Membekukan makanan bayi adalah tip mudah yang boleh menjimatkan masa ibu dalam menyediakan makanan untuk si manja.
Semua ibu ingin menyediakan sendiri makanan untuk bayi mereka. Jika boleh ibu mahu memberikan makanan yang dimasak sendiri berbanding makanan bayi segera.
Bagi ibu yang bergelar suri rumah tentu sahaja ia tidak menjadi masalah tetapi bagi ibu yang bekerja, kadangkala kekangan masa membataskan ibu untuk menyediakan makanan bayi setiap hari.
Jangan risau tentang hal tersebut, ada penyelesaiannya di mana ibu tetap boleh menyediakan makanan bayi setiap hari dan dalam masa yang sama boleh menjimatkan masa. Bagaimana?
Pernahkah anda terfikir untuk menyimpan stok makanan bayi seperti mana membekukan stok susu ibu perahan dalam peti sejuk? Bolehkah?
Tahukah anda, kita sebenarnya boleh menyejukbekukan makanan bayi sebagai stok yang boleh menjimatkan masa penyediaan. Tetapi sebelum membuat stok makanan bayi sejuk beku anda perlu tahu beberapa perkara penting.
Ini kerana perut bayi lebih sensitif berbanding orang dewasa, jadi kita perlu mementingkan kebersihan ketika menyediakan makanan bayi.
1. Apa jenis makanan boleh beku?
Ketahui jenis makanan yang boleh dibekukan. Antara buah-buahan yang boleh dibekukan adalah epal, pir, pisang, sayur-sayuran pula seperti brokoli, kacang peas, kentang, labu dan sebagainya lagi.
2. Penyimpanan
Biarkan dahulu makanan yang sudah dimasak itu sejuk, kemudian masukkan dalam bekas-bekas kecil yang berpenutup atau bekas khas untuk membekukan makanan bayi.
Jika menggunakan bekas ais batu, setelah makanan membeku, alihkan ia ke dalam freezer bags dan simpan kembali ke dalam peti ais bahagian sejuk beku. Jangan lupa keluarkan udara yang ada di dalam plastik tersebut sebelum ia dimeterai.
3. Proses membekukan makanan
Simpan puri makanan yang hendak dibekukan ke dalam bekas ais yang mempunyai tutup supaya tiada bakteria masuk ke dalamnya.
4. Pentingnya label
Labelkan tarikh makanan disediakan pada makanan beku bayi. Kaedah sejuk beku ini dapat bertahan sehingga empat ke enam bulan tetapi untuk makanan bahan berprotein seperti ayam, ikan dan daging ia hanya bertahan sehingga dua bulan. Bagaimanapun seeloknya habiskan dalam masa kurang sebulan.
5. Had masa
Makanan bayi yang belum dibekukan hanya boleh berada di dalam peti sejuk (bukan tempat dingin beku) maksimum selama 48 jam sahaja.
6. Tak lebih 2 jam
Sekiranya mahu sejukkan makanan bayi sebelum dikisar menjadi puri, pastikan tidak melebihi dua jam dalam suhu bilik kerana bimbang akan membiakkan bakteria ke dalam makanan.
7. Jangan beku semula
Jangan bekukan semula makanan yang sememangnya sudah beku. Ia dikecualikan bagi makanan mentah beku yang boleh dibekukan apabila sudah dimasak. Contohnya kacang pis beku yang sudah dimasak boleh dibekukan.
8. Panaskan tak lebih sekali
Jangan panaskan makanan lebih daripada sekali.
9. Cara memanaskan makanan beku
Untuk menghidangkan semula makanan yang disejuk beku, anda hanya perlu merendamnya ke dalam air suam atau air biasa atau biarkan sahaja berada pada suhu bilik selama beberapa ketika.
10. Tak habis, buang sahaja!
Jangan simpan semula sisa makanan beku yang sudah dipanaskan tetapi tidak habis dimakan oleh bayi anda.
Mudah bukan? Jika anda mengikut dengan betul langkah untuk membekukan makanan bayi, sudah tentu anda dapat menjimatkan masa menyediakan makanan sihat si manja. Paling penting anak tersayang dapat makan makanan berkhasiat air tangan ibu sendiri.