Ada 3 waktu yang sangat berkesan untuk kita sentuh hati anak-anak dengan nasihat sebagaimana diajar oleh Baginda SAW.
Tugas mendidik dan menegur anak bukan kerja yang mudah, silap tegur anak jadi lagi melawan dan memberontak pulak.
Berdasarkan perkongsian dari Puan Siti Aminah Sulaiman, dia sendiri sudah mencuba kaedah nasihati anak dalam 3 keadaan waktu ini dan terbukti BERKESAN!
Sungguh benarlah Rasullulah SAW dihantar sebagai rahmat bagi sekalian alam.
Inilah 3 waktu yang TERBAIK untuk kita nasihati anak:
1) DALAM PERJALANAN /TRAVELLING / BERMUSAFIR
Gunakanlah detik yang berharga ini. Kenapa sesuai untuk nasihati anak ketika dalam perjalanan?
Kerana hati anak sedang GEMBIRA dan TERBUKA untuk terima nasihat.
Pengalaman saya yang terbaru ini ketika kami travel ke Ipoh, saya memang sudah rancang dari awal untuk tegur cara solat anak saya.
Saya berniat nak tegur cara dia bersolat, kerana dia selalu solat dengan laju.
Cara saya ialah mulakan dengan PUJIAN:
” Terima kasih tadi Muiz sebab tolong mak kutip mainan atas lantai..(sambil urut2 belakang anak)
Allah sayang anak yang rajin tolong mak” Tengok muka anak dan mula senyum lebar kena puji, saya sambung dengan teguran:
” Muiz, nanti bila solat, baca Fatihah perlahan-lahan tau..Jangan laju sangat, kita nak Allah dengar apa yang kita baca masa solat..”
Saya lihat muka anak jernih sekali dan dia mengangguk faham Kemudian saya sambung dengan cadangan untuk tambah baik solat anak:
Ads
“Oh..Mak ada idea. Jom kita tengok video Tafseer Surah Al Fatihah nak?”
Lalu sepanjang perjalanan ke Ipoh kami tonton bersama video Tafseer Ustaz Nouman Ali Khan.
MasyaAllah, saya nampak perubahan dalam solat anak saya sejak dari travelling yang lepas.
2) WAKTU MAKAN
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari Umar bin Abi Salamah r.a yang bermaksud:
“Aku masih kecil ketika berada dalam pengawasan Rasulullah SAW. Tanganku bergerak ke sana ke mari di hadapan makanan.
Lalu sabda Baginda SAW: Hai anak kecil, ucapkanlah basmalah, makanlah dengan tangan kanan dan makanlah apa yang ada dihadapanmu.. Sejak itu, begitulah caraku makan.
Dalam buku Prophetic Parenting tulisan Dr. Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid, untuk mengenal peribadi asli anak, lihatlah dia waktu makan dan minum.
Ads
Anak akan tonjolkan sifat aslinya. Kadang anak lapar hingga tak dapat kawal diri, hingga makan guna tangan kiri, tak kunyah dengan betul atau berebut dengan adik beradik lain.
Disinilah pentingnya kita sebagai ibu bapa untuk duduk makan bersama. Ajarkan anak tertib makan.
Alhamdulillah, anak saya Muiz seorang Left Handed (kidal),pada awalnya sukar untuk makan guna tangan kanan.
Berkat sabar dan nasihat berulang kali , dia boleh makan dengan tangan kanan. Biarlah perlu ingatkan anak berulang kali pun, jangan pernah jemu.
Ingatkan anak untuk baca Bismillah sebelum jamah makanan, duduk bila minum air dan sunnah lain.
Paling penting kita sediri perlu tunjuk adab makan yang betul, baru mudah anak nak ikut.
3) KETIKA ANAK SAKIT
Hadis riwayat Bukhari dari Anas r.a yang bermaksud:
“Seorang anak Yahudi yang menjadi pelayan Nabi SAW sakit. Baginda SAW datang menjenguknya.
Ads
Baginda duduk di dekat kepalanya dan bersabda kepadanya, ‘Masuk Islamlah engkau’. Dia melihat ke arah bapanya yang saat itu berada di sana. Si bapa berkata, ‘Turutilah Abu Qasim’.
Maka, dia pun masuk Islam. Nabi SAW pergi sambil berdoa, ‘Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkannya dari api neraka”.
Sebak hati saya bila baca hadith ni, halus sungguh peribadi Nabi Muhammad SAW
Dakwah pada anak kecil dengan begitu lemah lembut sekali. Sakit yang dialami anak menjadikan hatinya lembut dan lunak.
Masih saya teringat nasihat saya pada anak kedua ketika dia demam batuk baru-baru ni.
” Nanti adik jangan makan lagi aiskrim warna warni tu. Mak dah cakap ‘colouring’ tak bagus untuk badan. Dia jadikan badan kita lemah, antibodi jadi tak kuat..”
Penangan nasihat masa sakit ni, sampai sekarang anak tak berani lagi cuba makan ais krim. Itulah kali pertama dan terakhir dia mencuba.
Sama juga dengan anakanda Muiz, ketika sakit dia selalu bertanya kenapa dia sakit?
Jawab saya: ” Syukur Allah beri kita rasa sakit, kita sedar kita manusia. Firaun tak pernah sakit, dia jadi sombong dan mengaku dia Tuhan..”
Banyak lagi nasihat yang boleh kita selitkan bila anak sakit, dengan Izin Allah mereka akan dengar. Fuhh..Bukan mudah nak didik anak-anak ni.
Kerana itu penting kita rebut 3 waktu yang AFDAL supaya nasihat lebih meninggalkan kesan dalam hati anak-anak.
Saya doakan setiap ibu ayah yang membaca post ini diberikan kesabaran dan hikmah dalam menasihati anak-anak.
Sebenarnya didikan terhadap anak ni tiada sebarang formula. Ibu bapa yang mencorakkan sendiri. Anak adalah hak dan amanah Allah Taala. Allah menyuruh dan memberi panduan kepada kita untuk mendidik anak-anak cara Islam. Namun dalam hal ini, kita sebagai ibu bapa hanya mampu mendidik.
Sama ada anak tersebut bakal menjadi ‘apa’ itu adalah diluar kawalan ibu bapa itu sendiri. Sebab itu, tanggungjawab ibu bapa adalah mendidik anak cara Islam dan berdoa mudah-mudahan anak yang dijaga menjadi anak soleh dan solehah.
Berdasarkan perkongsian Dr NurulHuda, beliau ada menjelaskan info dan tip daripada Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah tentang bagaimana caranya untuk mendidik anak menjadi anak yang cemerlang.
Kaedah pesanan dan arahan
Sebenarnya kaedah ini merupakan kaedah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Anak-anak dididik dengan cara dipesan terlebih dahulu. Lihat apa reaksi mereka setelah dipesan. Adakah mereka boleh lakukan hanya dengan sekali pesanan? Jika tak berkesan, ibu bapa kena berulang kali berpesan tanpa rasa jemu dan bosan.
Berdasarkan kenyataan oleh pakar kesihatan kanak-kanak, anak-anak pintar perlu diberi pesanan dan nasihat sebanyak 200 kali tanpa rasa bosan. Tujuannya supaya mereka benar-benar faham pesanan tersebut dan bertindak dengan baik. Antara bentuk pesanan dan arahan kepada anak-anak ialah :
Solat di awal waktu
Adab dengan orang tua
Adab dengan guru
Adab dengan kawan-kawan
Tugas harian di rumah
Mengemas bilik sendiri
Mengemas meja belajar
Cara makan mengikut sunnah Nabi
Cara belajar berkesan
Ingatkan mereka supaya menutup aurat ketika keluar rumah
Keselamatan jalan raya
Tanggungjawab melindungi anak-anak
Kaedah bercerita
Perasan tak, dalam filem negara barat, ibu bapa akan bercerita kepada anak sebelum tidur. Kaedah ini sebenarnya dianjurkan oleh Islam. Ini kerana ia menguatkan serta mengeratkan hubungan anak dan ibu bapa terutamanya kisah berkaitan dengan kisah teladan dalam al-Quran.
Tujuan utama kaedah bercerita ini ialah untuk mendidik anak secara tidak langsung menerusi rangsangan pemahaman minda bawah sedar mereka, : menyampaikan maklumat, dan menyerapkan pengajaran yang boleh dicungkil daripada cerita tersebut, merapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak serta boleh menggambarkan minda anak dengan lebih jelas dan berkesan bergantung kepada kemahiran pencerita.
Kaedah Soal Jawab
Bersoal jawab dengan anak akan menggerakkan minda mereka. Ibu bapa yang cemerlang hendaklah sentiasa bersoal jawab dan mengambil tahu mengenai diri anak dan perkembangan aktiviti dan pembelajaran mereka. Kaedah ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan tanpa mengira masa, keadaan dan tempat seperti ketika dalam perjalanan, di rumah, waktu makan dan sebagainya.
Ibu bapa hendaklah berusaha menjawab semua persoalan. Seandainya ibu bapa tidak tahu atau tidak pasti jawapan kepada soalan anak, jangan teragak-agak atau enggan untuk mengaku tidak tahu. Ibu bapa hendaklah memberi penjelasan atau jawapan kepada persoalan yang ditanya oleh anak daripada orang yang mahir dalam bidangnya.
Anak-anak kecil lazimnya suka bertanya soalan yang bertubi-tubi. Ramai ibu bapa yang tidak mengambil peduli keletah anak-anak ini. Tabiat ini tidak sewajarnya menjadi amalan ibu bapa kerana tabiat anak-anak yang bertanya itu sudah menggambarkan pembangunan minda anak-anak yang cemerlang. Jika ditangani dengan baik anak itu mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi anak cemerlang.
Kaedah merujuk pengalaman lalu
Pengalaman yang positif boleh dijadikan teladan, pengalaman yang negatif boleh dijadikan sempadan. Pengalaman ini elok dibuktikan dengan gambar, dokumen atau barangan peninggalan yang terlibat. Ini kerana pengalaman ini amat mudah untuk menjelaskan mesej yang ingin kita sampaikan dan mudah pula dijadikan iktibar oleh anak-anak. Pengalaman anak-anak itu juga penting. Kaitkan apa perlunya mereka berwaspada dengan peristiwa pahit yang telah mereka alami atau peristiwa manis dan kejayaan yang pernah mereka kecapi.
Kaedah nasihat dan teguran
Berilah teguran dan nasihat selalu kepada anak-anak dalam aspek akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan dan sebagainya. Kaedah ini penting kerana ia berbeza dengan kaedah pesanan dan arahan. Kaedah ini adalah suatu nasihat dan teguran yang tidak boleh dilakukan setiap hari untuk mengelakkan anak-anak berasa jemu dan bosan.
Kaedah bermain dan bergurau
Cuba tanya diri anda, berapa kerapkah anda bermain-main dan bergurau-gurau dengan anak-anak anda? Terdapat pelbagai kaedah untuk kita bergurau dengan anak-anak ketika sedang bermain, beriadah mahupun bersukan. Matlamat bergurau dengan anak-anak ialah untuk menggembirakan hati mereka.
Mengikut kajian psikologi, apabila anak berasa gembira dan disayangi, mereka akan menjadi anak yang berdisiplin dan berakhlak yang baik. Tetapi jangan pula bergurau melampaui batas seperti bermain dan bergurau berlarutan sehingga meninggalkan ibadah wajib dan tugas yang lebih penting.
Bapa juga tidak manis bergurau atau bermain dengan anak perempuan yang telah meningkat dewasa. Begitu juga ibu tidak manis bermain dengan anak lelaki yang telah meningkat dewasa. Perlakuan tidak manis ini jika tidak diikat oleh iman yang kuat, sering berlarutan sehingga boleh menyebabkan berlakunya sumbang mahram.
Kaedah Latihan Berterusan
Anak yang cemerlang ialah anak yang dilatih secara praktikal dengan berterusan. Kaedah ini disarankan oleh Rasulullah saw. Anak akan cemerlang namun perlu juga dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah ini dibahagikan kepada beberapa ciri:
Jantina
Ibu bapa perlu memberi tugas kepada anakanak mengikut tahap umur kanak-kanak tersebut, jika tugas berat dan besar berikan kepada anak lelaki. Jika kerja rumah seperti memasak elok diberikan kepada anak perempuan. Tapi tak salah ajar anak lelaki membuat kerja rumah. Ini melatih mereka untuk ringan tangan menolong isteri mereka kelak.
2) Usia
Pengagihan tugas juga perlu diagihkan mengikut usia. Anak yang berusia di bawah enam tahun belum boleh diberi tanggungjawab yang serius. Tahap tanggungjawab boleh ditingkatkan apabila usia mereka meningkat dan mengikut kesesuaian waktu.
Jangan lupa memberi pujian dan penghargaan kepada anak setelah mereka berjaya melakukan sesuatu pekerjaan itu. Namun jangan berlebihan kerana bimbang anak itu akan bersifat takbur.
“Anak saya faham je arahan, tapi tak bercakap lagi”
Ayat yang biasa disebut oleh parents bila ditanya mengenai anak faham atau tak. Ya memang ada kanak-kanak yang mmpunyai kefahaman yang sepatutnya dengan usia mereka tapi masih belum bercakap, tetapi ramai sebenarnya masih belum bercakap disebabkan oleh kurang kefahaman. Tapi mereka bijak dengan tingkahlaku mereka hingga membuatkan parents sangka anak-anak ini faham.
Ok, saya akan terangkan macam mana yang dikatakan kanak-kanak nampak macam faham, tapi sebenarnya tak faham.
MEMBUAT PILIHAN
Bila kita memberi pilihan pada kanak-kanak, mereka biasanya memang akan ambil tak kisah samaada mereka nak atau tak nak.. Ini membuatkan parents percaya yang anak boleh faham dan membuat pilihan. Untuk mengenalpasti samada anak betul-betul faham atau tidak, perhatikan betul-betul perkataan yg anda gunakan.. sebab biasanya kanak-kanak akan mengambil perkataan terakhir yang anda sebut. Oleh itu, cuba tukar kedudukan perkataan setiap kali memberi pilihan.. contohnya “nak lego ke puzzle?” Anak mungkin akan menjawab “puzzle” kerana ia adalah perkataan terakhir yg mereka dengar. Kemudian tanya semula “nak puzzle ke lego?” Sekiranya anak menjawab “lego”, mmg jelas lah anak tak faham soalan tersebut.. tapi hanya menyebut perkataan terakhir yang didengarnya saja..
TUMPUAN BERSAMA
Kanak-kanak mungkin menggunakan tumpuan bersama ini untuk berpura-pura menunjukkan mereka faham. Ini terjadi bila parents melihat ke arah objek dan kanak-kanak juga melihat ke arah objek yang sama. Contoh bila ibu bertanya, “mana kasut” dan tanpa disedari, ibu memang sedang melihat ke arah kasut.
Oleh itu, pastikan anda TIDAK melihat ke arah objek yang anda sebutkan.. contohnya bila anda memberi arahan “bagi mama kasut”, anda melihat ke arah kanak-kanak atau lihat ke arah objek lain.. Jika anak mengambil kasut, bermaksud mereka faham.. tapi sekiranya mereka mengambil objek lain yang anda tengok, itu menunjukkan yang mereka masih tidak faham.
MENGIKUT RUTIN
Kanak-kanak memang bagus dalam mengikut rutin.. ada kalanya kita akan nampak anak boleh mengikut apa yang cikgu di sekolah arahkan. Contohnya apabila cikgu meminta semua kanak-kanak untuk beratur, jika anak anda seorang yang ‘observer’, mereka akan melihat apa yang dilakukan oleh kanak-kanak lain dan meniru pergerakan mereka.
Di rumah, mereka akan dapat lakukan sesuatu yang rutin tanpa perlu memahami arahan dari parents.. Sebagai contoh, sudah menjadi kebiasaan yang diajar oleh parents, lepas makan kanak-kanak perlu meletakkan pinggan ke singki.. atau pun selepas membuka gula-gula, kanak-kanak perlu membuang plastik gula-gula ke dalam tong sampah. Jadi bila parents memberi arahan “buang sampah ni”, anak akan terus bawa ke tong sampah walaupun anak tidak faham arahan kerana situasi itu yang biasa terjadi.
MENGGUNAKAN OBJEK MENGIKUT KEGUNAANNYA
Contoh yang mudah untuk kita faham adalah, anda beri arahan “Baling bola” semasa sedang bermain bola dengan anak. Nampak seperti anak betul-betul faham arahan tersebut kan. Tapi jika difikir semula, memang itu fungsi bola: untuk dibaling. Jika anda beri arahan “duduk atas bola” dan anak boleh buat, boleh kita cakap yang mereka betul-betul faham, sebab sangat pelik bola digunakan untuk duduk.
GUNAKAN KEDUDUKAN DALAM ARAHAN
Biasanya parents jarang atau kurang memberi perhatian kefahaman pada kedudukan, kerana selalunya anak boleh je buat arahan yang melibatkan kedudukan. Sebagai conoth “buang sampah dalam tong sampah” dan anak memang buang dalam tong samapah.. kerana sampah memang kita akan letak di dalam tong.. tapi jika anda memberi arahan “letak sampah di luar tong sampah” mungkin akan berbeza, kerana adalah pelik dan tak biasa untuk kita letakkan sampah di luar tong sampah.
Jadi, untuk bertul-betul kenalpasti sama ada anak faham arahan yang melibatkan kedudukan (atas, bawah, luar, dalam, depan, belakang), anda boleh cuba memberi arahan yang tak masuk akal atau diluar kebiasaan, seperti “letak mainan bawah kotak” atau “letak patung bawah katil”.. Atau untuk periksa samaada anak faham dalam dan luar, anda boleh lakukan aktiviti seperti gunakan kotak atau bas yang boleh dibuka pintu / bumbung.. kemudian letakkan beberapa blocks di luar dan di dalam kotak/bas.. dan beri arahan.. “letak block dalam bas” dan “keluarkan block dari bas”.. jadi kita boleh tahu yang anak betul-betul faham atau tidak konsep tersebut..
Jadi MAKSUDNYA APA?
Maksudnya, kita kadang-kadang “assume” yang anak faham, tapi sebenarnya , mereka sedang melakukan perkara yang biasa dilakukan.. dalam erti kata lain “common sense”. Tapi perlu diingat juga, kita perlu lihat umur anak dan keupayaan untuk mereka memahami arahan.. sebab setiap peringkat umur ada kebolehannya tersendiri..
Tetapi, jika anak sudah melebihi usia 18 bulan tapi masih belum juga bercakap, dan kerap kali parents mengatakan “anak saya faham semua arahan tapi tak bercakap”.. di sini lah perlunya penilaian yang lebih terperinci untuk kefahaman mereka.. Jangan takut dan risau untuk berjumpa Speech Therapist berhampiran anda untuk penilaian.. Tak rugi untuk anda tahu kan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Orang selalu ingat anak bongsu manja, sebenarnya tak mudah macam disangka. Menjadi anak bongsu dalam keluarga tidak selalu membawa kebahagiaan seperti yang sering digambarkan. Malah, ramai anak bongsu mengalami tekanan emosi dan perbandingan yang tidak adil.
Orang Selalu Ingat Anak Bongsu Manja
Masyarakat seringkali memberikan stereotaip bahawa anak bongsu adalah manja dan tidak berdikari, tetapi hakikatnya, perasaan tertekan kerana sering dibandingkan atau diremehkan juga menjadi faktor utama mengapa anak bongsu sering dianggap ‘salah.’
Berikut beberapa sebab mengapa anak bongsu sering dipersalahkan dalam keluarga dan bagaimana tekanan yang dialami mereka boleh mempengaruhi perkembangan emosi dan psikologi mereka.
Sebenarnya Tak Mudah Macam Disangka
1. Sering Dimanja
Salah satu sebab utama mengapa anak bongsu sering dipersalahkan adalah kerana mereka dibesarkan dalam suasana yang terlalu dimanjakan. Oleh kerana mereka merupakan anak yang paling kecil, ibu bapa cenderung memberikan perlindungan yang lebih, menyebabkan mereka sering bergantung kepada orang lain untuk menyelesaikan masalah atau membuat keputusan. Kesukaran untuk berdikari ini membuatkan anak bongsu cenderung melakukan kesalahan kerana kurangnya pengalaman dan keyakinan diri.
2. Selalu Dibandingkan dengan Saudara Lain
Walaupun ada anak bongsu yang dimanja, tidak semua beruntung mendapat perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa. Ada sebahagian anak bongsu yang sering dibandingkan dengan adik-beradik yang lebih tua.
Perbandingan ini mewujudkan tekanan yang besar, di mana anak bongsu merasa terpaksa menyaingi pencapaian saudara mereka. Perasaan ini membuat mereka cenderung takut untuk mencuba sesuatu kerana bimbang akan dianggap salah jika gagal mencapai standard yang ditetapkan oleh keluarga.
3. Menanggung Beban Ekspektasi
Selain dibandingkan, anak bongsu juga sering dipaksa menanggung beban ekspektasi yang tinggi daripada ibu bapa. Mereka bukan sahaja dijangka untuk mencapai kejayaan yang sama seperti abang atau kakak, tetapi ada kalanya ibu bapa mengharapkan lebih daripada mereka.
Beban harapan yang tinggi ini membuatkan anak bongsu sering merasa tertekan, dan apabila mereka tidak dapat memenuhi ekspektasi tersebut, mereka akan dianggap gagal atau salah oleh keluarga.
4. Kerap Diremehkan
Anak bongsu sering kali diremehkan, dianggap tidak cukup matang atau kurang berupaya dalam membuat keputusan yang baik. Anggapan ini menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan kepercayaan daripada ibu bapa atau ahli keluarga yang lain.
Pada hakikatnya, anak bongsu juga memerlukan sokongan dan dorongan daripada keluarga untuk membina keyakinan diri. Sikap meremehkan ini hanya menambah tekanan dan membuatkan mereka sering meragui kebolehan diri sendiri.
5. Kebebasan yang Terhad
Dalam kebanyakan kes, ibu bapa memperlakukan anak bongsu dengan lebih hati-hati kerana mereka merupakan anak terakhir. Ini menyebabkan anak bongsu mempunyai kebebasan yang terhad untuk mencuba sesuatu yang baru atau mengeksplorasi dunia di sekeliling mereka.
Kekurangan peluang untuk bereksperimen dan belajar daripada pengalaman sendiri menjadikan anak bongsu kurang berani dalam membuat keputusan. Hal ini menyebabkan mereka lebih cenderung melakukan kesilapan dalam perkara-perkara yang belum pernah dicuba sebelum ini.
Kesimpulan
Anak bongsu sering kali disalah anggap sebagai manja dan tidak berdikari, namun realitinya, ramai daripada mereka mengalami tekanan yang hebat akibat perbandingan, ekspektasi yang tinggi, dan kurangnya sokongan dari keluarga. Perkara ini boleh mempengaruhi perkembangan emosi mereka dan menyebabkan mereka kerap kali melakukan kesalahan atau dilihat tidak mampu memenuhi harapan keluarga.
Sebagai ahli keluarga, adalah penting untuk memahami bahawa setiap anak, tidak kira anak sulung atau bongsu, memerlukan kasih sayang dan sokongan yang seimbang. Dengan memberikan mereka peluang untuk berdikari, mencuba sesuatu yang baru, dan menghargai usaha mereka tanpa membuat perbandingan, anak bongsu boleh berkembang menjadi individu yang berjaya dan berkeyakinan tinggi.
Tindakan yang boleh kita buat apabila dipukul, dikasari dan dicederakan. Tular seorang wanita telah dipukul oleh seorang lelaki gara-gara terlanggar anaknya yang melintas secara tiba-tiba. Keganasan fizikal seperti dipukul merupakan satu perbuatan jenayah yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.