu kat adik kamu. Kamu dah besar. Dia budak lagi” marah ibu atau bapa kepada anak.
Anak sulung sering disuruh mengalah.
Tetapi jangan kita lupa, ketika anak sulung dimarah, dia sedang berada pada usia intensif pembentukan identiti dan emosi. Identitinya perlu dibangunkan, dan emosinya perlu dibentuk. Sedangkan si adik kecil yang mahu dimenangkan itu belum faham apa-apa. Maka kesilapan kita ketika marah, impaknya pergi kepada anak yang telah faham maksud kecil hati dan dendam itu.
Marah boleh marah, tetapi janganlah sampai tiada didikan dalam kemarahan itu.
Akhirnya anak sulung menjadi taat mengikut arahan. Bukan kerana jadi baik, tetapi kerana rendah keyakinan diri.
Sikap melampau ibu bapa memenangkan anak kedua, menjadi anak sulung membesar dengan inferiority complex, manakala si adik pula terus membesar dengan superiority complex. Rosak kerana dimanjakan hingga tidak belajar mengikut arahan. Si sulung terlebih menerima arahan, yang adik terlebih mendapat kelebihan.
Perbahasan lanjut mengenai peringkat pembelajaran oleh Erik Erikson ini boleh dibaca di https://www.psychologynoteshq.com/erikerikson/
Erik Erikson di dalam teori perkembangan psikososial beliau, mengusulkan bahawa kanak-kanak semenjak lahir hingga dewasa, menempuh pelbagai peringkat pembelajaran yang unik. Di setiap peringkat umur, tindak tanduk anak-anak merupakan bentuk-bentuk pembelajaran yang memerlukan sokongan kita agar itu terbentuk dengan betul. Misalnya ada usia 18 bulan ke 3 tahun, si anak mula menerokai autonomi. Mereka mula mengambil tanggungjawab ke atas dirinya. Pakai baju sendiri, ke tandas sendiri, menyuap makanan sendiri, dan kita perlu menyokongnya. Bukan melakukan bagi pihak mereka, atau memarahi mereka apabila salah dalam melakukannya.
Demikianlah juga pada peringkat-peringkat yang lain.
Apatah lagi anak yang sudah meningkat remaja. Sudah faham erti maruah diri, membina identiti, memisahkan identiti diri daripada identiti ibu bapa, tiba-tiba marah kita memalukan dia di depan kawan-kawan, memusnahkan perkara induk yang si anak sedang bina. Ia langsung tidak mendidik malah hanya mencetuskan dendam. Janganlah buat anak remaja kita macam budak-budak. Jangan juga anak kita yang masih budak, dilayan seolah-olah dia sudah besar remaja.
“Bukanlah kuat dan tegas itu pada kuat pertarungan. Tetapi kuat dan tegas yang sebenar adalah pada keupayaan seseorang itu mengawal dirinya ketika marah”
Itu pesan Nabi, sallallahu alayhi wa sallam.
Hasrizal Abdul Jamil
Sumber: abah.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bagi Gajet Semata-Mata Nak ‘Up To Date’, Akhirnya Anak Langsung Tak Belajar Skil Sosial
“Kita kena beri anak gajet dari bayi supaya dia tak ketinggalan zaman”. Ini antara pendapat ibu bapa sekarang sebab takut anak ketinggalan peredaran zaman jika tak diberi gajet sejak bayi. Ada juga yang takut anak tak “up to date” dengan gajet terkini susulan kerja sekolah di sekolah rendah pun dah ada menggunakan komputer.
Menurut Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi, ibu ayah tak perlu terlalu risau. Zaman kita dulu pun tak ada gajet, komputer sendiri pun tak ada, alhamdulillah bila cukup masanya ok sahaja tak ada masalah untuk guna bila skil dah ada. Betul tak?
Otak anak, bila dikembangkan dengan baik dan dirangsang dengan baik. Nak belajar apa pun mudah, percayalah.
Jangan terlalu risau anak ketinggalan zaman bila tak beri atau tak ada gajet di awal usia tapi risaulah anak ketinggalan perkembangan. Saya nasihat macam ini sebab saya dah jumpa banyak sangat kes kelewatan perkembangan disebabkan pendedahan gajet terlalu awal. Dan pendapat diatas adalah antara yang paling popular penyebab mak ayah beri gadget sendiri kepada anak. Antara kes popular:
- Ada yang sejak bayi 2 bulan sudah diberi tab sendiri, purata 8 jam sehari dengan gajet.
- Ada juga yang tak ada pendedahan gajet langsung tetapi TV pula yang terlalu kerap, anak pula jenis “pandai” tengok TV sejak umur 3 bulan. Bila buka TV terus duduk tercongok di depan TV, tak ada interaksi, tak ada pergerakan dan tak ada memanjat sana sini. Bila umur 1 tahun, anak mula tak menyahut bila panggil baru mak ayah risau dan kurangkan TV.
- Ada juga yang hanya sekejap-sekejap, 15 minit, 15 minit sekali tengok, tetapi bila di tambah-tambah menjadikan purata 4 jam sehari dengan gadget menyebabkan anak dah tersalah konsep percakapan, abc,123, nursery ryhme hafal tetapi cakap “nak susu” tak reti walaupun sehari 8 kali minum susu.
Nampakkan? Yang peliknya, anak-anak terlewat perkembangan ini pandai “slide” handphone, pandai klik youtube dan buka channel kegemarannya malah ada yang pandai menyanyi dengan gajet atau TV. Mereka seperi dunia mereka sendiri tetapi bila masuk ke dunia sebenar mereka buntu.
1. Tak sedar siapa yang panggil.
2. Tak sedar hujan diluar.
3. Tak sedar mak ayah balik rumah.
4. Tak sedar ada kawan sebaya di sebelah meja makan.
5. Tak sedar sepupu-sepupu tengah main kejar-kejar.
6. Tak sedar ada bau durian di dapur.
7. Tak sedar rasa makanan manis masam masin.
8. Tak sedar suhu persekitaran sejuk atau panas.
9. Tak sedar ada lori, kereta, burung berterbangan di luar.
Tanda-tanda di atas inilah antara tanda-tanda yang saya namakan sebagai “buta persekitaran” iaitu tak sedar apa jadi di persekitaran mereka.
(Kecuali kes-kes lain tertentu seperti Autisme, ADHD dll)
Kalau anak-anak anda ada tanda-tanda ini di usia 1 tahun keatas dan ada pendedahan gajet atau TV terlalu lama, mohon mak ayah ambil tindakan awal sebelum isu lain timbul.
Tak ada gunanya kalau pandai “slide” handphone, pandai klik klik youtube, main game dalam handphone, tahu A-Z tentang teknologi terkini tapi bila tiba menulis cepat penat, bila tiba waktu makan minta mak suap sebab masih bersepah, bila tiba pakai baju berbutang kena minta orang lain butangkan, bila minta tolong ambilkan barang banyak alasan dan sebagainya.
Sebab apa? Asyik merangsang pergerakan jari telunjuk sahaja sehingga skil sebenar yang anak perlu belajar terabai.
Sebenarnya banyak sangat skil yang perlu anak belajar semasa bawah 3 tahun sebelum “skil main gadget”.
1.Skil motor halus.
2. Skil motor kasar.
3. Skil bahasa.
4. Skil sosial.
5. Skil urus diri.
Untuk merangsang skil-skil di atas, yang paling penting adalah anak WAJIB “Celik Persekitaran” kerana anak bawah 2 tahun belajar melalui sistem deria. Sistem deria pula dirangsang dengan persekitaran.
Latih, latih dan latih skil penting anak. Pastikan anak cukup umur baru beri “main gajet” atau TV. Itupun ada hadnya mengikut umur mengikut AAP (American Academy of Pediatrics):
Anak bawah 18 bulan:
Zero
Anak 18 bulan – 2 tahun:
30 minit SEHARI bukan sekali tengok ya, dan hanya rancangan berilmiah BERSAMA ibu bapa.
Anak 2 tahun – 5 tahun:
1 jam SEHARI dan hanya rancangan berilmiah.
Sumber: Maryam Jamadi
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI