Ingin tahu cara untuk tingkatkan daya imuniti bayi bagi mengelak sebarang jangkitan penyakit? Semua ibu bapa mahukan kesihatan optimum untuk anak-anak mereka, namun pada masa yang sama, ramai yang tidak mengetahui system pertahanan badan (imuniti) yang kuat mampu melawan sebarang jangkitan penyakit. Bayi mempunyai pertahanan imunologi sejak lahir, namun ia belum cukup matang dan akan terus diperkuat sehingga usia empat atau lima tahun.

Jom kita ketahui 5 info untuk meningkatkan daya imuniti  anak anda.

1.Imunisasi

Imunisasi berkesan untuk melindungi badan si manja sebelum diserang penyakit yang boleh membawa maut. Pemvaksinan boleh dilakukan ketika si manja sihat mengikut ‘Jadual Imunisasi Disyorkan untuk Kanak-kanak’ oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Melalui vaksin, ia bertindak dengan merangsang tindak balas imun secara tiruan terhadap antigen tertentu dalam badan anak anda. Seterusnya mengeluarkan antibodi untuk menentang virus untuk melawan jangkitan penyakit.

2.Susu ibu

Ia adalah ‘cecair emas’. Ini boleh menguatkan system imun si manja. Susu pertama bayi iaitu kolostrum, kaya dengan antioksida dalam bentuk vitamin E dan beta karotena yang melindungi bayi daripada serangan kuman. Juga ia mengandungi pelbagai faktor perlindungan yang mengurangkan risiko antaranya cirit-birit, jangkitan telinga, dan jangkitan salur pernafasan akut yang lain. Pemberian susu ibu secara eksklusif sepanjang enam bulan pertama adalah yang terbaik dan hendaklah diteruskan sehingga dua tahun.

3.Persekitaran sihat dan ceria

Elakkan membawa bayi dibawah usia enam bulan di kawasan yang sesak dengan orang ramai dan mereka yang tidak sihat. Namun pastikan persekitaran selamat sebelum  membawa bayi ke taman permainan untuk melakukan aktiviti fizikal seperti senaman, berjoging atau berenang yang boleh membantu meningkatkan kecekapan fungsi imun. Paling penting, jangan dedahkan anak-anak kepada asap rokok kerana ia mengandungi toksin yang boleh melemahkan sistem imun dan merosakkan sel-sel imun anak anda yang masih belum matang.

4.Emosi positif

Bayi yang menghadapi tekanan mampu mengurangkan keupayaan sistem imun untuk menentang jangkitan yang menyebabkan mudah dijangkiti penyakit. Oleh itu, wujudkan emosi yang positif supaya anak gembira. Lakukan aktiviti bersama seperti membaca, mewarna, melukis dan bermain bersama anak-anak anda. Suasana seperti ini boleh membantu menguatkan sistem imun kerana ia membantu mengurangkan hormon tekanan dan menambah sel imun.

5.Pemakanan yang seimbang.

Apa yang anak anda makan boleh mempengaruhi sistem imunnya. Jadi hidanglah makanan yang berzat untuknya membesar dengan system pertahanan badan yang kuat. Hasil kajian menunjukkan risiko penyakit berjangkit adalah lebih tinggi di kalangan kanak-kanak terutamanya bayi yang kekurangan zat makanan. Jadi sediakan diet yang lengkap dan seimbang untuk anak anda. Rujuk kepada Piramid Panduan Makanan yang dapat membantu menjamin sistem imun si manja berfungsi dengan baik.