Ketahui stimulasi sensori bulan ke bulan sesuai dengan tumbesarannya boleh dibuat di rumah!
Senang dan mudah sahaja melakukannya. Janji mama & papa kena rajin dan gigih.
1 BULAN
Bayi akan terbaring sepanjang masa kecuali semasa diangkat. Bagaimana pun, bayi telah mula membuat gerakan seperti membuat gerakan menggunakan tangan, menendang, memberikan respons kepada bunyi-bunyian tetapi penglihatannya masih lemah dan sedang berkembang.
CARA RANGSANGAN
• Biarkan bayi menggenggam jari anda.
• Baby mobile atau mainan yang berwarna hitam putih.
• Mainan yang berbunyi seperti kerincing.
• Penyusuan susu ibu menggalakkan rangsangan penglihatan di mana bayi akan memandang ibu semasa menyusu.
3-4 BULAN
Bayi sudah mula meniarap dan mengangkat bahagian atas badannya. Kepalanya boleh diangkat 45 darjah. Bayi sudah tahu kaitan antara perkara yang dilakukan dan dilihat saling berkait.
CARA RANGSANGAN
• Berikan mainan yang boleh digenggam bayi.
• Berikan bayi buku atau kad imbasan yang mempunyai dua warna yang kontras seperti hitam putih merah putih dan sebagainya.
• Gerakkan objek yang bergantung sebagai rangsangan kepada penglihatan si manja.
5-6 BULAN
Ada bayi pada peringkat usia 5-6 bulan sudah boleh duduk dengan sokongan seperti bantal pada bahagian belakang. Mula membuat bunyi-bunyian untuk mendapatkan perhatian orang lain. Berbaring, meniarap dan bergolek pelbagai cara. Pada usia enam bulan, bayi boleh diberikan makanan pelengkap seperti puri yang dikisar halus.
CARA RANGSANGAN
• Berikan mainan yang mudah dipegang dan digerakkan.
• Sediakan mainan berbentuk bulat seperti bola untuk rangsangan bayi untuk merangkak.
6-7 BULAN
Bayi pada usia ini biasanya sudah berupaya untuk duduk sendiri dan berpusing. Koordinasi mata tangannya semakin baik dan lebih banyak ekspresi wajah ditunjukkan.
CARA RANGSANGAN
• Perbanyakkan cara bermain yang melibatkan nyanyian, bercakap dan praktis vokal.
• Main tepuk tangan.
• Bebola mainan dari jenis lembut (plushies) sesuai untuk diberikan pada usia ini.
• Menerokai dan cuba menyiasat mengenai tubuh badannya.
7 -8 BULAN
Bayi mula merangkak, mengambil objek dengan dua jari dan sudah tahu beberapa bahasa badan untuk sesuatu (seperti melambai), lebih banyak ekspresi melalui vokal atau suara, babbling dan seolah-olah faham bahasa yang dituturkan orang dewasa.
CARA RANGSANGAN
• Galakkan bayi untuk mengalihkan mainan dari sebelah tangan kepada sebelah lagi tangan.
• Mainan jenis susun bertingkat sangat baik untuk melatih koordinasi mata tangan.
• Anda sudah boleh menyuapkan makanan kepadanya secara berhadapan untuk menggalakkan interaksi dengannya.
8-9 BULAN
Bayi merangkak semakin laju. Malah ada yang mula berpaut pada objek di sekeliling seperti perabot dan mama dan papanya untuk bangun. Bayi mula mengetuk objek untuk menghasilkan bunyi, berkomunikasi dengan orang dewasa dengan bahasa badan dan bunyi-bunyian. Tekstur makanannya juga berubah kepada yang lebih kasar.
CARA RANGSANGAN
• Boleh berikan bayi mainan yang boleh dicubit.
• Dia juga semakin mahir melepaskan mainan
• Suka bermain mainan jenis treasure box yang mempunyai elemen surprise (kejutan).
• Anda boleh memegang bawah lengan bayi untuk mengajarnya bertatih.
10 BULAN
Bayi sudah boleh berdiri sendiri tanpa sokongan selama beberapa saat. Dia boleh berjalan beberapa langkah dengan mainan jenis sorong. Boleh memanggil ibunya dan suka melihat orang lain bermain. Masih tidak pandai untuk berkongsi mainan.
CARA RANGSANGAN
• Sediakan memasang mainan yang berbentuk set.
• Latih bayi minum air dengan cawan.
• Boleh berikan mainan yang lebih complicated.
11-12 BULAN
Bayi sudah boleh menyusur laju dengan berpegang dengan objek. Sudah pandai membelek muka surat buku, sebutan perkataan yang lebih jelas, imaginasi lebih kuat dan lebih aktif. Boleh menuturkan beberapa perkataan yang bermakna.
CARA RANGSANGAN
• Sediakan mainan yang boleh dipicit seperti mengalihkan pompom ke dalam bekas mengikut warna, menggunakan penyepit dan sebagainya.
• Mainan jenis ‘letak dan bergerak’ dan jenis mekanikal bagus untuk membentuk persepsi bayi.
• Ajar bayi untuk makan dan minum dengan sendiri.