Pandemik virus Covid-19 yang masih lagi melanda seluruh dunia nampaknya memberi kesan kepada banyak pihak. Antaranya penyanyi Eka Sharif yang terpaksa menunda majlis resepsi perkahwinannya yang dijadualkan pada 31 Oktober yang lalu.
Selepas dua kali majlis perkahwinannya tertangguh, penyanyi kelahiran Akademi Fantasia musim ke-9 itu memilih menjadi raja sehari bersama suami tersayang pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-31.
Begitupun, siapa sangka, segala perancangannya yang mahu merakam momen indah bersama insan tercinta duduk di pelaminan malam ini tak kesampaian buat sekian kalinya.
Semuanya gara-gara pandemik virus Covid-19 yang masih belum reda menyebabkan segala angan-angannya ‘dibunuh’.
Bagi Eka atau nama sebenarnya, Nur Atiqah Shariffudin, dia mengakui berasa sedih dan terkilan apabila terpaksa membatalkan majlis resepsinya buat kali ketiga.
“Sebelum ni dah dua kali April dan Julai kena batal, jadi sengaja pilih jarak jauh sedikit kononnya nak tunggu bagi reda Covid sebab nak buat jemputan.
“Itu yang saya pilih 31 Oktober (hari ini) sebab hari lahir saya, hujung-hujung sama juga, tak boleh buat sebab sebab Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat,” katanya yang tinggal di Kajang, Selangor ketika dihubungi Astro Gempak.
Meski terkilan, namun sebagai manusia biasa, Eka tidak boleh menolak takdir Allah dan percaya setiap yang berlaku pasti punya hikmah besar di sebaliknya.
Terdahulu, Eka mengumumkan bahawa dirinya kini sudah hamil tiga bulan sebelum sempat mengadakan majlis resepsi.
Malah dalam hantaran tersebut juga sudah jelas kelihatan baby bump Eka.
“PKPB dilanjutkan lagi? Ni kali ke-3 Eka postpone majlis, mungkin ni yang terbaik.
“Lagipun buat review dalam rumah ni pun dah tak larat ni kan pula nak berjalan. Tak apa lah kita stay at home je ekh…,” tulisnya.
Menurut Eka lagi, majlis yang dijadual berlangsung malam 31hb di Royal Palace, Cyberjaya itu terpaksa ditangguhkan lagi pada satu tarikh baharu yang belum diputuskan.
“Door gift (cenderamata tetamu) yang sebelum ini dah rosak sebab berasaskan makanan, jadi kena buat baru.
“Baju untuk bersanding siap dah buat baru ikut badan sekarang sebab saya dah hamil, pun tak boleh pakai. Aduhai, jam kepala dibuatnya.
“Nak batalkan, sayang pula duit hangus nanti sebab semua dah bayar. Jadi, minta tangguh sahaja. Nasib baik pihak lain semua faham dengan situasi sekarang,” ceritanya.
Sebelum ini, Eka tekad mengadakan majlis pernikahan secara ringkas pada 19 Julai lalu selepas dua kali terpaksa menangguhkan majlis perkahwinannya ekoran pandemik.
Eka mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya, Nazrulnazim Abdul Jabar, 33.
Semoga semuanya dipermudahkan untuk Eka, kalau tak dapat buat majlis bersanding, mungkin boleh terus buat majlis untuk anak yang bakal lahir nanti. Apapun tahniah diucapkan buat Eka dan pasangan!
Sumber: Gempak & IG Eka Sharif
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)