Rasa seronok bila dengar kawan kita dapat baby. Tetapi sebelum anda melawat ibu berpantang dan bayi baru lahir, ketahui apa perkara yang ‘jangan’ dibuat waktu melawat.
“Jom pegi tengok Aisya baru bersalin. Tak sabar nak tengok baby dia,” ajak Wani kepada teman-teman ofis.
Sekarang banyak sangat kes yang kita baca tentang keadaan bayi baru lahir yang mudah dijangkiti kuman sehingga ada yang hampir maut.
Apabila diperiksa dan disiasat, doktor mendapati bayi tersebut dijangkiti kuman daripada orang yang melawatnya dalam keadaan tidak sihat.
Jadi, kalau ada yang rancang hendak melawat bayi baru lahir, pastikan pantang larang berikut anda patuhi. Takkan pula kawan anda yang baru bersalin hendak menegur, nanti dikata biadap dan tidak sopan pula.
1. Sebelum datang bagitahu dulu
Janganlah anda main redah sahaja datang ke rumah orang baru bersalin. Maklum sahaja keadaan ibu baru bersalin yang masih belum kuat dan agak kelam kabut menguruskan bayi baru lahir.
Tiba-tiba ada kawan yang datang tanpa memberitahu tentu sahaja dia tidak bersedia. Sekurang-kurannya bila anda memberitahu untuk datang, dapatlah dia memberitahu bila hari dan waktu yang sesuai. Takut nanti kalau main redah sahaja, tiba-tiba kawan anda tiada di rumah kerana pergi ke klinik atau hospital.
2. Pilih waktu melawat yang sesuai
Sebaiknya pilihlah waktu yang bersesuaian untuk melawat ibu berpantang. Jangan pula anda datang waktu pagi sangat sebab biasanya waktu ini ibu dan bayi agak sibuk menguruskan diri mereka.
Ads
Jangan juga datang waktu petang dan hampir senja. Ibu berpantang kena makan dan mandi awal sebelum waktu maghrib. Bahkan elakkan sama sekali daripada datang melawat pada waktu malam. Orang tua-tua sangat pantang datang melawat ibu bersalin pada waktu malam. Lagipun waktu malam ibu dan bayi nak berehat dan tidur.
3. Yang tak sihat tak perlu datang
Sebelum datang melawat bayi baru lahir, periksa dulu keadaan kesihatan anda. Kalau ada selesema, batuk walaupun sikit-sikit lebih baik anda tak payah datang melawat. Anda hanya akan menyebarkan virus tersebut kepada bayi yang masih tidak kuat lagi sistem imun badannya. Tunggu anda sihat baru datang melawat.
4. Jangan melawat terlalu awal
Janganlah disebabkan terlalu excited hendak melawat kawan yang baru bersalin maka anda datang sehari selepas dia baru keluar dari hospital. Bagilah ibu bersalin masa untuk menyesuaikan diri dahulu. Selain itu ibu lepas bersalin juga masih lemah dan tidak kuat lagi untuk menerima tetamu.
5. Jaga mulut
Ads
Biasanya kalau sudah datang beramai-ramai, macam-macam yang akan keluar daripada mulut masing-masing. Jagalah apa yang hendak dituturkan. Anda perlu menjaga hati ibu baru bersalin yang agak sensitif.
Contohnya, “Eh, kenapa kecik sangat anak kau ni. Tak kuat nyusu ke?” atau “Kenapa tak pakai bengkung betul-betul, patutlah tak kurus-kurus lagi.” Ia hanya akan menyakitkan hati ibu berpantang dan membuatkan dia bertambah stres.
6. Minta kebenaran untuk dukung bayi
Ada yang jenis suka hati sahaja mendukung bayi baru lahir yang dikunjungi. Bukan tak boleh tapi sebaiknya minta kebenaran daripada ibunya. Mana tahu, bayi tersebut meragam waktu malam dan baru hendak tidur, tiba-tiba kita yang datang mengganggu pula tidurnya.
7. Bawa buah tangan
Adab melawat orang sakit atau baru bersalin, sebaiknya bawalah sedikit buah tangan untuk mereka. Memanglah ibu bersalin tersebut tak meminta tapi apa salahnya bersedekah. Kalau tak sempat beli hadiah untuk bayi, boleh juga sedekahkan duit sahaja.
Ads
8. Jangan cium bayi
Siapa yang tak geram tengok bayi yang comel dan kecil. Tentu sahaja automatik rasa nak menggomol dan cium bayi puas-puas. Awas, tahan perasaan geram anda itu! Ingat, yang kita mungkin boleh menyebarkan bakteria kepada si kecil. Kalau tak tahan juga nak cium, sekali dan sekejap sahaja cukuplah.
9. Cuci tangan
Sebelum menyentuh atau mencuit pipi bayi yang gebu, elok anda bersihkan dahulu tangan dengan sabun antiseptik. Kadang kala tanpa kita sedar, tangan menjadi agen penyebar kuman. Tak pasal-pasal bayi yang bersih dan suci itu terkena kuman tanpa sengaja.
10. Tak payah memandai-mandai
Mungkin anda sudah berpengalaman mempunyai beberapa orang anak. Jadi, kalau datang melawat kawan yang baru pertama kali bergelar ibu, tak perlulah memberikan bermacam pantang-larang atau tip kecuali diminta. Mungkin setiap orang ada cara masing-masing yang tidak sama. Jadi jangan banding-bandingkan cara berpantang anda dengan kawan yang baru bersalin.
11. Jangan lama sangat
Dalam seronok bersembang dan melihat bayi baru lahir, jangan lupa yang ibu berpantang perlu rehat kerana mereka masih lemah dan belum sihat sepenuhnya. Tak perlulah anda duduk terlalu lama sehingga ibu berpantang sukar untuk berehat dan bayi pula sampai terbangun tidur kerana terlalu bising.
Semoga kita tak menjadi ejen penyebar kuman dan virus yang boleh memberi risiko buruk kepada kesihatan bayi yang baru lahir.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Muka yang comel, badan bersemangat pasti ramai yang geram dengan Muhammad Zayne Tyler atau lebih mesra dipanggil Zayne. Permata hati Mat Dan dan isterinya ini sentiasa menjadi perhatian peminat ayahnya tiap kali di bawa keluar.
Bukan setakat kulit yang cerah dan gebu tetapi tengok badannya pun ramai yang tertanya-tanya apa yang Zayne makan.
Berkongsi pengalaman itu, Mat Dan berkata makanan kegemaran Zayne hingga sekarang adalah suka makan roti.
Waktu pertama kali Zayne mula belajar makan, benda pertama yang saya berikan padanya adalah lobak merah yang dijadikan puri. Alhamdulillah Zayne suka. Kemudian saya cuba pula kisar betik dan pisang dan ternyata betik jadi pilihan Zayne. Dia cukup suka makan betik.
“Kini bila dah sebulan setengah makan makanan pejal, Zayne juga turut diberikan kosong. Mulanya dia kurang selera tapi bila saya berikan dia bersama sup ayam dan kadangkala saya kisar dengan ikan, saya nampak dia mula suka.
“Bukan bubur sahaja, saya selang selikan buah-buahan sebagai snek untuk Zayne. Zayne juga suka makan roti, sama seperti ayahnya,” kongsinya.
Mat Dan jelaskan, minat Zayne dengan roti ini mungkin juga ikut seleranya. Saya memang jenis yang suka makan roti.
“Kalau dia menangis pun, jika umpan dengan roti Zayne boleh diam,” ceritanya lagi yang berharap Zayne dapat minum susu ibu sepenuhnya.
Setakat ini pun, antibodi Zayne juga kuat. Setakat ini baru sekali je dia selesema tu pun kerana perubahan cuaca ketika pulang dari melawat atok dan neneknya di luar negara.
Nak tahu lanjut apa kisah menarik lagi mengenai hero Mat Dan ini boleh dapatkan majalah isu Februari sekarang di pasaran dengan tema kali ini Edisi Selera Si Manja.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bayi suka mengempeng atau melekap pada payu dara biarpun sudah selesai menyusu adalah antara cabaran bagi ibu yang menyusu. Apabila dilepaskan puting payu dara daripada mulutnya, dia akan menangis biar pun sudah yakin dia sudah pun lena. Apa yang patut dilakukan agar ia tidak menjadi tabiat buruk kerana keadaan ini menyukarkan ibu untuk bergerak setiap kali sesi penyusuan berlangsung?
4 SEBAB KENAPA IA BERLAKU?
Menurut pakar laktasi, Rita Rahayu Umar, keadaan ini berlaku bergantung pada usia anak. Kadang kala ia adalah biasa bagi bayi yang berusia beberapa bulan memerlukan keselesaan daripada ibunya dan payu dara. Berikut adalah antara sebab terjadinya hal ini;
a)Selama sembilan bulan dia menjadi sebahagian daripada anda dan kini baru beberapa minggu atau bulan menyesuaikan diri dengan keadaan di sekelilingnya.
b)Dia memerlukan momen penyusuan intim bagi mengenang perasaan selesa yang pernah dilaluinya bersama anda.
c)Sesetengah bayi memerlukan lebih keselesaan sewaktu menyusu berbanding yang lainnya. Ini kerana mungkin perasaannya lebih sensitif. Tiada salahnya jika bayi hanya boleh tidur lena jika menyusu terlebih dahulu.
d)Kajian menunjukkan anak yang mendapat keselesaan apabila dia menangis, cenderung untuk menjadi insan yang lebih berkeyakinan diri dan berdikari. Asasnya, jika anda memberi keselesaan kepadanya sekarang, dia akan kurang memerlukannya di masa akan datang.
GUNAKAN PENGGENDONG BAYI
Adalah tidak biasa jika bayi terus mahu menyusu ketika sedang tidur. Untuk itu, ada beberapa perkara yang boleh anda cuba lakukan bagi mengatasi hal ini. Bergantung kepada berapa usia anak, anda mungkin boleh biarkan dia terus menyusu sambil tidur tetapi pastikan dia diletakkan di dalam sling (penggendong). Jadi, anda boleh bangun dan lakukan pekerjaan lain ketika dia tidur.
PERHATIKAN CORAK TIDUR SEBELUM MELETAKKAN KE DALAM PENGGENDONG
Walau bagaimanapun, pastikan bayi benar-benar lena dan tidak lagi menghisap puting sebelum anda cuba mempraktikkan panduan ini. Untuk itu, anda mungkin perlu menunggu untuk beberapa ketika.
Bayi akan melakukan aksi hisapan untuk mendapatkan keselesaan (flutter atau comfort sucking) iaitu hisapan yang lembut dan perlahan-lahan. Apabila bayi baru sahaja tidur, anda dapat lihat dia mengerut mukanya, sebahagian tangan digenggam, bayi menegangkan otot badan serta muka dan kelopak matanya bergerak-gerak.
CABUT BILA SUDAH TIDUR NYENYAK
Apabila sudah nyenyak tidur pula, anda dapat mengenal pasti dengan melihat corak pernafasannya adalah biasa, kelopak mata tidak bergerak dan anggota tubuhnya lemah; tangan terkulai, tiada lagi genggaman tangan serta ototnya lebih relaks. Oleh yang demikian, apabila bayi mula tidur nyenyak, cuba tarik puting dan jauhkan diri daripadanya secara perlahan-lahan.
GUNAKAN KELINGKING
Satu perkara yang kadang kala membantu ialah sisipkan jari kelingking di dalam mulut bayi apabila dia sudah tidur. Jadi, anda boleh keluarkan puting payu dara dari mulutnya dan biarkan bayi menghisap jari anda itu. Lama-kelamaan, barulah anda boleh mengeluarkan jari daripada mulutnya. Cara ini membantu dengan memberi sedikit tekanan pada bahagian bawah bibir bayi apabila anda melakukannya. Dengan melaksanakan panduan ini, anda boleh mengelakkan bayi daripada terjaga daripada tidur.
OBJEK YANG MEMPUNYAI BAU BADAN IBU
Meletakkan sesuatu benda betul-betul di sebelahnya yang mempunyai bau badan ibu seperti baju T atau bantal juga dapat membantu.
Ketahuilah, menyusu bukan sekadar membekalkan bayi dengan khasiat yang diperlukannya. Lebih daripada itu, payu dara anda berupaya memberikan keselesaan dan rasa selamat kepada bayi. Masa yang diperuntukkan untuk menyusu bayi adalah sangat singkat tetapi memori kasih sayang yang anda curahkan melalui penyusuan susu ibu akan berkekalan seumur hidupnya. Percayalah, bayi anda dengan sendirinya akan tidur tanpa perlu menyusu pada masa akan datang. Jadi, nikmati momen ini selagi ada.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setiap kali hamil atau pertama kali hamil, perkara yang paling mengujakan bakal ibu bapa ialah mengenai pakaian bayi. Dengan pelbagai rekaan dan jenama yang memenuhi pasaran, anda tentu terfikir betapa susahnya hendak membuat pilihan.
Ingat, jenama yang popular tidak semestinya lebih berkualiti daripada produk yang kurang terkenal. Paling penting anda tahu bagaimana menilai kualiti iaitu jenis kain – mesti kain kapas 100%; kemasan – pastikan jahitan dan potongannya kemas; dan rekaan – pastikan rekaannya sesuai dengan iklim Khatulistiwa iaitu nipis dan longgar.
Kain kapas
Pakaian untuk bayi baru lahir sebaiknya diperbuat daripada 100% kain kapas (cotton). Bacalah label di tengkuk baju atau di mana-mana ia disisipkan. Jika sudah tidak ada pilihan, barulah pilih pakaian yang mempunyai campuran poliester. Bagaimanapun, belilah yang nipis atau sedikit jarang untuk membolehkan peredaran udara pada kulit bayi.
Mengapakah pakaian bayi perlu senipis mungkin? Untuk makluman anda, lapisan kulit luar (epidermis) bayi adalah 20 hingga 30% lebih nipis berbanding orang dewasa. Ia hanya akan sempurna apabila berusia setahun. Pakaian yang tebal atau bukan kain kapas akan menyebabkan peluh berkuap dan membasahkan kulit serta pakaian. Apabila keadaan ini berlarutan, kulit bayi akan mengalami ruam atau gatal. Lebih teruk jika berlaku geseran hingga melecet.
Kemasan
Periksa kemasan pada jahitan. Pastikan tidak ada gumpalan benang atau benang yang keras (nilon). Potongannya juga perlu sesuai misalnya leher yang luas dan pinggang seluar yang lebih memberi (getah lebih panjang atau elastik).
Ada dua sebab, anda perlu fikirkan hal ini iaitu kerana sesetengah pengeluar cuba mengurangkan kain dengan membuat pinggang seluar atau cawat seluar yang lebih kecil. Manakala sebab kedua ialah mungkin perut bayi lebih buncit dan pahanya lebih besar berbanding bayi biasa. Jika ini berlaku, anda perlu bijak memadankan saiz. Misalnya pilih saiz M untuk baju dan L untuk seluar.
Paling penting pastikan anda memilih sekurang-kurangnya satu saiz lebih besar berbanding saiz sebenar bayi. Pakaian yang longgar akan memberikan keselesaan untuk bayi. Lebih-lebih lagi bayi akan cepat membesar. Jadi, pakaiannya boleh digunakan lebih lama.
Rekaan
Pakaian sepasang (two pieces) adalah yang terbaik untuk iklim Malaysia kerana ia boleh dipakai secara berasingan. Ramai ibu yang hanya memakaikan bayi baju dan lampin sahaja pada waktu siang. Maka, sudah menjadi kebiasaan ibu di Malaysia membeli baju lebih banyak berbanding seluar. Bayi akan rasa sangat selesa berbanding jika memakai pakaian penuh seperti romper berlengan dan berkaki panjang.
Romper penuh hingga ke kaki sebenarnya hanya sesuai untuk iklim sejuk atau menggunakan sistem penghawa dingin setiap masa. Jika anda teringin melihat anak memakai romper, belilah sehelai dua.
Jangan memilih pakaian yang berbutang besar atau ada hiasan timbul seperti manik dan sebagainya. Bayi mungkin akan terasa sakit atau terluka ketika anda cuba menyarung atau membukanya.
Elakkan pakaian tebal dan berbulu walau pun ia nampak comel dan anak anda kelihatan seperti biri-biri di padang ragut. Bayi akan cepat berpeluh dan menyebabkan gatal-gatal pada tubuhnya.
DPAM, jenama pakaian untuk bayi yang baru lahir hingga kanak-kanak berusia 12 tahun kini sedang menawarkan sale. Klik siniuntuk dapatkan pakaian kanak-kanak dengan harga istimewa di DPAM!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selepas insiden membawa dua lelaki ke dalam rumah, kali ini pempengaruh doctor selebriti, Dr Say diuji sekali lagi bila mana pembantu rumahnya mengasari anak ketiganya yang baru berusia 10 bulan.