10 Minit Sebelum Anak Tidur Luanglah Masa Peluk Dan Cium Anak. Barulah Anak Makin Rapat

Share

Kadang kala semakin anak membesar, kita sebagai ibu dan ayah terlupa memberikannya belaian dan peluk cium yang sama seperti ketika mereka masih bayi. Hakikatnya anak-anak sentiasa memerlukan rangsangan tersebut untuk membesar sebagai anak yang positif.

Ciptalah sebuah ikatan kekeluargaan yang utuh dengan melakukan aktiviti yang ringkas dan menyeronokkan bersama anak-anak. Ikatan kuat yang terbina antara ibu dan ayah dengan anak sejak kecil akan terus berkekalan sampai bila-bila.

  1. Bergolek seketika atas katil

Aktiviti mudah yang boleh dilakukan bersama si kecil sebaik dia bangun dari tidur. Peruntukan beberapa minit untuk bergurau senda bersama. Walaupun nampak mudah tetapi ia meninggalkan kesan positif. Si kecil akan memulakan harinya dengan perasaan gembira selepas menghabiskan masa bersama ibu dan ayah.

  1. Bantu ibu & ayah

Walaupun anak anda masih kecil tetapi boleh libatkan diri mereka dalam aktiviti harian di rumah. Contohnya sekiranya sedang memasak di dapur, anda boleh minta bantuan mereka membuat kerja-kerja yang ringan. Sekiranya anak masih usia bayi, bawa sekali ke dapur dan bagi mereka main mangkuk dan sudu plastik supaya gembira dapat sentiasa disamping ibu.

  1. Tonton bersama

Walaupun anda tidak minat rancangan kartun kegemaran anak tetapi cuba tonton bersama mereka. Di samping itu tanyalah soalan tentang rancangan kegemarannya. Pasti dia rasa dihargai apabila boleh berkongsi cerita dengan ibu dan ayah.

  1. Beriadah sekeluarga

Lakukan aktiviti petang bersama, pasti lebih menyeronokkan di samping mendidik anak rajin bersenam untuk kesihatan tubuh badan.

  1. Masa untuk tidur

Sebelum tidur, luangkan masa  sekurang-kurangnya 10 minit bersama si kecil. Boleh berbual tentang apa yang paling seronok dilakukan pada hari itu, sesi bercerita sebelum tidur dan jangan lupa membaca doa sebelum tidur sebelum diakhiri dengan pelukan dan ciuman selamat malam.

6. Jangan lupa sentuhan

Sentuhlah anak dengan memeluk atau menciumnya. Bisikkan kata-kata positif dan pujian yang dapat memberikan dia semangat positif. Sentuhan dari ibu dan ayah merangsang aura positif dalam diri anak. Sudah tentu ia membantu pertumbuhan dan perkembangan minda yang cerdas.

7. Berdoalah

Ketika memeluk anak, ibu dan ayah mestilah mendoakan yang baik-baik untuk anak. Mudah-mudahan muncul kasih sayang dan ketenangan dalam hubungan antara anak dengan ibu dan ayah.

Published by
Wan Amy