Perasan tak, adakalanya ada baby suka melihat individu tertentu? Tetapi dalam situasi lain pulak, baby anda mungkin akan menunjukkan reaksi tidak suka kepada sesetengah individu. Haaa..nak tahu tak sebab apa? Ada rahsia menarik yang nak dikongsikan.
Bayi comel merenung ke arah anda? Ini sebabnya!
Secara semula jadi
Pernah tak apabila anda berdepan dengan bayi dan dia kelihatan seperti suka melihat anda? Itu tandanya pada pandangan mereka anda adalah cantik / kacak. Mesti rasa bangga, bukan? Kembanglah hidung sekejap.
Ini bukan rekaan tetapi ia adalah satu kajian yang dilakukan di United Kingdom. Dijalankan pada tahun 2004, kajian ini adalah berkisarkan mengenai aspek tingkah laku atau psikologi seseorang bayi.
Dalam kajian ini mendapati bayi tidak perlu diajar atau belajar mengenai cara dan kaedah mengenal wajah, tetapi mereka secara semula jadi sudah dilahirkan dengan kemahiran ini. Menarik, bukan?
Ads
Individu cantik
Dalam penyelidikan melibatkan bayi-bayi yang berusia seawal sehari, mereka diperlihatkan atau ditayangkan gambar-gambar muka dan hasilnya mendapati bayi-bayi tersebut lebih banyak menghabiskan masa untuk melihatkan wajah dengan ciri wajah menarik.
Menurut salah seorang penyelidik daripada University of Exeter, Alan Slater, “Daya tarikan bukan terletak pada kaca mata mereka yang melihat. Ia adalah satu perkara yang semula jadi wujud dalam bayi yang baru lahir.”
Melalui penyelidikan yang dijalankan oleh Slater yang melibatkan bayi seawal usia sehari ini, membuktikan bahawa bayi tidak lahir ke dunia dengan sekadar ‘lembaran kosong’. Tetapi mereka memasuki dunia dengan sistem perkembangan persepsi yang cukup seimbang.
Ads
Simetri sempurna
Slater menjelaskan bayi suka melihat individu yang mempunyai raut wajah menarik mungkin kerana beranggapan bahawa individu cantik dan kacak ini mempunyai simetri wajah yang sempurna sebagai seorang manusia.
“Seorang bayi dilahirkan dengan persepsi wajah individu manusia yang sempurna. Disebabkan itu, mereka seperti sudah biasa melihat wajah individu cantik dan kacak.
Situasi ini sekali gus membantu mereka untuk lebih mengenali wajah-wajah individu lain. Malahan, secara tidak langsung, individu dengan raut wajah menarik ini dapat membantu mereka mengenali dunia sosial,” jelas Slater.
Bayi comel tengok sebab lebih kepercayaan
Ads
Satu kajian lain yang diterbitkan dalam British Journal of Developmental Psychology menunjukkan bayi serta kanak-kanak lebih mudah mempercayai kata-kata yang dilafazkan oleh individu dengan raut wajah yang menarik. Ini khususnya melibatkan wanita cantik. Beruntunglah wanita yang mempunyai raut wajah cantik!
Kajian ini menyatakan sama ada bayi lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya mempunyai tahap minat dan kepercayaan yang sama. Ini bermakna mereka lebih mempercayai wanita cantik atau lelaki yang kacak berbanding individu dengan raut wajah kurang menarik.
Pengiktirafan ikhlas
Jadi apa yang boleh disimpulkan daripada artikel ini? Mudah je. Kalau kata selepas ini bayi anda atau mana-mana bayi merenung anda, percayalah itu merupakan satu pengiktirafan paling ikhlas yang menyatakan bahawa anda adalah individu cantik dan kacak. Senyum dan berbanggalah!
Ada gambar anak minum susu yang cute-cute? Jom share dengan Pa&Ma dan anda mungkin berpeluang memenangi hamper barangan bernilai RM100. Muat naik gambar anak anda di SINI
Kredit: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Penat juga memikirkan kenapa si kecil asyik menangis pada waktu malam. Untuk ibu bapa yang baru, keadaan ini boleh menimbulkan “stress” kepada anda. Jom ketahui apa penyebab anak anda menangis pada waktu malam.
MENGAPA BAYI MENANGIS DI WAKTU MALAM?
Saya on call pada malam itu di sebuah pusat kesihatan yang beroperasi 24 jam. Saya sempat memejamkan mata selama dua jam sebelum bilik rehat doktor diketuk.
“Doktor, ada pesakit sedang didaftarkan” suara staff yang mengejutkan saya.
Saya memandang ke jam di tangan. Waktu sudah menunjukkan pukul 4.30 pagi. Saya menggeliat dan membasuh muka.
“Doktor, baby saya ni tak berhenti menangis sejak 1.00 pagi tadi. Saya tak tahu nak buat apa. Cuba doktor tolong periksa”
Saya perhatikan bayi itu yang berada di pelukan ibunya. Bayi itu seolah-olah tersenyum melihat saya. Agaknya geli hati melihat saya seakan-akan mamai bila dikejutkan di awal pagi.
“Tapi dia diam sekarang ni…” saya cuba mencari penjelasan. Belum ayat saya habis, suara hebat meletup.
“Ya Allah! Doktor ingat saya ni bohong ke?!” Bentak suaminya yang barangkali kepenatan dan mengantuk tidak dapat tidur semalaman.
“Sabar ya, saya pun tak cukup tidur dan penat. Saya hanya bertanya untuk kepastian, bukan tuduh sesiapa bohong. Saya lihat anak awak ni senyap saja. Itu yang saya agak pelik”
“Kami pun pelik. Dah tiga jam dia meraung di rumah. Bila sampai sini, dia terus diam” terang isterinya.
Saya senyum melihat gelagat ibu bapa muda itu. Mereka dan saya sama-sama penat, mengantuk dan berasa pelik. Ya, saya amat pelik, apabila bayi yang dikatakan menjerit melolong di rumah tiba-tiba diam bilik sampai ke pusat kesihatan.
Mungkin aircond yang menyamankan, mungkin dia seronok melihat saya yang berwajah lucu bila bangun tidur atau mungkin bayi itu telah penat menjerit sepanjang malam. Ini bukan pertama kali saya menerima bayi yang menangis di tengah malam, bila sampai ke pusat kesihatan, bayi itu senyap dan selesa dipelukan ibunya.
Fenomena bayi yang menangis di tengah malam sebegini kadang kala diterjemahkan dengan pelbagai terjemahan. Ada yang percayai bayi mereka di ‘usik’ oleh makhluk halus. Yang lebih hairan, kalau minda mereka sudah ’dicetak’ dengan pemikiran begitu, mengapa harus dibawa ke perubatan moden pula.
Apakah agaknya punca anak menangis di waktu malam? Apa sebenarnya yang berlaku? Apa yang sebenarnya bayi ini mahu? Apa yang perlu dilakukan untuk menghentikan mereka menangis? Banyak alasan mengapa mereka menangis. Pakar psychology kanak-kanak memberitahu bahawa bayi sebenarnya cuba berkomunikasi dengan ibu bapanya. Ayat yang mereka gunakan ialah tangisan yang lebih menarik perhatian ibubapa.
Antara sebab mereka menangis di waktu malam kerana MEREKA LAPAR. Bayi yang berumur kurang dari setahun terutamanya kurang dari enam bulan kerap mereka lapar dan perlu disusukan. Ini disebabkan perut mereka yang kecil. Mereka menyusu dengan sedikit tetapi kerap. Mereka harus disusukan setiap 4-6 jam.
Ramai ibubapa yang tidak menyangka bahawa bayi mereka mempunyai perasaan. Bayi bukannya seperi pokok bunga yang hidup tanpa perasaan. Mereka adalah makhluk yang hidup dan berperasaan. Pembentukan emosi mereka di peringkat baru dan sedang dibentuk. Mereka sebenarnya MAHU DIMANJAI. Ibu bapa haruslah mendodoi mereka dan jangan biarkan mereka baring dan disusukan begitu.
Walaupun disusukan dengan susu formula menggunakan botol, namun dakapan ketika menyusukan bayi amat bernilai dari segi psikologi dan pembentukan mental mereka. Mereka akan rasa lebih disayangi dan selamat. Jadi sebelum bayi kita menjerit di tengah malam, pastikan kita memberikan sedikit masa untuk mendakap mereka dan mendodoikan mereka. Apabila bayi sudah menjerit, tidak banyak yang boleh dilakukan lagi untuk meredakan tangisannya.
Pastikan bayi anda tidak tidur sepanjang waktu pada waktu siang. Ada bayi yang di waktu siang akan rehat dan tidur, sementara di waktu malamnya pula MASIH BERTENAGA. Mereka masih mahu bermain sedangkan ibu bapa pula sudah kepenatan kerana bekerja sepanjang hari di tempat kerja.
Untuk membaiki keadaan ini, beritahu pengasuh bayi kita supaya tidak membiarkan mereka terus tidur sepanjang waktu siang. Kalau ada kesempatan, bermain dan bercakap-cakap dengan bayi akan membuatkan mereka letih di sebelah petang. Gelapkan atau suramkan lampu di bilik mereka. Ini akan membuatkan otak mereka tidak berfikir secara aktif. Ramai ibubapa yang berasa tidak selamat membiarkan bayi mereka tidur dalam cahaya yang suram.
Sebenarnya ia adalah selamat selagi kita memastikan tiada barang-barang atau selimut yang boleh menyebabkan mereka susah bernafas. Bayi selalunya akan menangis jika mereka bermasalah dan perlukan perhatian. Lampu yang terang menyebabkan mereka aktif bermain sendirian.
Ramai yang tidak percaya jika saya memberitahu bahawa bayi mereka menangis kerana MEREKA KEPENATAN. Lebih mudah untuk memberitahu bahawa bayi mereka diganggu makhluk halus. Ibu bapa sering menganggap bayi mereka ibarat patung ’babydoll’ yang tidak boleh berasa penat. Bayangkan kalau sepanjang hari ibu bapa bermusafir dari Alor Star ke Johor Bahru dengan berkereta. Jika posisi bayi tidak berubah, tentu otot-otot mereka berasa lenguh. Jika bayi berumur 6 bulan ke atas, mereka boleh diurut perlahan-lahan dengan teknik yang betul. Ini akan menyebabkan bayi akan berasa selesa dan mudah untuk tidur.
Bilik tidur yang gelap sememang membantu untuk otak bayi “turn off”. Walaupun kepenatan, bayi tidak mampu untuk lena jika keadaan bilik mereka terang benderang. Otak mereka akan sentiasa “standby”, dan akan “turn on” bila-bila masa jika ada rangsangan seperti bunyi angin atau bunyi air yang menitik. Perkara yang sama berlaku pada orang dewasa yang tidak dapat lena.
Saya percaya ramai ibubapa yang keliru dengan jeritan bayi. Apabila mereka dikejutkan dari tidur oleh suara teriakan bayi, mereka terus ke dapur dan membuatkan susu untuk bayi mereka. Tanpa menyedari apa yang berlaku, mereka menyumbatkan mulut anak mereka dengan puting botol susu.
Seharusnya ibu bapa haruslah perhatikan persekitaran bayi.
SUHU BILIK di mana kita letakkan bayi juga haruslah diberikan perhatian. Jika suhu bilik terlalu sejuk atau terlalu panas, tentu ianya tidak selesa pada bayi. Bayi mungkin akan berpeluh dan menambahkan ketidakselesaan. Pasangkanlah kipas yang berpusing dengan kelajuan sederhana. Tujuannya agar udara di bilik itu bergerak dan perudaraannya baik. Tidak perlu meletakkan bayi di sebelah kipas kerana apabila bayi terkena udara secara langsung, bayi itu mungkin lebih tidak selesa.
Perhatikan juga LAMPIN BAYI yang mungkin basah dan kotor. Jika lampin tidak ditukarkan, ia kan memberikan kesan kegatalan pada kulit dan menyebabkan bayi akan tidak selesa. Mereka menjerit minta ditukarkan lampin yang basah dan kotor.
Ahli psikologi kanak-kanak juga mengandaikan bayi juga mempunyai mood perasaan. Adakalanya bayi menjadi cerewet dan mudah meradang. Malah mereka mungkin berasa ceria dan mempunyai MOOD YANG BAIK. Ini semua boleh dirangsangkan apabila ibubapa berkomunikasi dengan bayi dengan baik. Bercakap, bercerita, berlawak dengan bayi akan meningkatkan mood mereka. Jika mereka dibiarkan tanpa komunikasi dan interaksi, mood bayi tidak diceriakan dan bayi akan mudah marah dan menangis.
Walau bagaimanapun, MOOD IBU BAPA juga mempengaruhi mood bayi mereka. Ahli psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa ibu yang marah, kecewa, sugul, penat dan murung selalunya bayi akan menangis sekuat hati. Selain itu bayi juga akan menangis lebih lama. Begitu juga ibu mereka mempunyai masalah dengan suami atau terasa diabaikan.
Jadi sebelum bergegas membawa bayi kita ditengah malam berjumpa doktor, elok juga jika kita mempelajari dan mempraktikkan apa yang kita ketahui. Namun punca-punca bayi menangis tadi haruslah dibezakan dengan dua punca yang lain, iaitu COLIC dan demam. Punca-punca ini lebih serius dan memerlukan perhatian, dan harus dibawa berjumpa doktor.
Colic adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan bayi yang menangis di tahap melampau. Ia selalunya bermula dari umur dua minggu hingga 4 bulan. Namun ada bayi yang masih lagi menangis walaupun berumur lebih empat bulan.Mereka menangis sepanjang petang dan kadang kala berlarutan ke malam.
Colic disebabkan oleh pengecutan otot usus menyebabkan rasa senak dan memulas-mulas selepas menyusu bayi. Pakar Pediatrik memberikan teori bahawa ianya disebabkan susu yang tidak dapat dihadamkan. Susu yang tidak dihadamkan menghasilkan lebih banyak gas. Setengah bayi mempunyai alahan pada susu lembu dan kambing. Perut mereka menjadi kembung. Gas yang berada dalam usus tidak dapat menyerap dalam badan, ia harus dikeluarkan. Otot usus mengecut semaksima mungkin agar gas ini dapat dikeluarkan samada sebagai muntah atau kentut/ceret beret.
Banyak ubat yang boleh didapati di farmasi yang membantu mengurangkan colic pada bayi. Antaranya ialah gripe water dan colimix. Namun haruslah bertanyakan kepada farmasi yang bertauliah atau doktor tentang masalah bayi anda sebelum memberikan apa-apa ubat kepadanya.
Mengurut dan mengusap bayi dengan teknik yang betul mampu melegakan bayi.
Caranya ialah dengan melakukan pergerakan yang berulang-ulang aksi seolah-olah bayi sedang menunggang basikal.
Kaki mereka berada di udara dan ‘mengayuh’ dalam keadaan telentang. Pergerakan pasif yang dilakukan oleh ibu bapa mereka sangat membantu bayi merasakan kelegaan.
Mengusap dengan lembut perut bayi akan mengurangkan rasa tidak selesa. Bayi ditiarapkan dan diusap dari belakang terutama kaki dan bahunya. Urutan yang lembut sebegini tidak menggunakan minyak panas, hanya sekadar minyak ’baby oil’ yang melicinkan pergerakan tangan ketika mengurut.
Saya amat mencadangkan ibubapa membeli termometer yang ringkas agar dapat mengukur suhu badan bayi. Ianya akan membantu ibu bapa mengetahui sama ada bayi mereka sedang demam atau tidak. Bayi yang demam adalah antara masalah yang serius dan harus dibawa berjumpa doctor. Demam yang tinggi dan berlarutan boleh memberikan kesan buruk pada bayi.
Jadi perhatikan keadaan bayi sebelum kita membawanya ke pusat kesihatan. Adakalanya bayi akan diam dengan sendirinya tanpa perlu memakan apa-apa ubat.
Sebelum nak bandingkan keupayaan anak lelaki dan perempuan ibu bapa kena tahu setiap anak yang dilahirkan istimewa. Dari segi saintifiknya, mungkin ia ada benarnya. Ini kerana cara pembentukan otak bayi lelaki dan perempuan berkembang dengan cara yang berbeza. Sedikit sebanyak, mereka dilahirkan dengan memiliki karakter tertentu serta minat pada benda yang berbeza.
Di sini disenaraikan beberapa perbezaan anak lelaki dan perempuan dari segi kebolehannya berinteraksi dengan keadaan sekeliling, sikap dan emosi.
Anak Lelaki Sukakan Gerakan Mesin Berbanding Gerak Tubuh Manusia
Anak Lelaki: Menurut kajian pakar psikologi, anak lelaki lebih minat menumpukan perhatian pada pergerakan mesin atau alat mekanikal. Ketika menaiki kereta, mereka lebih leka memerhatikan ‘wiper kereta’ daripada wajah orang dewasa yang sedang bercakap. Mereka juga boleh hipotesis tentang pergerakan. Contohnya apabila kereta mainan bergerak di bawah meja, ia akan menuju ke sudut yang bertentangan.
Anak Perempuan: Anak perempuan pula lain minatnya. Mereka lebih gemar memerhati cara gerakan orang disekeliling. Mereka lebih mudah meniru perbuatan kita seperti cara menjaga bayi kecil. Mereka juga tidak kurang hebatnya dan mungkin hebat lagi dalam meniru gaya memandu kereta seperti anak lelaki.
Anak Lelaki Susah Duduk Diam
Anak Lelaki: Jika kita ke taman permainan, yang berlari dan memanjat sana-sini sudah tentu anak lelaki lebih ramai. Anak lelaki lebih suka bergerak aktif dan senang melakukan aktiviti yang melibatkan kemahiran motor kasar. Perkara ini disokong berdasarkan kajian yang dilakukan di Kanada terhadap bayi lelaki dan perempuan. Ia mendapati bahawa anak lelaki lebih susah untuk duduk diam ketika meyalinkan pakaiannya, ketika di dalam ‘stroller’ dan lebih suka merangkak ke jarak yang jauh.
Anak Perempuan: Bagi anak perempuan pula, mereka dilihat lebih teliti dan ketika diberikan tugas yang melibatkan motorik halus seperti bermain permainan, menggunakan perkakas makan, dan menulis. Lazimnya, anak perempuan akan memiliki hasil yang lebih baik. Namun begitu, anak lelaki dan perempuan mula berjalan pada waktu yang agak sama.
Anak Perempuan Lebih Mudah Membaca Raut Wajah
Anak Perempuan: Menurut BabyCenter, secara semulajadinya anak perempuan dilahirkan dengan deria penglihatan yang lebih tajam. Mereka lebih tertarik untuk melihat ekspresi dan reaksi wajah orang di sekelilingnya. Jadi, mereka boleh agak emosi anda bila marah atau sedih. Mereka juga boleh mengekalkan hubungan mata (eye contact) dengan kita apabila kita bercakap dengan mereka.
Anak Lelaki: Walaupun anak lelaki tidak peka dengan emosi kita, mereka sebenarnya lebih emosional berbanding anak perempuan. Anak lelaki lebih sukar untuk dipujuk berbanding anak perempuan. Di samping itu, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa kadar denyutan bayi lelaki lebih pantas bila sedang keresahan walaupun ekspresinya tidak begitu berubah. Ini menandakan bahawa anak lelaki mungkin turut merasai sensitiviti terhadap sesuatu perkara, namun tidak banyak bertindak terhadapnya.
Anak Perempuan Cepat Bercakap
Anak Lelaki: Oleh kerana karakter mereka yang kurang cenderung terhadap manusia, ia mungkin salah satu sebab mereka sedikit lewat dalam bertutur. Menurut sumber, pada usia 16 bulan anak perempuan sudah mampu mengucapkan 100 perkataan sedangkan anak laki-laki hanya sekitar 30 perkataan.
Anak Perempuan: Kebolehan deria penglihatannya untuk memerhatikan emosi dan pergerakan kita membuatkan anak perempuan lebih petah berbicara dahulu berbanding anak lelaki. Mereka juga lebih mudah untuk mengikut bunyi dari suara kita berbanding anak lelaki. Kelebihan ini juga menjadikan anak perempuan seorang pendengar yang baik. Mereka lebih berminat untuk terlibat dalam perbualan berbanding anak lelaki.
Anak Lelaki Lebih Berani
Anak Lelaki: Memang fitrah lelaki lebih berani berbanding perempuan. Ia mungkin disebabkan oleh hormon testosteron yang lebih tinggi dalam otak bayi lelaki. Anak lelaki terbukti lebih berani apabila si ibu mengacahnya ekspresi untuk menakut-nakutkannya. Mereka lebih tenang dan kembali bermain seakan tiada apa yang berlaku.
Anak Perempuan: Berbanding anak perempuan, sensitiviti mereka yang lebih terhadap penglihatan dan pendengaran mungkin menyebabkan mereka lebih senang berasa takut. Malah, kajian juga membuktikan yang anak perempuan lebih mudah terperanjat bila diberikan mainan yang berbunyi nyaring.
Cara Didikan Anak Memainkan Peranan Penting
Walau apapun perbezaan anak lelaki dan perempuan, semuanya bergantung pada cara kita mendidiknya. Latih anak dengan nilai-nilai baik seperti yang kita idamkan. Ambil inisiatif untuk melatih kemahiran anak. Rajinkan diri untuk membaca buku pada anak supaya lebih petah bercakap. Bantu anak menghadapi ketakutannya. Latih anak supaya lebih aktif.
Pokok pangkalnya, sediakan persekitaran yang dapat membantu perkembangan minda anak supaya mereka lebih cepat belajar. Lelaki atau perempuan, semua mempunyai peluang yang sama untuk belajar melalui pengalaman dan seterusnya menggilap potensi masing-masing!
Sumber: Nazurah Hassan (zuriat.my)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bercerai susu adalah situasi yang biasa. Ia melibatkan emosi dan dalam masa yang sama memerlukan persediaan mental ibu, anak, bapa dan sesiapa sahaja yang rapat.
Menurut Dr Zaharah Sulaiman, Pensyarah Kanan & Pakar Perunding Laktasi (IBCLC), Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, bercerai susu diumpamakan seperti tindakan memisahkan si manja dengan ‘sesuatu’ yang bersama dengannya sejak dari hari pertama kelahirannya. Tidak sekadar isu payudara yang membengkak yang bakal dihadapi ibu, ia tentu akan memberikan kesan psikologi yang tidak kurang hebatnya kepada si manja. Situasi ini tentu sukar dan memerlukan strategi dan bantuan daripada pelbagai pihak.
Kebiasaannya ibu akan mula terfikir untuk bercerai susuapabila si kecil mencecah usia dua tahundan sebaiknya ia dilakukan secara berperingkat. Garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan penyusuan secara eksklusif dilaksanakan selama enam bulan dan meneruskan penyusuan sehingga bayi berusia dua tahun atau lebih.
Bercerai susu bukan bermaksud menukar daripada memberi susu ibu kepada susu formula. Sebaliknya, apabila bayi sudah berusia enam bulan, makanan pelengkap perlu dimulakan untuk membekalkan nutrient dan tenaga secukupnya kepada bayi. Dengan ini pemberian susu ibu mula berkurangan. Dan apabila si manja sudah memceah dua tahun, susu ibu bukan lagi penyumbang utama kepada kepeluan nutrient mereka. Sebalinya ibu haruslah memberikan makanan seimbang untuk memastikan tumbesaran yang sihat buat si manja.
4 SITUASI CERAI SUSU
#1Terjadi sendiri
Cerai susu boleh terjadi apabila si kecil tidak lagi mahu menyusu. Bayi yang selalunya berusia setahun ke atas yang sudah mendapat nutrien daripada makanan pejal dan berupaya minum sendiri dari cawan akan mula kurang menyusu secara berperingkat. Lazimnya kanak-kanak yang dibiarkan bercerai susu sendiri akan mula ‘melepaskan’ antara usia dua hingga empat tahun. Tiada usia yang spesifik, malah ada yang lebih awal dan lebih lewat daripada usia ini.
# 2Cerai susu yang dicetuskan oleh ibu
Anda sendiri boleh mendorong si kecil dengan kasih sayang, kesabaran, fleksibel dan tanpa paksaan. Dengan cara ini, si kecil dapat bercerai susu tanpa protes dan kurang ragam. Anda boleh melakukannya dengan perlahan-lahan dengan cara tidak menawarkan susu ibu kepada anak tetapi dalam masa yang sama tetapi tidak pula menolak apabila si manja mahukannya. Tetapi, anda disarankan untuk menunggu sehingga usia si kecil 18 bulan di mana si manja berupaya memahami perkataan ‘tidak’.
#3Cerai susu secara tiba-tiba
Cara ini boleh merjadi secara tiba-tiba tanpa dirancang. Ia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Sebagai contoh kesihatan ibu seperti terpaksa mendapatkan rawatan perubatan yang melibatkan ubat-ubatan tertentu yang boleh memasuki susu ibu dan memberikan impak negatif kepada si kecil. Hormon yang berubah secara drastik akan menyebabkan perubahan emosi pada ibu iaitu tekanan perasaan dan perasaan yang mudah tersentuh.
Jika ini terjadi kepada anda dan perlu bercerai susu secara tiba-tiba, berbincanglah dengan pakar atau kaunselor laktasi untuk mendapatkan pandangannya. Anda juga boleh meminta pendapat tentang pilihan lain yang ada selain bercerai susu jika si kecil masih lagi kecil. Tidak semua ubat memberi kesan negatif kepada bayi. Kebanyakkan ubat antibiotik selamat diambil untuk ibu yang menyusukan bayi mereka. Oleh itu penting unuk ibu mendapatkan maklumat yang betul sebelum menghentikan penyusuan secara tiba-tiba.
#4Cerai susu berperingkat
Cerai susu cara ini lebih terancang dan selamat. Anda boleh menggantikan sesi penyusuan kepada si manja iaitu dengan makanan yang berkhasiat. Kerana fungsi penyusuan bukan terhad kepada mengenyangkan dan menghilangkan dahaga, ia lebih kepada pertalian antara ibu dan anak. Justeru, tingkatkan kekerapan komunikasi dan sentuhan agar dia tidak berasa perubahan yang ketara ‘kehilangan’ jalinan yang erat sebeluim ini .
TANDA SI KECIL BELUM SEDIA UNTUK CERAI SUSU
Kanak-kanak mempunyai keupayaan untuk bercerai susu pada pelbagai tahap umur. Ada yang awal dan yang lewat. Jika si kecil menunjukkan tanda-tanda ini, bermakna terlalu awal untuk bercerai susu. Dia masih belum bersedia.
Kesukaran untuk berpisah dengan anda.
Meningkatnya pelbagai ragam seperti tangisan, kebergantungan dan tantrum.
Kerap tersedar ketika tidur pada waktu malam.
Menggigit walau pun sebelumnya tidak pernah berlaku.
Dia mula memiliki atau semakin rapat objek kesayangan seperti selimut, bantal, mainan dan sebagainya.
Hisap jari atau memerlukan puting tiruan.
Sakit perut, sembelit, muntah-muntah atau keengganan untuk makan, kemungkinan sebagai cara untuk menunjukkan tidak setuju dihentikan penyusuan. Jika hal ini berterusan dan mengganggu kesihatan si comel, maka perlulah dirujuk ke hospital.
4 PANDUAN MAMA DAN ANAK BERCERAI SUSU
Terdapat saranan untuk memulakan proses cerai susu. Antaranya seperti berikut;
a)Anda boleh menggunakan prinsip ‘tidak menawarkan dan tidak menolak untuk memberi’. Ia tidak menawarkan susu ibu kepada anak walau pun sudah tiba waktu menyusunya atau selagi dia tidak meminta. Tetapi dalam masa yang sama, jika si kecil meminta disusui, anda tidak pula menolak.
b)Berikan lebih banyak sentuhan fizikal dan masa untuk bersama-sama berdua kerana si kecil memerlukan sentuhan anda untuk menggantikan sesi penyusuannya. Peluk dan gosoklah anak dengan kasih sayang untuk membantunya melalui fasa ini. Biar si kecil tahu yang bercerai susu tidak bermakna anda akan berhenti tidak menyayanginya.
c)Jika usaha anda gagal kerana dia enggan bercerai susu, berikan si manja masa supaya dia bersedia.
d)Jika si manja sakit ketika dalam proses bercerai susu, anda perlulah menghentikan seketika usaha Teruskan semula tanpa had supaya si kecil selesa dan cepat sihat. Anda boleh menyambung usaha untuk bercerai susu selepas dia pulih sepenuhnya.
e)Jika anda memerah susu ketika bekerja, cuba untuk mengurangkan satu sesi memerah setiap sesi. Kemudian kurangkan tempoh memerah dan seterusnya jarakkan tempoh antara sesi memerah lebih lama daripada kebiasaan.
KEADAAN IBU KETIKA FASA CERAI SUSU
Ibu yang sedang dalam fasa bercerai susu dengan anaknya akan mengalami dua keadaan ini.
Bengkak susu. Anda boleh memerah sedikit jika payudara terlalu penuh. Jangan memerah terlalu kerap kerana tindakan anda mengosongkan payudara dengan kerap akan memberikan signal kepada otak untuk menghasilkan lebih banyak susu. Perah sedikit juga boleh mengelakkan bengkak susu yang jika dibiarkan boleh menyebabkan radang susu, infeksi atau bernanah.
Sedih dan emosi tidak stabil akibat perubahan paras hormon prolaktin dan oksitosin.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak bongsu menyusul pergi sebulan selepas isteri dan anak sulung terkorban kemalangan jalan raya. Seorang bapa sekali lagi diuji apabila anak bongsunya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hanya sebulan selepas kehilangan isteri dan anak sulung dalam kemalangan.