5 Sebab Perlu Elak Orang Gomol Dan Cium Bayi Anda Di Hari Raya. Perlu Bertegas!

Share

Menjelang Hari Raya, sudah tentu masing-masing sibuk merancang untuk pulang ke kampung.

Bagi yang ada anak kecil terutama bayi, sudah tentu kepulangan paling dinantkan. Ramai yang tidak sabar hendak menyambut si comel pulang ke kampung.

Biarpun tak sabar hendak pulang berhari raya di kampung halaman bersama si comel tersayang tetapi jangan lupa tentang risiko yang mungkin dihadapi oleh anak anda.

Risiko bayi comel anda mendapat perhatian daripada ramai sanak saudara dan kaum keluarga di hari raya nanti memang tinggi.

Siapa yang tidak geram melihat pipi gebu dan badan montel si bayi comel. Semua orang hendak dukung dan cium pipi gebu anak anda.

Si kecil yang tidak tahu apa, hanya mampu tersenyum atau paling kurang pun menangis jika dia tidak selesa.

Tetapi ia sebenarnya mendedahkan anak anda kepada risiko jangkitan kuman dan penyakit. Berhati-hati ya!

Sekarang ini macam-macam kuman dan penyakit yang ada di sekeliling kita. Akibatnya banyak kesan buruk dengan kemunculan pelbagai jangkitan penyakit.

Antara golongan yang paling berisiko dan mudah menerima jangkitan kuman adalah bayi, kanak-kanak dan orang tua.

1. Kulit Bayi Sensitif

Makcik-makcik yang pakai lipstik merah menyala sempena hari raya sangat berisiko jika mencium pipi gebu bayi. Ada bayi mempunyai kulit sensitif.

Bila sahaja orang yang berlipstik mencium pipinya, ia boleh menyebabkan kerengsaan dan kegatalan. Akibatnya kulit bayi tiba-tiba akan menjadi merah dan ruam.

Tak pasal-pasal baby menangis dan meragam. Jadi, lebih baik elakkan daripada orang berlipstik mencium bayi anda.

2. Sistem Imun Badan Bayi Tak Kuat

Bagi yang tidak sihat seperti selesema dan batuk, lupakan sahaja hasrat anda untuk menggomol bayi comel. Tengok sahaja dari jauh sambil melambai-lambaikan tangan anda.

Tak pun anda boleh ambil gambar bayi sahaja ataupun selfie dari jarak jauh dengan bayi. Cubalah ada rasa simpati kepada si comel, sebab anda boleh menyebarkan bakteria kepada bayi yang tak berdosa tersebut. Nanti, bayi pula yang kena selesema dan batuk.

3. Bayi Tidak Selesa

Bila sudah ramai sangat ‘peminat’, bayi pun jadi tak selesa. Cubalah bagi ruang dan masa kepada si comel untuk memerhatikan persekitaran barunya.

Kalau semua orang berebut hendak mendukung dan menciumnya, si kecil yang baru hendak mengenal suasana baru jadi tak selesa dan mula meragam. Akibatnya ibu bapa bayi yang jadi kelam kabut bila bayi menangis tak tentu pasal.

4. Bayi Perlukan Rehat

Kadang kala ada orang sengaja tak mahu faham tentang situasi bayi yang memerlukan tidur dan rehat secukupnya. Kalau sepanjang hari asyik didukung dan digomol sahaja, sudah tentu si kecil akan berasa penat dan mudah meragam.

Ini kerana dia tidak mendapat rehat dan tidur yang cukup. Maka, cubalah fahami situasi ini. Janganlah menuduh seseorang itu kedekut kerana tidak membenarkan orang lain mendukung anaknya. Tentu dia ada alasan yang tersendiri.

5. Bayi Akan Mengigau Ketika Tidur

Mungkin pada waktu siang hari bayi kelihatan cukup gembira apabila berjumpa dengan pelbagai jenis orang. Dari satu tangan ke satu tangan bertukar mendukungnya.

Tetapi kadang kala akibat terlalu ramai mengagah, mendukung dan menciumnya, bayi akan meragam dan mengigau pada waktu malam semasa sedang tidur.

Akibatnya ibu dan ayah pun jadi susah sebab perlu berjaga malam kerana anak asyik menangis dan mengigau.

Bagi yang ada anak kecil, anda perlulah bertegas dalam hal berkaitan anak. Bukan kedekut untuk membenarkan orang lain mendukung atau mencium bayi kita tetapi sebagai langkah berjaga-jaga.

Maklumlah bila anak sudah dijangkiti kuman dan tidak sihat, kita juga yang susah hati. Maka masing-masing perlulah menghormati pilihan mereka dan perlu tahu had yang sepatutnya.

 

 

 

 

Published by
Hasnita Sawal