Kepenatan dan keperitan menjaga anak setiap hari tidak boleh dijadikan sandaran atau bukti yang anda sudah berjaya membesarkannya. Tanpa sikap positif, ilmu dan kemahiran yang efektif, sukar untuk mendidik seorang anak yang menyerlah potensinya.
Lazimnya menimang cahayamata merupakan satu impian mana-mana pasangan suami-isteri. Membesarkan anak, terutama darah daging sendiri, adalah keinginan dan idaman semulajadi makhluk bergelar insan. Apa tidaknya ~ anak adalah penyambung zuriat kita!
Ada anak yang baik budi, cantik pekertinya, pandai mengambil hati orang tua dan bermotivasi tinggi. Anak seperti ini menyejukkan hati bukan sahaja ibu dan bapa, malah sesiapa sahaja yang mengenalinya. Ada pula sesetengah anak yang cukup menguji kesabaran ibu bapa, amat nakal, panas baran dan tidak bermotivasi. Anak yang seperti ini membuatkan ibu bapanya sering sesak dada dan boleh menjadi punca ketegangan rumah tangga. Anak anda bagaimana ya?
SIBUK TIDAK BERMAKNA EFEKTIF
Benar, tiada ibu atau bapa yang sempurna di dunia ini. Yang ada ialah, ibu bapa yang efektif. Lebih efektif seorang ibu atau bapa mendidik anaknya, lebih besar potensi anak tersebut untuk cemerlang dan berjaya dunia dan akhirat. Menariknya, sesetengah ibu bapa membanting tulang setiap hari demi menambah rezeki untuk anak-anak, tetapi tidak terfikir untuk menimba ilmu mendidik anak sendiri! Kumpullah seberapa banyak harta yang anda mahu. Hantarlah anak ke sekolah swasta semahal mana sekalipun. Dapatkanlah khidmat guru yang paling berkalibar. Namun, harta atau sekolah atau guru sebaik mana pun tidak boleh menggantikan diri dan tempat istimewa anda sebagai ibu atau bapa jika anda impikan anak yang hebat.
MENGAPAKAH KASIH SAYANG TIDAK MEMADAI?
”Tapi saya sangat sayangkan anak saya. Bukankah kasih sayang syarat utama mendidik anak?” mungkin inilah yang tersedik di hati anda sekarang.
Ya, kasih sayang sangat perlu tetapi berapa ramai ibu bapa yang amat menyayangi anak mereka namun gagal membentuk anak menjadi seorang insan yang berwibawa? Berapa ramai anak yang tidak menghormati ibu bapa, yang mensia-siakan segala usaha yang dibuat oleh ibu bapa mereka, yang suka melepak ke sana sini sedangkan ibu bapanya saban hari membanting tulang untuk mencari rezeki?
Tanpa memahami minda anak-anak, anda mungkin tidak tahu cara menunjukkan kasih sayang anda sebaik mungkin. Sedangkan, tugas anda yang paling utama sebagai ibu bapa ialah menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak anda. Supaya mereka bukan setakat menjadi ”anak-anak yang baik”, malahan membesar menjadi “anak yang cemerlang dan sehabis baik”.
MENGAPA DOA TIDAK MENCUKUPI?
Allah berfirman dalam Al-Quran:
“Sesungguhnya Allah tiada merobah keadaan sesuatu kaum, sebelum mereka merobah keadaan diri mereka sendiri.” ~ Surah Ar-Ra’d (ayat 11)
Benar, doa adalah senjata seorang Islam. Tetapi anda tidak boleh impikan hasil yang berbeza selagi usaha yang anda buat tidak berubah. Laksana seorang petani; apa saja benih yang anda tanam, itulah dia yang akan anda tuai. Allah akan membantu anda bila anda benar-benar berusaha untuk berubah. Hanya doa seiring dengan usaha yang bersungguh-sungguh akan membuka jalan untuk keadaan yang lebih baik. Mendidik anak akan terus menjadi satu perkara yang mengelirukan selagi anda tidak mengambil inisiatif untuk menjadi ibu bapa yang lebih baik.
Hakikatnya, ada tiga syarat yang anda perlu ada untuk membentuk peribadi anak yang hebat:
ILMU KEIBUBAPAAN TIDAK DATANG DENGAN SENDIRI
– Mendidik anak perlukan ilmu yang ditimba dengan bersungguh-sungguh. Bacalah buku, berjinaklah dengan seminar keibu-bapaan, fahami anak anda, fahami diri anda sendiri. Mendidik anak bukannya mudah. Tetapi ia bukan suatu misteri. Banyak kajian yang telah dilakukan dalam bidang psikologi kanak-kanak yang boleh menolong anda memahami selok-belok membesarkan anak anda.
– Setiap kanak-kanak berpotensi untuk jadi hebat. Dengan memahami psikologi kanak-kanak, anda mampu untuk mendidik anak yang bermotivasi, taat dan berbudi tinggi.
– Setiap anak boleh mencapai yang lebih baik. ”Lebih baik”mungkin bermakna, ”lebih bertanggungjawab”, atau “kurang bertengkar dengan adik-beradik”, atau “kurang baran”. Atau lebih cemerlang pelajarannya.
INGATLAH WAHAI IBU BAPA …
Kasih sayang tidak memadai
Doa tidak mencukupi
Ilmu keibubapaan tidak datang dengan sendiri
Timbalah ia bersungguh-sungguh seikhlas hati
Agar anak menjadi insan yang hebat dan pandai berdikari
Demi Islam yang dicintai
Sumber: Jamilah Samian (coolmumsuperdad.com)