Sebelum nak bandingkan keupayaan anak lelaki dan perempuan ibu bapa kena tahu setiap anak yang dilahirkan istimewa. Dari segi saintifiknya, mungkin ia ada benarnya. Ini kerana cara pembentukan otak bayi lelaki dan perempuan berkembang dengan cara yang berbeza. Sedikit sebanyak, mereka dilahirkan dengan memiliki karakter tertentu serta minat pada benda yang berbeza.
Di sini disenaraikan beberapa perbezaan anak lelaki dan perempuan dari segi kebolehannya berinteraksi dengan keadaan sekeliling, sikap dan emosi.
Anak Lelaki: Menurut kajian pakar psikologi, anak lelaki lebih minat menumpukan perhatian pada pergerakan mesin atau alat mekanikal. Ketika menaiki kereta, mereka lebih leka memerhatikan ‘wiper kereta’ daripada wajah orang dewasa yang sedang bercakap. Mereka juga boleh hipotesis tentang pergerakan. Contohnya apabila kereta mainan bergerak di bawah meja, ia akan menuju ke sudut yang bertentangan.
Anak Perempuan: Anak perempuan pula lain minatnya. Mereka lebih gemar memerhati cara gerakan orang disekeliling. Mereka lebih mudah meniru perbuatan kita seperti cara menjaga bayi kecil. Mereka juga tidak kurang hebatnya dan mungkin hebat lagi dalam meniru gaya memandu kereta seperti anak lelaki.
Anak Lelaki: Jika kita ke taman permainan, yang berlari dan memanjat sana-sini sudah tentu anak lelaki lebih ramai. Anak lelaki lebih suka bergerak aktif dan senang melakukan aktiviti yang melibatkan kemahiran motor kasar. Perkara ini disokong berdasarkan kajian yang dilakukan di Kanada terhadap bayi lelaki dan perempuan. Ia mendapati bahawa anak lelaki lebih susah untuk duduk diam ketika meyalinkan pakaiannya, ketika di dalam ‘stroller’ dan lebih suka merangkak ke jarak yang jauh.
Anak Perempuan: Bagi anak perempuan pula, mereka dilihat lebih teliti dan ketika diberikan tugas yang melibatkan motorik halus seperti bermain permainan, menggunakan perkakas makan, dan menulis. Lazimnya, anak perempuan akan memiliki hasil yang lebih baik. Namun begitu, anak lelaki dan perempuan mula berjalan pada waktu yang agak sama.
Anak Perempuan: Menurut BabyCenter, secara semulajadinya anak perempuan dilahirkan dengan deria penglihatan yang lebih tajam. Mereka lebih tertarik untuk melihat ekspresi dan reaksi wajah orang di sekelilingnya. Jadi, mereka boleh agak emosi anda bila marah atau sedih. Mereka juga boleh mengekalkan hubungan mata (eye contact) dengan kita apabila kita bercakap dengan mereka.
Anak Lelaki: Walaupun anak lelaki tidak peka dengan emosi kita, mereka sebenarnya lebih emosional berbanding anak perempuan. Anak lelaki lebih sukar untuk dipujuk berbanding anak perempuan. Di samping itu, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kadar denyutan bayi lelaki lebih pantas bila sedang keresahan walaupun ekspresinya tidak begitu berubah. Ini menandakan bahawa anak lelaki mungkin turut merasai sensitiviti terhadap sesuatu perkara, namun tidak banyak bertindak terhadapnya.
Anak Lelaki: Oleh kerana karakter mereka yang kurang cenderung terhadap manusia, ia mungkin salah satu sebab mereka sedikit lewat dalam bertutur. Menurut sumber, pada usia 16 bulan anak perempuan sudah mampu mengucapkan 100 perkataan sedangkan anak laki-laki hanya sekitar 30 perkataan.
Anak Perempuan: Kebolehan deria penglihatannya untuk memerhatikan emosi dan pergerakan kita membuatkan anak perempuan lebih petah berbicara dahulu berbanding anak lelaki. Mereka juga lebih mudah untuk mengikut bunyi dari suara kita berbanding anak lelaki. Kelebihan ini juga menjadikan anak perempuan seorang pendengar yang baik. Mereka lebih berminat untuk terlibat dalam perbualan berbanding anak lelaki.
Anak Lelaki: Memang fitrah lelaki lebih berani berbanding perempuan. Ia mungkin disebabkan oleh hormon testosteron yang lebih tinggi dalam otak bayi lelaki. Anak lelaki terbukti lebih berani apabila si ibu mengacahnya ekspresi untuk menakut-nakutkannya. Mereka lebih tenang dan kembali bermain seakan tiada apa yang berlaku.
Anak Perempuan: Berbanding anak perempuan, sensitiviti mereka yang lebih terhadap penglihatan dan pendengaran mungkin menyebabkan mereka lebih senang berasa takut. Malah, kajian juga membuktikan yang anak perempuan lebih mudah terperanjat bila diberikan mainan yang berbunyi nyaring.
Cara Didikan Anak Memainkan Peranan Penting
Walau apapun perbezaan anak lelaki dan perempuan, semuanya bergantung pada cara kita mendidiknya. Latih anak dengan nilai-nilai baik seperti yang kita idamkan. Ambil inisiatif untuk melatih kemahiran anak. Rajinkan diri untuk membaca buku pada anak supaya lebih petah bercakap. Bantu anak menghadapi ketakutannya. Latih anak supaya lebih aktif.
Pokok pangkalnya, sediakan persekitaran yang dapat membantu perkembangan minda anak supaya mereka lebih cepat belajar. Lelaki atau perempuan, semua mempunyai peluang yang sama untuk belajar melalui pengalaman dan seterusnya menggilap potensi masing-masing!
Sumber: Nazurah Hassan (zuriat.my)