1.95 juta graduan berpendidikan tinggi, ramai kerja tak setara kelayakan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran meningkat 1.4 peratus kepada 1.95 juta orang pada suku ketiga 2024 berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
1.95 Juta Graduan Berpendidikan Tinggi
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata perangkaan itu menggambarkan bahawa lebih satu pertiga penduduk bekerja berpendidikan tertiari tetapi bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir atau berkemahiran rendah.
Walau bagaimanapun, beliau berkata momentum pasaran buruh Malaysia secara keseluruhan bertambah baik pada suku ketiga berikutan peningkatan berterusan permintaan dan penawaran.
Katanya, keadaan ini selari dengan jangkaan perkembangan ekonomi untuk mencapai pertumbuhan 4.8 peratus hingga 5.3 peratus pada 2024.
“Prestasi ini disokong oleh aktiviti pelaburan yang teguh, permintaan domestik yang berdaya tahan dan pemulihan dalam eksport barangan dan perkhidmatan.
“Pelaksanaan inisiatif seperti sistem imbuhan perkhidmatan awam baharu dan model gaji progresif juga dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ramai Kerja Tak Setara Kelayakan
Kadar penyertaan tenaga buruh mencapai 70.5 peratus pada suku ketiga 2024, berbanding 70.1 peratus pada suku sama 2023.
Bilangan tenaga buruh meningkat sebanyak 2.6 peratus kepada 17.26 juta orang, dengan peningkatan 2.9 peratus penduduk bekerja kepada 16.72 juta orang.
Sementara itu, kadar pengangguran yang lebih rendah dicatatkan iaitu 3.2 peratus, turun daripada 3.3 peratus yang direkodkan dalam tiga suku berturut-turut sebelumnya.
Mohd Uzir berkata, permintaan buruh di Malaysia mencecah paras tertinggi sejak 2018, dengan mencatatkan 9.01 juta jawatan dalam sektor swasta dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 1.2 peratus.
Daripada jumlah ini, katanya 97.9 peratus (8.82 juta jawatan) adalah jawatan disi, manakala 2.1 peratus (191,800) adalah kekosongan jawatan, terutamanya dalam sektor pembuatan yang menyumbang 56.9 peratus (109,100) daripada jumlah kekosongan.
Walau bagaimanapun, katanya bilangan jawatan yang diwujudkan menurun sedikit sebanyak 0.6 peratus tahun ke tahun, merekodkan 31,800 jawatan pada suku ketiga 2024.
“Pasaran buruh Malaysia terus berkembang pada suku ketiga 2024 apabila kedua-dua penawaran buruh dan permintaan buruh bertambah baik, mencerminkan prestasi ekonomi negara yang kukuh disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pengembangan berterusan dalam eksport negara.
“Penambahbaikan dalam aktiviti perniagaan ini dijangka menarik lebih banyak pelaburan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus meningkatkan peluang pendapatan.
“Seterusnya, pasaran buruh dijangka mengekalkan trajektori pertumbuhan yang stabil pada suku akan datang,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Baca artikel lain juga: Anugerah Diraja PTSS, Hadiah Istimewa Lok Mee Wan, Anak Pengawal Keselamatan Buat Keluarga
POV Terima Scroll Graduasi Sentuh Hati Penonton
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI