Rasa seronok bila dengar kawan kita dapat baby. Tetapi sebelum anda melawat ibu berpantang dan bayi baru lahir, ketahui apa perkara yang ‘jangan’ dibuat waktu melawat.

“Jom pegi tengok Aisya baru bersalin. Tak sabar nak tengok baby dia,” ajak Wani kepada teman-teman ofis.

Sekarang banyak sangat kes yang kita baca tentang keadaan bayi baru lahir yang mudah dijangkiti kuman sehingga ada yang hampir maut.

Apabila diperiksa dan disiasat, doktor mendapati bayi tersebut dijangkiti kuman daripada orang yang melawatnya dalam keadaan tidak sihat.

Jadi, kalau ada yang rancang hendak melawat bayi baru lahir, pastikan pantang larang berikut anda patuhi. Takkan pula kawan anda yang baru bersalin hendak menegur, nanti dikata biadap dan tidak sopan pula.

1. Sebelum datang bagitahu dulu

Janganlah anda main redah sahaja datang ke rumah orang baru bersalin. Maklum sahaja keadaan ibu baru bersalin yang masih belum kuat dan agak kelam kabut menguruskan bayi baru lahir.

Tiba-tiba ada kawan yang datang tanpa memberitahu tentu sahaja dia tidak bersedia. Sekurang-kurannya bila anda memberitahu untuk datang, dapatlah dia memberitahu bila hari dan waktu yang sesuai. Takut nanti kalau main redah sahaja, tiba-tiba kawan anda tiada di rumah kerana pergi ke klinik atau hospital.

2. Pilih waktu melawat yang sesuai

Sebaiknya pilihlah waktu yang bersesuaian untuk melawat ibu berpantang. Jangan pula anda datang waktu pagi sangat sebab biasanya waktu ini ibu dan bayi agak sibuk menguruskan diri mereka.

IKLAN

Jangan juga datang waktu petang dan hampir senja. Ibu berpantang kena makan dan mandi awal sebelum waktu maghrib. Bahkan elakkan sama sekali daripada datang melawat pada waktu malam. Orang tua-tua sangat pantang datang melawat ibu bersalin pada waktu malam. Lagipun waktu malam ibu dan bayi nak berehat dan tidur.

11 Perkara Jangan Buat Kalau Pergi Melawat Ibu Berpantang Dan Bayi Baru Lahir

3. Yang tak sihat tak perlu datang

Sebelum datang melawat bayi baru lahir, periksa dulu keadaan kesihatan anda. Kalau ada selesema, batuk walaupun sikit-sikit lebih baik anda tak payah datang melawat. Anda hanya akan menyebarkan virus tersebut kepada bayi yang masih tidak kuat lagi sistem imun badannya. Tunggu anda sihat baru datang melawat.

4. Jangan melawat terlalu awal

Janganlah disebabkan terlalu excited hendak melawat kawan yang baru bersalin maka anda datang sehari selepas dia baru keluar dari hospital. Bagilah ibu bersalin masa untuk menyesuaikan diri dahulu. Selain itu ibu lepas bersalin juga masih lemah dan tidak kuat lagi untuk menerima tetamu.

5. Jaga mulut

IKLAN

Biasanya kalau sudah datang beramai-ramai, macam-macam yang akan keluar daripada mulut masing-masing. Jagalah apa yang hendak dituturkan. Anda perlu menjaga hati ibu baru bersalin yang agak sensitif.

Contohnya, “Eh, kenapa kecik sangat anak kau ni. Tak kuat nyusu ke?” atau “Kenapa tak pakai bengkung betul-betul, patutlah tak kurus-kurus lagi.” Ia hanya akan menyakitkan hati ibu berpantang dan membuatkan dia bertambah stres.

6. Minta kebenaran untuk dukung bayi

Ada yang jenis suka hati sahaja mendukung bayi baru lahir yang dikunjungi. Bukan tak boleh tapi sebaiknya minta kebenaran daripada ibunya. Mana tahu, bayi tersebut meragam waktu malam dan baru hendak tidur, tiba-tiba kita yang datang mengganggu pula tidurnya.

7. Bawa buah tangan

Adab melawat orang sakit atau baru bersalin, sebaiknya bawalah sedikit buah tangan untuk mereka. Memanglah ibu bersalin tersebut tak meminta tapi apa salahnya bersedekah. Kalau tak sempat beli hadiah untuk bayi, boleh juga sedekahkan duit sahaja.

IKLAN

11 Perkara Jangan Buat Kalau Pergi Melawat Ibu Berpantang Dan Bayi Baru Lahir

8. Jangan cium bayi

Siapa yang tak geram tengok bayi yang comel dan kecil. Tentu sahaja automatik rasa nak menggomol dan cium bayi puas-puas. Awas, tahan perasaan geram anda itu! Ingat, yang kita mungkin boleh menyebarkan bakteria kepada si kecil. Kalau tak tahan juga nak cium, sekali dan sekejap sahaja cukuplah.

9. Cuci tangan

Sebelum menyentuh atau mencuit pipi bayi yang gebu, elok anda bersihkan dahulu tangan dengan sabun antiseptik. Kadang kala tanpa kita sedar, tangan menjadi agen penyebar kuman. Tak pasal-pasal bayi yang bersih dan suci itu terkena kuman tanpa sengaja.

10. Tak payah memandai-mandai

Mungkin anda sudah berpengalaman mempunyai beberapa orang anak. Jadi, kalau datang melawat kawan yang baru pertama kali bergelar ibu, tak perlulah memberikan bermacam pantang-larang atau tip kecuali diminta. Mungkin setiap orang ada cara masing-masing yang tidak sama. Jadi jangan banding-bandingkan cara berpantang anda dengan kawan yang baru bersalin.

11. Jangan lama sangat

Dalam seronok bersembang dan melihat bayi baru lahir, jangan lupa yang ibu berpantang perlu rehat kerana mereka masih lemah dan belum sihat sepenuhnya. Tak perlulah anda duduk terlalu lama sehingga ibu berpantang sukar untuk berehat dan bayi pula sampai terbangun tidur kerana terlalu bising.

Semoga kita tak menjadi ejen penyebar kuman dan virus yang boleh memberi risiko buruk kepada kesihatan bayi yang baru lahir.

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI