3 Cara Positif Tanpa Perlu Menghukum Untuk Menggalakkan Anak Berkelakuan Baik

Share

Anak-anak sebenarnya mudah dengar kata jika ibu bapa memahami apa yang mereka mahu. Apa yang menjadi masalahnya adalah sikap ibu bapa yang lebih cepat menghukum dan menengking bila anak tak ikut apa yang disuruh.

Ingat anak-anak bukan robot yang sekali beri arahan terus ikut. Ada anak yang mudah tapi ada juga anak yang kena cakap elok-elok supaya moodnya tak mudah berputar 36o darjah.

Walaupun anda dah mempunyai lebih dari dua anak, tapi jika masih lagi mengamalkan sikap tegas yang melampau tak bermakna juga. Berikyt diberikan 3 cara positif yang boleh dilakukan tanpa menghukum.

Merancang Lebih Awal

Merancang lebih awal dan pastikan kita memberikan masa yang secukupnya untuk anak beralih dari satu aktiviti ke satu aktiviti yang lain. Kebanyakan kanak-kanak lebih berdisiplin jika mereka tahu rutin harian mereka.

Contohnya, ajak anak-anak untuk buat jadual harian yang lengkap dan tampalkan di dinding. Ambil kira juga pendapat mereka dan jelaskan supaya mereka faham. Katakan waktu mandi adalah pada pukul 6 petang. Aktiviti sebelum mandi ialah bermain di luar rumah. Ibu atau bapa seharusnya memberi cukup masa untuk anak beralih dari aktiviti bermain di luar kepada aktiviti mandi dan ingatkan mereka tentang masa. Ibu bapa jangan jemu menjadi ‘alarm clock’ kepada anak-anak kecil kerana mereka belum memahami konsep masa, mudah lupa, lebih mudah terpengaruh dan ralit dengan sesuatu aktiviti yang menyeronokkan.

“Syafiq, Asyraf, lagi 15 minit adalah waktu untuk mandi”

15 minit kemudian,

“Dah pukul 6 petang, Syafiq dan Asyraf boleh masuk dan mandi sekarang”

Jika anak-anak masih tidak memperdulikan dan terus bermain, hampirilah mereka dan ingatkan mereka tentang jadual yang mereka buat. Ambil segala yang membuatkan mereka ralit bermain. Sekiranya mereka protes, ibu atau bapa boleh cuba gunakan kreativiti untuk mengajak mereka masuk dan mandi.

“Syafiq dan Asyraf boleh bermain lagi esok. Sekarang waktu mandi. Syafiq dan Asyraf boleh melompat macam katak untuk masuk ke bilik air. Kita tengok siapa sampai dulu”

Beri Peluang Kedua

Jika anak membuat kesilapan jangan terus marah-marah. Berikan mereka peluang kedua. Ini adalah satu peluang yang besar untuk mereka mempelajari nilai bersemangat kental, tidak berputus asa dan berani mencuba sekali lagi. Jika ibu bapa asyik menengking ketika anak membuat salah, selain mereka tidak berani mencuba lagi, self esteem dan keyakinan diri mereka juga akan menurun dan yang paling buruk jika anak-anak menyimpan dendam kepada ibu bapa.

Bermain Dan Berjenaka

Meminta anak melakukan sesuatu dengan cara berjenaka bukan saja menyeronokkan malah ia lebih mudah mendapat kerjasama daripada mereka. Gunakan kreativiti untuk membuat jenaka ketika meminta anak melakukan sesuatu. Contohnya, ibu bapa boleh menggunakan binatang mainan seperti itik plastik.

“Kuek..kuek..dah pukul 6 petang. Itik nak mandi. Asyraf dan Syafiq, jom mandi sekali dengan itik..kuek..kuek”

Ketawa, gembira, dan keseronokan menggalakkan tingkah laku dan kelakuan yang positif. Cubalah ikut kreativiti anda. Anak gembira anda pun senang hati.

Sumber: ibubapacemerlang

 

Published by
Wan Amy