Siapa yang tidak teringin ada zuriat sendiri. Walau berisiko tapi kalau sudah rezeki, lewat usia pun wanita boleh hamil lagi.

Selain dari itu golongan wanita trend sekarang ramai yang menukuhkan taraf pendidikan dan kerjaya terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Jadinya ramai yang cenderung dapat anak pada usia yang lewat. Mungkin juga dipengaruhi trend semasa kerana ramai yang menganggap umur 40 tahun adalah usia 30 yang baru pada alaf ini.

Namun persoalannya, adakah wanita di usia 40-an boleh hamil?

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, kehamilan yang dirancang di kalangan wanita berusia 40 tahun lebih banyak berbanding sebelum ini.

Sebagai contoh, di U.S .; kadar kelahiran di kalangan wanita berumur 40 hingga 44 meningkat dari 10.2 hingga 10.3 setiap 1,000 kelahiran pada tahun 2011.

Bagi Malaysia, data daripada Jabatan Perangkaan mendedahkan bahawa pada tahun 2016, wanita berusia 30 hingga 34 tahun mencatatkan kadar kesuburan tertinggi pada 2016 dengan 120 kelahiran bagi setiap 1,000 wanita dalam kumpulan umur yang sama.

Wanita Usia 46 Tahun Hamil Guna Kaedah IVF  

Seorang ibu berusia 46 tahun yang telah mencuba kaedah rawatan hamil secara In Vitro Fertilization (IVF) membuktikan usahanya untuk mendapatkan anak tanpa jemu akhirnya membuahkan hasil.

Pada 30 Mei 2013, Pn S Wu dari UK melawat MetroIVF mendapatkan khidmat nasihat Dr Tee Swi Peng untuk mempunyai bayi sendiri dengan menggunakan telurnya sendiri.

Ketika itu, beliau berusia 46 tahun dan doktor kesuburannya di Hospital Lister, London mengatakan bahawa peluang beliau adalah terlalu tipis untuk merawat beliau secara kaedah IVF konvensional kerana faktor usia beliau.

Beliau berkunjung  ke Malaysia untuk mendapatkan konsultasi di beberapa pusat kesuburan dan akhirnya memilih untuk menjalani rawatan kesuburannya di MetroIVF.

Rahim dan hormonnya adalah normal. Beliau dimaklumkan kebarangkalian untuk kegagalan kitaran IVF adalah tinggi kerana tiada wanita yang pernah hamil menerusi keadah itu di dunia (empat bulan kemudian pada September 2013 di Orlando USA, ibu yang berusia 46 tahun yang pertama melahirkan anak lelaki dengan kaedah bayi IVF)

Pada 6 Disember 2013, Pn S Wu kembali ke MetroIVF dan menegaskan bahawa beliau ingin meneruskan hasrat mempunyai anak melalui rawatan IVF meskipun tahu bahawa peluang kejayaan adalah  sangat rendah.

Beliau telah memulakan rawatan pada bulan yang sama. Daripada empat telur yang berjaya dipungut, dua telur yang matang digunakan untuk persenyawaan dengan ICSI.

Hanya satu daripada telur berjaya menghasilkan satu embrio yang berjaya dipindahkan dengan selamat.

14 hari sudahpun berlalu tetapi tidak ada berita daripadanya. Selepas 17 hari, kami menerima e-mel daripada Pn. S bahawa dia sudahpun hamil.

Pasukan MetroIVF sangat gembira dengan berita ini. Beliau menjadi antara ibu IVF yang tertua menggunakan telurnya sendiri di Malaysia.

Beliau tidak pernah gagal untuk memaklumkan status terkini kepada MetroIVF sepanjang proses kehamilan.

Pada 9 September 2014, beliau akhirnya kembali ke Malaysia untuk melahirkan seorang bayi perempuan di Pusat Perubatan Timberland, Kuching, Sarawak pada usia 47 tahun.

Beliau merupakan wanita yang tabah dan berani mengharungi cabaran demi mendapatkan seorang zuriat.

Beliau bukan sahaja mendapat cahaya mata yang impikan tetapi turut mencipta sejarah sebagai wanita paling berusia hamil di usia 46 tahun di Malaysia.

Apakah Masih Ada Peluang Untuk Hamil?

Wanita yang berusia di bawah 35 tahun dan sedang cuba unutk mendapat zuriat selama 12 bulan perlu mendapatkan khidmat nasihat seorang pakar.

Bagi wanita yang berusia lebih daripada 35 tahun pula, perlu dapatkan rawatan lebih awal iaitu setelah 6 bulan mencuba.

Sebenarnya kedua-dua pasangan lelaki dan wanita perlu berjumpa dengan doktor kesuburan untuk mendapatkan khidmat nasihat serta rawatan yang bersesuaian.

Usia Dan Kesuburan

Tiga asas utama mengenai kesuburan bagi wanita adalah seperti berikut:

  • Telur
  • Saluran fallopian
  • Rahim

Telur

Seorang wanita mempunyai lebih kurang 200,000 telur ketika akil baligh. Setiap kitaran haid bilangan telur ini akan berkurang.

Semakin meningkat usia maka bilangan telur semakin berkurangan baik dari segi kuantiti dan kualiti.

Selain daripada itu, risiko wanita untuk mendapat penyakit seperti fibroid, endometriosis, jangkitan kuman (HPV) juga turut meningkat dengan peningkatan usia.

Saluran fallopian

Tiub falopian memainkan peranan utama sebagai tempat berlakunya persenyawaan. Tiub ini boleh tersumbat disebabkan oleh beberapa faktor seperti jangkitan kuman, penyakit radang pelvis dan sebagainya.

Ini boleh mengakibatkan ketidaksuburan di kalangan wanita. Selain itu masalah ini juga meningkatkan persenyawaan di luar rahim (ectopic pregnancy).

Gambarajah di bawah menunjukkan bahawa peluang kehamilan turun selepas wanita berumur 35 tahun. Apabila umur meningkat lebih dari 40 tahun, peluang kehamilan jatuh secara drastic ke 1% pada umur 45 tahun.

Lelaki juga turut tidak terkecuali kerana usia dalam 40an, kuantiti dan kualiti sperma turut menurun. Kedua-dua pasangan memikul tanggungjawab bersama dalam berusaha untuk mendapatkan zuriat.

Risiko Mengandung Lewat Usia

  • Kemungkinan mengalami keguguran

Umur 30 tahun – potensi untuk gugur ialah 30%

Umur 40 tahun ke atas – potensi peratus keguguran 40%

  • Mendapat bayi yang kurang sihat
  • Menghidap darah tinggi dan kencing manis

Pemakanan Yang Disarankan

Makanan seimbang penting kerana memberikan nutrien yang diperlukan untuk membina bahan dan menjaga kesihatan.

Jenis makanan yang dicadangkan adalah sayuran kekacang, ikan, dan telur putih yang mengandungi protein yang tinggi.

Makanan yang mengandungi karbohidrat yang tinggi, gula dan makanan berminyak/ goreng perlu dikurangkan.

Jika pasangan mempunyai masalah kesuburan, perubahan gaya hidup boleh membantu terutamanya dari segi mengawal berat badan.

Pengambilan makanan tambahan (supplement)

Terdapat banyak kajian yang dijalankan dan salah satunya penekanan pengambilan asid folik untuk ibu seawal  3 bulan sebelum kehamilan (American Journal of O & G, 2006)

Vitamin ini membantu perkembangan otak dan mengelakkan spina bifida dan lain-lain kecacatan tiub neural pada bayi.

Wanita mengandung dinasihatkan untuk mengambil 400mcg * asid folik setiap hari (sebagai tambahan) sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum hamil.

Pengambilan makanan yang kaya dengan asid folik juga perlu digalakkan (contoh kekacang, sayur-sayuran, bijirin sarapan diperkuat dengan asid folik).

Wanita berusia selalunya lebih matang dalam menangani simptom-simptom kehamilan, lebih berdikari dan yakin dengan apa yang mereka mahu serta bersedia dari segi mental untuk bergelar ibu.

Oleh itu, wanita yang telah lewat usia namun belum peroleh zuriat, jangan mudah berputus asa. Berusaha untuk mendapatkan rawatan daripada pakar kesuburan serta berdoa agar usaha yang dilakukan membuahkan hasil seperti yang diimpikan.

Sumber: Metro IVF

 

Tinggalkan Komen